AMIR MASDI Hari Ini Hari Raya ‘vibes’ raya
Impian untuk memiliki lagu raya sendiri
tercapai apabila penyanyi berbakat besar, Amir Masdi melancarkan single raya
berjudul Hari Ini Hari Raya.
Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Shazee dan Altimet
adalah buah tangan terbaharu Amir, 25, atau nama sebenarnya Amir Syazwan
Masdi yang dianggap kena dengan dirinya sekali gus menjadi hibura halwa
telinga peminat.
Menariknya mengenai lagu raya
itu, Amir yang juga finalis Anugerah Juara Lagu (AJL 35) lalu berkata, lirik
lagu ini berkonsepkan pesanan harian.
“Lagu ini secara asasnya mengenai raya. Cuma ia
lebih kepada luahan hati dan pesanan buat yang mendengar. Lirik disampaikan
dalam bentuk kasual, macam memberi pesanan. Pendek kata ia bukan macam lagu raya
lain.
“Boleh dikatakan saya merakamkan lagu ini agak
‘last minute’ juga iaitu pada dua minggu lepas. Saya rakam lagu pada Rabu dan
penggambaran video muzik pula pada Jumaat minggu itu. Pada pagi Jumaat itu,
pengurus menghubungi saya dan ajak untuk ‘shoot’ video muzik.
“Pada waktu itu juga barulah fikir idea dan
konsep video muzik. Alhamdulillah, hasilnya menarik. Video muzik ini
membabitkan saya seorang saja tapi saya ditampilkan dalam karakter yang
pelbagai. Jadi, konsep video muzik lagu ini memang lain,” katanya.
Menurut Amir, lagu Hari Ini Hari Raya juga
adalah lagu raya pertama yang dirakamkan sepanjang pembabitan dalam bidang
nyanyian.
“Sebelum ini tidak pernah terfikir nak rakam
lagu raya. Kebetulan tahun ini dapat lagu raya yang menarik. Kalau nak tahu,
pada asalnya nak lancar lagu ketuhanan, tapi tak puas hati sangat, jadi tak
jadi buat.
“Apabila dapat lagu ini, saya dan syarikat
rakaman suka dengan melodi. Itu yang ambil keputusan untuk rakam lagu ini.
Malah, ini adalah kerjasama pertama saya dengan kedua komposer ini.
“Secara peribadi, melodi lagu ini lebih rapat
dengan pendengar dan saya sendiri. Sebelum ini, saya tak biasa nyanyi lagu
ceria, jadi lagu ini saya pilih sebab nak bagi orang dengar selain ia adalah
nyanyian saya,” katanya.
Dalam masa sama, Amir berkata, walaupun lagu
itu tidak boleh dibandingkan dengan kebanyakan lagu raya popular dan evergreen
lain, lagu Hari Ini Hari Raya tetap memiiki kelebihan dan keunikan tersendiri.
“Kalau nak kata lagu ini boleh setanding dengan
lagu raya evergreen lain, sejujurnya biarlah rezeki yang menentukan perkara
itu. Lagi pula, lagu raya lama memang kuat aura.
‘Signature’ lagu raya sudah melekat dalam lagu
itu.
“Macam lagu raya baru sekarang ia lebih kepada untuk
segarkan telinga pendengar. Malah untuk penyanyi itu sendiri juga lebih kepada
untuk profil kerjaya mereka. Macam saya, memang nak ada lagu raya sendiri.
“Jadi, apabila keluarkan lagu raya ini, ia bukan
untuk kalahkan lagu raya sedia ada. Sekurang-kurangnya kehadiran lagu raya say
aini memeriahkan lagi suasana sambutan raya tahun ini,” katanya.
Berkongsi mengenai kenangan setiap kali
menyambut hari raya, Amir yang meminati lagu raya Cahaya Aidilfitri nyanyian
Black Dog Bone berkata, dia sangat merindui suasana beraya dan juadah raya di kampung.
“Saya paling terkenang makanan. Selalunya
makanan di kampung rasanya lain sebab orang tua masak jadi ia istimewa. Kalau
orang lain sibuk bermain mercun, saya lebih suka makan, menonton TV dan layan
filem P Ramlee ramai-ramai.
“Jadi, apabila tak balik kampung sejak tahun
lalu, mak yang masak, tapi tak sama ‘vibes’ kalau beraya di kampung. Lagi pula,
di kampung banyak menu lain dan menarik terutama kalau pergi berziarah. Kalau
di KL apa yang ada saja. Paling tidak pun makan di kedai makan,” katanya.
Lagu Hari
Ini Hari Raya sudah boleh distrim di semua platform muzik digital bermula
semalam. Sementara video muzik lagu ini boleh ditonton di saluran YouTube Nova
Music Videos sejak 4 Mei lalu.
Disertakan
pautan video muzik lagu Hari Ini Hari Raya
Comments
Post a Comment