DOLLA MUNCUL DENGAN LAGU RAYA PERTAMA
DOLLA yang sebelum ini pernah mendapat
perhatian peminat muzik tanah air apabila muncul dengan single pertama, DOLLA
MAKE YOU WANNA, dan juga single kedua IMPIKAN yang terus meningkatkan
populariti mereka, kini kembali mempertaruhkan bakat mereka dengan sebuah lagu
raya yang diberi judul RAYA RAYA RAYA. Masih mengekalkan konsep genre
pop yang dibawa oleh mereka dan malah disulam dengan irama tadisional, RAYA
RAYA RAYA merupakan lagu raya pertama yang dinyanyikan oleh artis wanita
berkumpulan setelah sekian lama.
Lagu ciptaan bersama oleh beberapa orang
komposer dan penulis lirik yang professional iaitu Kalerj, Ajay Amai, Mike
Chan, Glow Rush, Nick Arif, Acap Salim dan Somean K-Clique ini dilihat dapat
memperlihatkan lagi bakat DOLLA yang bukan sahaja mampu menyanyikan lagu pop
yang rancak, malah lagu yang mempunyai unsur tradisional. DOLLA yang dianggotai
oleh Sabronzo, Angel, Tabby dan Syasya ini telah membuktikan bahawa mereka
berani bereksperimen dan mampu membawa genre yang berbeza dari sebelumnya
sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam industri hiburan Malaysia.
Secara umumnya, RAYA RAYA RAYA
terbitan Universal Music Malaysia ini menyentuh mengenai percanggahan gaya
tradisional dan moden untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di mana perkembangan
teknologi yang pesat telah mempengaruhi bagaimana mereka menyambut Hari Raya
Aidilfitri pada masa kini, terutamanya bagaimana alat dan platform media sosial
yang signifikan mempengaruhi interaksi antara keluarga dan rakan.
“Ia mengambil masa lebih kurang 8
jam untuk merakamkan lagu tersebut dan memakan masa seharian untuk sesi rakaman
video muzik pula. Pengalaman merakamkan video muzik sangat menyeronokkan kerana
kita semua berpakaian seperti di era ‘retro’. Tidak ketinggalan, tenaga positif
yang wujud di antara warga kerja juga benar-benar membantu” jelas Sabronzo.
“Ia amat mudah bekerja bersama
mereka kerana mereka seniasa memberikan bimbingan dan tunjuk ajar. Oleh kerana
kami adalah empat gadis dengan gaya dan idea nyanyian yang sangat berbeza,
mereka sangat terbuka dalam menerima segala jenis perubahan atau cadangan”
tambahnya lagi.
Salah seorang anggota DOLLA iaitu
Tabby pula berpendapat bahawa RAYA RAYA RAYA adalah sesuatu yang
berbeza, tetapi masih terasa seperti biasa didengari. Ia mempunyai ‘vibe’ lagu
raya yang biasa tetapi mempunyai sentuhan karakter DOLLA yang kuat dan
mempunyai elemen-elemen yang menyeronokkan.
“Proses rakaman berjalan dengan
lancar dan mudah bersama Faithful Music. Penuh dengan gelak tawa dan mereka
amat membantu kami dalam mengekalkan kekuatan DOLLA di dalam lagu ini kerana
pada mulanya, terasa asing kerana ianya bukan genre yang kami biasa bawakan
sebelum ini. Tetapi amat menyerenokkan untuk bereksperimen!” jelas Tabby.
Angelina Chai atau Angel yang
berasal daripada Sarawak pula berpendapat bahawa RAYA RAYA RAYA
menunjukkan sisi lain DOLLA, yang lebih ke arah tradisional tetapi masih lagi
lagi terasa muda. Angel juga merasakan bahawa lagu ini berbeza dari lagu-lagu
raya yang lain, dan DOLLA menggambarkan bagaimana jika artis berkumpulan wanita
menyanyikan lagu bagi menyambut perayaan Aidilfitri.
“Proses rakaman lagu ini amat
menyeronokkan kerana ia membuatkan perayaan itu terasa semakin dekat kepada
seseorang yang tidak pernah menyambut perayaan Aidilfitri. Ia memberikan saya
gambaran perasaan menyambut hari raya Aidilfitri dan sebenarnya ia amat
menyeronokkan!” kata Angel.
Bercerita mengenai sewaktu proses
rakaman video muzik lagu RAYA RAYA RAYA, Angel menyatakan ianya berbeza
daripada apa yang pernah DOLLA lakukan sebelum ini. DOLLA masih lagi menari,
tetapi lebih kepada menghayati lagu dan ianya mempunyai jalan cerita di mana
merupakan sesuatu yang baharu bagi mereka. Dia juga mengharapkan video muzik
seterusnya akan lebih menekankan konsep yang mempunyai jalan cerita.
“Saya berharap pendengar akan suka
dengan lagu raya yang pertama DOLLA pernah buat. Ia sangat ‘catchy’ dan
membawakan kegembiraan untuk menyambut hari raya Aidilfitri walaupun kita masih
dalam kekangan wabak covid-19”, tambah Angel lagi.
Syasya yang merupakan ahli kumpulan
yang paling muda selain Angel mengatakan lagu ini amat bermakna dan mencuit
hati. DOLLA yang dikenali dengan imej lincah menari dengan bertenaga di dalam
lagu-lagu sebelum ini, manakala RAYA RAYA RAYA menunjukkan sisi lain
Dolla daripada yang selalunya. Walaupun begitu, pendengar masih dapat merasai kehadiran
DOLLA itu sendiri di dalam RAYA RAYA RAYA.
“Pengalaman merakamkan lagu ini
memang sangat seronok dan penuh dengan riang ketawa. Sememangnya bekerja dengan
Faithful Music amat mudah kerana mereka juga bersifat terbuka dengan idea-idea
yang kami berikan. Dalam lagu ini iDolla boleh melihat kelebihan dan kelainan dalam
suara-suara setiap ahli DOLLA.”
“Harapan saya untuk lagu ini adalah
untuk membawa kenangan manis sewaktu menyambut hari raya kepada semua
pendengar. Walaupun wabak covid-19 banyak menghalang kita melakukan pelbagai
aktiviti-aktiviti kebiasaan di hari raya, namun saya berharap agar semua
pendengar masih lagi dapat merasainya dengan mendengar lagu kami. Seperti biasa,
saya harap penonton dapat menari dan menghayati bersama-sama semasa mendengar
lagu kami” kata Syasya.
Comments
Post a Comment