‘LUAR BIASA’ PERKONGSIAN TERBAHARU PERKESO, PAPAR KISAH SEBENAR INDIVIDU HILANG UPAYA KEMBALI BEKERJA

 


Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerbitkan program realiti televisyen terbaharunya ‘LUAR BIASA’ yang akan mengetengahkan kisah dan pengalaman individu hilang upaya yang dapat kembali bekerja setelah mengikuti Program Return To Work (RTW) PERKESO.

 

Program ‘LUAR BIASA’ menyelami kisah suka dan duka peserta Program RTW yang juga merupakan Orang Berinsurans (OB) PERKESO apabila diduga dengan masalah kecacatan kekal seperti kelumpuhan dan amputasi pada anggota badan akibat kemalangan atau faktor kesihatan. Walaupun diuji sedemikian rupa, mereka bangkit mendepani setiap kekurangan dengan sokongan dan bimbingan yang diberikan melalui Program RTW PERKESO.

 

Berkonsepkan sesi bual bicara santai dengan unsur sketsa, program realiti 13 episod ini menggandingkan dua selebriti terkenal tanah air, Norman Hakim dan Shiha Zikir sebagai pasangan pengacara. Sesi perbincangan dalam setiap episod mengetengahkan beberapa topik diskusi yang menarik dan pelbagai bersama barisan tetamu jemputan yang terdiri daripada pakar, selebriti dan juga pengurusan kanan PERKESO.

 


Program ini akan turut menyelitkan peranan dan aktiviti yang dijalankan di bawah Program RTW PERKESO, selain turut menyajikan maklumat terkini berkaitan skim-skim perlindungan dan inisiatif terbaharu PERKESO kepada penonton.

 

Bakal menemui penonton mulai 4 Jun ini, ‘LUAR BIASA’ akan disiarkan setiap Jumaat, jam 9.00 malam di saluran 125 - Astro Prima (SD) dan saluran 105 - Astro Prima HD. Bagi yang terlepas untuk menonton program ini di televisyen, ia juga boleh ditonton di saluran YouTube rasmi PERKESO.

 


Sejak diperkenalkan pada tahun 2007, Program RTW PERKESO telah berjaya membantu memulihkan seramai 36,159 individu untuk kembali bekerja dengan selamat setelah mengalami hilang upaya fizikal atau mental akibat kemalangan atau serangan penyakit.

 

PERKESO menerusi Program RTW juga telah berjaya menerbitkan sebanyak 3 program realiti televisyen lain sebelum ini iaitu program ‘DAHSYATNYA PERKESO’ (2016), ‘INSPIRASI HARAPAN’ (2017) dan ‘BANGKIT #PERKESOPRIHATIN’ (2018).

 

Comments

Popular posts from this blog

Mahu dengar 'tembakannya tepat'? Saksikan "Gegar Vaganza Bunda-Petik" .

PEMENTASAN TEATER DI SEBALIK TOPENG KETENGAHKAN ISU KESIHATAN MENTAL

Konsert Hitam Manis,Datuk Hattan, Hazama dan Black berpadu suara!