COF LOCKSTAR TAMPIL KAN HAZAMA, AKIM AHMAD, BLACK HANIFAH DAN TOMOK SEBAGAI JURI
Industri muzik tanah air tidak pernah suram
dengan kehadiran bakat baharu. Bukan sahaja dari segi lagu, tapi juga penyanyi
itu memberikan warna dan nafas yang lebih segar.
Menyedari hakikat itu, syarikat rakaman COF
Music juga tidak mahu ketinggalan dengan melahirkan penyanyi baharu yang
bersandarkan pada bakat dan kualiti.
Pertandingan berkonsepkan program realiti, COF
LOCKSTAR adalah platform yang bakal memberi peluang kepada golongan remaja yang
berbakat dalam bidang nyanyian untuk menonjolkan bakat dimiliki.
Pengarah Urusan COF Music, Aman Nassim berkata,
COF LOCKSTAR juga bermatlamat untuk peluang kepada mereka yang benar-benar
berbakat untuk dipertaruhkan dalam pasaran muzik semasa.
Malah, lebih menarik program itu membuka ruang
kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 sehingga 30 tahun termasuk mereka yang
sudah bergelar penyanyi.
“COF LOCKSTAR ini adalah platform untuk mencari
bakat baharu dalam kalangan penyanyi secara solo, rapper atau berkumpulan sama
ada duo atau grup. Artis sedia ada pun boleh masuk pertandingan ini tapi yang
tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman.
“Program ini juga satu lagi inisiatif COF Music
dengan mengadakan aktiviti sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP) ini. Sekali gus menerusi program ini mereka yang bakal terbabit boleh
menjana pendapatan berdasarkan hadiah wang tunai disediakan bagi setiap
pemenang.
“Dalam masa sama, pemenang tempat pertama,
kedua dan ketiga dijanjikan kontrak menjadi artis syarikat rakaman COF Music,”
katanya.
Hadiah pemenang adalah tempat pertama bernilai
RM50,000 yang mana merangkumi hadiah wang tunai RM8,888, trofi dan kontrak
bersama COF Music.
Tempat kedua, membawa pulang RM5,555 beserta
trofi dan pemenang tempat ketiga meraih RM3,333 beserta trofi. Sementara itu
turut disediakan dua kategori iaitu ‘Most Creative’ dan ‘Most Viewers’ yang
masing-masing membawa pulang RM1,000 dan trofi.
Istimewanya, COF LOCKSTAR turut menampilkan
empat penyanyi terkenal tanah air selaku juri profesional iaitu Hazama, Akim
Ahmad, Black Hanifah dan Tomok. Sementara, Ajak selaku hos program.
Mengulas mengenai pemilihan empat juri itu,
Aman ada alasan tersendiri kenapa memilih semua penyanyi lelaki.
“Bagi menghangatkan lagi program ini, kami
memilih Ajak selaku hos dan empat penyanyi terkenal menjadi juri profesional.
Lagi pula Hazama, Akim, Black dan Tomok pernah menjadi juri untuk program
realiti. Kebetulan kita memang mencari bakat baharu, jadi pemilihan mereka ini
sangat sesuai.
“Pada saya tidak ada istilah kenapa semua juri
lelaki dan tak ada perempuan, yang penting mereka profesional. Mereka juga
bepengalaman, semuanya pun hebat. Itu yang pada saya sesuatu yang menarik.
Masing-masing ada cita rasa tersendiri. Kalau nak tahu apa pilihan mereka kena
tengok di saluran YouTube COF Music nanti,” katanya.
Menurut Aman, menerusi pertandingan itu COF
Music tidak meletakkan sebarang sasaran untuk mencari penyanyi dari mana-mana
genre lagu.
“COF Music tidak ada sasaran nak penyanyi genre
apa, sebab apa yang penting nak berkualiti dan bagus. Pada saya matlamat COF
nak cari penghibur terbaik. Industri kita pun kurang penyanyi sebegini. Jadi
saya rasa inilah masanya untuk cungkil bakat baru. Kita bentuk dan latih mereka
menjadi lebih baik.
“Saya harap semua pelapis baru yang menyertai
pertandingan ini kita dapat cari dan keluarkan bakat baru yang berkualiti dan
bagus. Sekali gus untuk diketengahkan dalam industri muzik kita,” katanya.
Penjurian bermula dengan mencari 10 video
nyanyian terbaik sebelum bermulanya episod pertama yang bakal ditayangkan di
saluran YouTube COF Music pada 7 Ogos depan.
Program ini bakal berlangsung selama empat
episod di mana pada setiap episod bakal diadakan penyingkiran dan pemenang bakal
diumumkan pada episod akhir.
Anda yang ingin menyertai pertandingan COF
LOCKSTAR ini mudah sahaja. Caranya, peserta perlu ke Instagram COF MUSIC, di
bahagian bio perlu mengisikan borang penyertaan yang disediakan.
Kemudian, muat naik video nyanyian berdurasi
seminit dengan meletakkan tanda pagar #COFLOCKSTAR dan #COFMUSIC . Perlu
dipastikan juga akaun Instagram peserta tidak diletakkan pada mode ‘private’
bagi memudahkan penganjur mencari dan menilai video.
Kesemua video yang dihantar akan ditayangkan di
semua platform media sosial COF Music sebelum 10 yang terbaik dipilih.
Comments
Post a Comment