DRAMA ‘THE HOTEL’ BERI PERSPEKTIF LAIN ISU KESIHATAN MENTAL
Konflik cinta pembunuh psikopat dan pembohong patologi dalam naskhah terbaharu di slot Megadrama Astro Ria
Drama rantaian ‘The Hotel’ ialah sebuah naskhah asal
yang mengangkat tentang isu kesihatan mental terbitan syarikat produksi Juida
Viden Sdn. Bhd. Penceritaan drama 24 episod yang menyuntik elemen konflik cinta
romantik penuh misteri dan manipulasi yang menyentuh hati sebagai plot utama ini
bakal menghiasi slot Megadrama bagi menggantikan drama Hawa.
Idea asal drama ‘The Hotel’
diilhamkan oleh penerbit dan pengarah prolifik, Michael Ang serta turut
mendapat sentuhan Helmi Yusof yang memikul tanggungjawab selaku pengarah untuk drama
ini. Manakala panel skrip pula dibarisi oleh Nadia Khan, Rahim Ramli, Qawiem
Hamizan dan Michelle Yoon.
Drama ‘The Hotel’ turut diserikan
dengan kehadiran nama-nama popular seperti Mira Filzah, MK K-Clique, Sean Lee,
Natasha Elyzza, Yasmin Hani, Datin Paduka Eina Azman, Farah Ahmad, Daler Yusof,
Alif Hadi serta ramai lagi.
‘The Hotel’ akan ditayangkan
pada setiap hari Isnin hingga Khamis,
jam 10.00 malam mulai 15 September 2021 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh
distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan
yang lebih fleksibel.
Raqim Ahmad,
Naib
Presiden Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro
“Sejak kebelakangan ini, isu kesihatan mental yang
dulu dianggap tabu sudah semakin kerap dibicarakan secara terbuka menerusi
pelbagai lambakan berita dan perkongsian di laman sosial.
Isu berkaitan gangguan mental tidak boleh dipandang
remeh atau cuma dianggap sebagai isu bermusim kerana ia mampu mengancam kualiti
kehidupan seseorang. Realitinya, masalah tersebut boleh dihidapi sesiapa sahaja
dan sukar dikesan melalui penampilan luaran semata-mata.
Menyedari tahap keseriusan isu tersebut, tema
kesihatan mental diangkat menerusi drama terbaharu ‘The Hotel’ untuk membuka
mata audiens mengenai impak dan betapa bahayanya gangguan yang berkaitan dengan
mental sekiranya tidak diberikan rawatan yang betul.
Kami berharap mesej yang disampaikan menerusi naskhah
ini dapat membantu mengubah stigma dan diskriminasi sosial terhadap mereka yang
sedang berjuang dengan masalah mental. Sebagai anggota masyarakat yang prihatin,
kita perlu lebih cakna dan berusaha memahami situasi sukar mereka demi kesejahteraan
bersama.
Syabas saya ucapkan kepada pihak produksi kerana berjaya
memberi perspektif berbeza mengenai isu ini dengan pendekatan yang kreatif dan
menghiburkan. Semoga anda terhibur dengan penceritaan kali ini.”
Michael
Ang,
Penerbit ‘THE HOTEL’
“Perbincangan untuk menerbitkan naskhah ‘The Hotel’ dibuat
ketika drama ‘Angkara Cinta’ untuk slot Tiara Astro Prima masih lagi dalam
proses pembikinan. Kebetulan pada waktu itu jadual penggambaran banyak tergendala
akibat perlaksanaan PKP.
Kekangan yang dihadapi sewaktu PKP akibat pandemik
mencetuskan idea untuk membuat cerita yang hanya berkisar dalam sebuah hotel sahaja.
Selalunya, ramai dalam kalangan yang berduit dan kaya tinggal di hotel. Idea asal
tersebut kemudiannya diolah dan dikembangkan untuk memberi kelainan yang
menghiburkan. Ramai orang berpendapat bahawa drama ini meniru konsep K-drama ‘Hotel
De Luna’ dan ‘Penthouse’ namun andaian tersebut tidak benar sama sekali kerana naratif
penceritaan ‘The Hotel’ amat berbeza kerana ia digarap berdasarkan situasi
sewaktu kita berhadapan dengan PKP.
Genre
yang diketengahkan menerusi drama ‘The Hotel’ ini merupakan ‘testing ground’
buat kami untuk melihat sejauh mana keterbukaan masyarakat dalam menerima
konsep sebegini bagi drama Melayu. Selama ini mereka sering mendakwa bahawa penonton
asyik disajikan dengan cerita orang kaya dan kisah cinta yang klise. Jadi, kami
bawakan kisah ‘The Hotel’ yang mengangkat isu-isu tabu yang selama ini ibarat
hanya sekadar disapu ke bawah karpet untuk memberi kelainan.
Daripada
segi pemilihan MK K-Clique sebagai hero utama pula adalah hasil perbincangan bersama
dengan pihak Astro yang mahukan wajah baharu dengan aura tersendiri untuk
memberi kelainan. Walaupun pada awalnya nampak kekok dan masih banyak ilmu
teknik lakonan yang perlu ditimba, namun saya kagum dengan peningkatan yang
ditunjukkan oleh MK dalam masa yang singkat. Saya juga gembira dengan ‘chemistry’
yang wujud di antara Mira dan MK dalam drama ini.
Semoga
penceritaan ini dapat diterima baik oleh semua kerana kami sudahpun berusaha sebaik
mungkin untuk menambat hati penonton.”
1.
Naskhah ‘The Hotel’ merupakan drama pertama yang
menggandingkan Mira Filzah dan salah seorang anggota kumpulan hip hop popular yang
berasal dari Sabah, MK K-Clique selaku teraju utama.
2.
Drama ‘The Hotel’ menyerlahkan sisi lakonan berbeza
Mira Filzah yang menyahut cabaran membawakan watak Raisa, seorang pembunuh
psikopat. Watak ini memerlukan Mira untuk membuat kajian yang mendalam tentang
isu kesihatan mental bagi mendapatkan penjiwaan watak yang menyakinkan.
3.
Sekadar makluman, Mira juga tidak pernah menonton cerita
‘Hotel De Luna’ sebelum ini. Beliau hanya mula membuat carian mengenai drama tersebut
setelah netizen mula mengaitkan drama ‘The Hotel’ dengan naskhah K-drama
tersebut.
4.
Walaupun kerjaya utama rapper MK K-Clique lebih
tertumpu pada bidang nyanyian, namun MK atau nama sebenar Muhammad Hairi Amin
Hamdan sedia mencuba nasib sebagai pelakon buat pertama kali menerusi drama ‘The
Hotel’. Dalam drama ini, MK melakonkan watak sebagai Sean, seorang pembohong
patologi yang jatuh cinta dengan watak Raisa lakonan Mira.
5.
Walaupun ini merupakan lakonan pertama MK, beliau
diberi kepercayaan untuk menerajui drama ‘The Hotel’. Sebagai pelakon yang
lebih senior, Mira banyak membantu MK dengan berkongsi tip berkenaan teknik
lakonan sewaktu di set sekaligus memudahkan urusan penggambaran.
6. Sean
Lee yang memegang watak sebagai Umar dalam drama ‘The Hotel’ juga berjaya menghidupkan
watak seorang yang panas baran dengan berkesan. Sebelum ini, Sean sering
menjayakan watak sebagai seorang ‘Mr Nice Guy’.
7. Dalam
masa yang sama, Datin Paduka Eina Azman juga pertama kali menyahut cabaran untuk
menjayakan watak Julia, seorang janda kaya yang suka menggoda menerusi drama ‘The
Hotel’.
8. Lagu
‘Sebelum’ dendangan K-Clique turut dimuatkan sebagai lagu tema untuk drama ‘The
Hotel’.
PELAKON UTAMA
MK
K-CLIQUE sebagai Sean
MIRA FILZAH sebagai Raisa
SEAN LEE sebagai Umar
NATASHA ELYZZA sebagai Umaira
PELAKON PEMBANTU
FARAH AHMAD sebagai Sharifah Hanisa
DATIN PADUKA EINA AZMAN sebagai Julia
YASMIN HANI sebagai Maya
DALER YUSUF sebagai Razul Ilyas
NABIL AQIL sebagai Arman
AZHAR AMIR sebagai Syed Jamaluddin
ASHA MERICAN sebagai Marsha
KU FARIDAH sebagai Miss Ros
ALIF HADI sebagai Tengku Arif
AMIR NAFIS sebagai Tengku Adam
Drama ‘The
Hotel’ mengisahkan tentang Raisa, seorang gadis yang tinggal bersama ibunya,
Maya yang memiliki salah sebuah empayar perniagaan terbesar di negara ini.
Hidup dalam kemewahan, Raisa sebenarnya mempunyai sifat psikopat yang mana dia
sukar memahami emosi dan segala tindak-tanduknya berdasarkan kehendak
semata-mata sehingga dia mampu untuk membunuh. Sean muncul sebagai penghuni
baru di hotel mewah di kediaman Raisa. Walaupun seusia dengan Raisa, Sean
mengakui yang dirinya pakar bedah dan ini amat dicurigai oleh Raisa kerana cerita
Sean sentiasa berubah-ubah.
Apakah pengakhiran
kisah cinta pembunuh psikopat, Raisa dan pembohong patologi, Sean? Adakah
hubungan tersebut mampu bertahan walaupun salah seorang daripada mereka
terlibat dengan kes pembunuhan? Sama-sama kita saksikan.
Comments
Post a Comment