NASKHAH ‘HASRAT TERSIRAT’ SARAT KONFLIK
Kisah pergolakan keluarga,
dendam dan perebutan harta pusaka di slot Tiara Astro Prima mulai 10 September
ini
Selepas berakhirnya tayangan
drama rantaian ‘Ali Alia’ yang meruntun
emosi petang semalam, sebuah lagi naskhah menarik terbitan Mediacorp Suria yang mengangkat tema konflik
keluarga berjudul ‘Hasrat Tersirat’ bakal menghiasi slot Tiara di
saluran Astro Prima (105) pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00
petang mulai petang ini atau boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go
dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Kisah penuh konflik tentang
pergolakan keluarga, dendam dan perebutan harta pusaka ini dihidupkan dengan
lakonan mantap barisan bintang handalan dari Singapura seperti Rahimah
Yusoff yang membawakan watak Aisyah, Azhar Norlesta sebagai Ramli,
Abdullah Ahmad sebagai Hamzah, Fir Rahman sebagai Danial,
Farhana M Noor sebagai Farah, Izzat Yusoff sebagai Najib,
Fatin Amira sebagai Sharifah, Shaquille Daniel sebagai Amri,
Joe Jasmi sebagai Latif, Hashimah Hamidon sebagai Mansurah,
Mishall Kiara sebagai Kharissa dan Erwin Shah Ibrahim sebagai
Dr Mazlan.
Mengulas lanjut mengenai drama
rantaian ‘Hasrat Tersirat’, Norzeha Mohd Salleh selaku Pengurus
Saluran Astro Prima berkata, “Sebagai
sebuah saluran keluarga yang menghiburkan, kami amat mementingkan kandungan
komersial berkualiti dan dinamik yang mampu mencuit emosi segenap lapisan umur kerana
maklum balas dan penerimaan audiens akan mempengaruhi kejayaan saluran ini
secara langsung.
Kami melihat naskhah terbaharu taruhan slot Tiara yang sekali
lagi mengangkat tentang konflik dalaman keluarga ini dapat menjentik emosi
penonton kerana ia sarat dengan mesej yang jelas dan bermanfaat jika dilihat
daripada sudut pandang yang positif. Ada banyak perkara yang boleh dijadikan
iktibar dan panduan kerana berdepan dengan konflik adalah asam garam kehidupan
yang akan mematangkan diri kita.
Semoga impak penceritaan ‘Hasrat Tersirat’ dapat dirasai
oleh peminat drama Melayu sehingga mampu mencetuskan fenomena yang tersendiri. Sama-sama
kita saksikan apakah kesudahan drama ini nanti.”
Penceritaan penuh konflik
dalam drama ‘Hasrat Tersirat’ menerusi paparan 20 buah episod ini bermula setelah
kematian ketua keluarga, Hamzah yang menyebabkan keluarganya mula berpecah-belah.
Isterinya, Aisyah terpaksa berdepan dengan masalah menguruskan pembahagian harta
pusaka dan kebenaran yang dituntut oleh anak tirinya iaitu Danial dan Farah,
anak autistiknya, Amri, serta seseorang dari masa silamnya. Aisyah harus
melawan semua ini bersendirian serta dalam masa yang sama cuba memelihara nama
baik arwah suaminya.
Apakah kesudahan kisah ini? Sama-sama kita saksikan.
Jangan lepaskan peluang untuk
menonton drama rantaian ‘Hasrat Tersirat’
yang bakal menemui penonton mulai petang ini di slot Tiara. Selamat menonton!
Comments
Post a Comment