UNIVERSAL MUSIC ‘HARAPAN’ BAHARU INSOMNIACKS
Empat anak muda ini punya cita-cita
tinggi dalam industri hiburan tanah air. Bukan sahaja mempertaruhkan muzik
dibawa, malah mereka yang bergerak dalam band dikenali sebagai Insomniacks ini turut
mengetengahkan bakat sebagai komposer dan penulis lirik.
Tanpa disedari, sudah enam tahun
pembabitan mereka sebagai pemuzik. Sepanjang tempoh itu, Insomniacks sudah
menghasilkan dua single dan satu album EP yang memuatkan lima lagu.
Mula bertapak menerusi syarikat
rakaman Sony Music, ‘jodoh’ mereka dengan syarikat rakaman itu tidak panjang
apabila kontrak tamat awal tahun ini selepas empat tahun bersama.
Namun, bakat besar dimiliki kesemua
anggota Insomniacks iaitu Wan Arif Iskandar Adnan (Iskandar) selaku pemain
bass; Syed Mir Iqbal Syed Adeli (Iqie) vokalis dan gitar utama; Ahmad Danial
Ahmad Roslan (Danial) gitar ritma; dan Gavin Wong (Gavin) dram terus disambar
syarikat rakaman Universal Music Malaysia sejak Mac lalu.
Wan Arif Iskandar yang mewakili
Insomniacks berkata, tawaran diterima syarikat rakaman Universal Music Malaysia
itu satu penghormatan buat mereka.
“Sejujurnya, kami berasa bangga
selain menyifatkan ia satu penghormatan apabila mendapat tawaran daripada pihak
Universal Music. Umum mengetahui, mereka mempunyai kredibiliti yang baik,
berpengalaman luas serta mempunyai ramai artis berbakat dan dikenali.”
“Dalam masa sama, tawaran yang
datang juga disertakan dengan pelbagai perancangan yang menarik untuk masa depan
band kami. Jadi, kami berasakan ia bagus untuk jenama dan kerjaya muzik kami
pada masa akan datang.”
“Paling penting, tawaran mereka itu
juga adalah sesuatu yang kami mahukan selama ini terutama dari segi penghasilan
lagu. Pendek kata, kami yakin berada di bawah syarikat rakaman ini,” katanya.
Menurut Iskandar, kontrak itu akan
dimanfaatkan sebaik mungkin di mana sebagai permulaan Insomniacks merancang
untuk melancarkan tiga lagu sebelum penghujung tahun ini.
“Disebabkan selepas kami menandatangani
kontrak bersama Universal Music kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) 3.0, jadi banyak perancangan tergendala. Jadi, apabila
aktiviti seni dan hiburan dibenar beroperasi, insya-Allah, kami merancang untuk
melancarkan sekurang-kurangnya tiga single tahun ini.”
“Ia terdiri daripada dua lagu versi
rakaman semula Pulang dan Reminisensi, selepas itu menyusul single baru. Hala
tuju muzik untuk lagu baru ini nanti tak berbeza dengan kebanyakan single yang
pernah dilancarkan.”
“Cuma, dari segi bunyi mungkin ada
kelainan sedikit kerana kami mahu ia kedengaran lebih ‘matang’. Genre pula sama
iaitu rock kerana kami masih tak puas dengan muzik sebelum ini,” katanya.
Insomniacks yang kesemuanya berusia
24 tahun ini juga adalah kawan baik. Maka, tidak hairanlah jika aliran muzik
dan keserasian mereka dalam berkarya cukup ‘hidup’.
“Kami selesa mencipta dan tulis lagu
sendiri. Kami seronok dapat berkarya bersama. Tapi, kami juga terbuka kalau ada
mana-mana komposer yang mahu bekerjasama. Kami okay dan tidak ada masalah.
Macam sebelum ini, kami pernah bekerjasama dengan Faizal Tahir. “
“Apabila bersama Universal Music
pula, mereka pun okay kalau lagu daripada kami. Sebab mereka tahu kami suka
tulis lagu. Dalam masa sama, kami faham keperluan mereka untuk lagu-lagu yang
lebih komersial. Jadi, tidak ada masalah mencuba, mana yang terbaik kami
terima.”
“Bagi semua karya yang pernah
dihasilkan lirik adalah berdasarkan pengalaman sendiri dan kawan. Cuma, ada
sedikit elemen fantasi supaya ia lebih menarik untuk disampaikan,” katanya.
Sesuatu yang membanggakan buat
Insomniacks juga apabila single Pulang menjadi juara Carta RIM selama 146
minggu.
“Sejujurnya, lagu ini adalah lagu
yang kami cukup banggakan. Sewaktu menulis lagu ini kami sudah berasa ia sangat
istimewa. Apabila ia berjaya diterima baik, memang sangat gembira.
Sampai sekarang pun ramai cakap suka
lagu ini.”
“Malah, kalau kami bawakan lagu ini
ramai turut menyanyi bersama. Terima kasih kepada semua yang sudah dan terus
menyokong kami. Tanpa sokongan semua pihak, kami takkan berada pada tahap ini,”
katanya.
Berkongsi sasaran dan impian
Insomniacks, Iskandar berkata mereka mahu membawa muzik dan memperkenalkan
jenama mereka menerusi siri jelajah di seluruh Malaysia.
“Sasaran kami sejak dari dulu lagi
adalah nak menjelajah seluruh Malaysia. Sebelum ini sudah pernah tapi beberapa
negeri saja. Jadi, jika keadaan negara sudah membenarkan semua aktiviti, kami
mahu teruskan.”
“Dalam masa sama, sambutan peminat
terhadap Insomniacks juga semakin bagus. Apatah lagi kami turut buat sesi
siaran langsung streaming pada setiap Jumaat di Youtube selain mewujudkan
kumpulan Telegram, Maniacks. Dari situ mereka lebih mengenali kami,” katanya.
Sementara itu, Pengarah A&R
& Pemasaran Universal Music Malaysia, Hermond Cheng berkata, Insomniacks
adalah sebuah band yang unik.
“Antara sebab kami ‘mengikat’
Insomniacks dengan bernanung di bawah Universal Music adalah mereka penuh
keaslian. Kesungguhan dan dedikasi mereka terhadap muzik menarik perhatian kami.
Pendek kata, mereka mempunyai ciri-ciri yang kita perhatikan ketika
menandatangani artis.”
“Sudah pasti kami mempunyai
perancangan yang sudah disusun buat mereka. Tidak lama lagi, kami akan
melancarkan beberapa single baru mereka selain perancangan yang lebih menarik pada
masa akan datang. Berbekalkan bakat besar mereka dalam menghasilkan lagu, kami
percaya ia akan membawa kerjaya mereka pergi lebih jauh dan menjadi band
terkenal,” katanya.
Ditanya sejauh mana keyakinan
Universal Music terhadap Insomniacks dalam meneruskan legasi band, Hermond
berkata pihaknya sentiasa berusaha memberikan yang terbaik pada setiap artis.
“Kami sentiasa berusaha untuk
memberikan yang terbaik setiap kali bekerjasama dengan artis. Dan dengan bakat dimiliki
mereka, kami yakin masa depan cerah untuk Insomniacks.”
“Insomniacks x Universal Music
masih mempunyai jalan yang panjang, dan kami berharap dapat bekerjasama dalam
tempoh yang lama,” katanya.
Comments
Post a Comment