DUNYA bakal gegar industri muzik tanah air
Tidak dinafikan sepanjang tempoh hampir dua
tahun negara dilanda pandemik Covid-19, industri hiburan tempatan terutama
arena muzik sunyi. Tidak banyak perkembangan baharu dilihat.
Enggan terus dibelenggu kesepian, penyanyi Akim
Ahmad dan Stacy menerusi syarikat rakaman mereka, Rhythm & Rhyme
Entertainment mengorak langkah ke depan apabila menubuhkan kumpulan atau band
iaitu DUNYA.
DUNYA yang secara rasminya
ditubuhkan tahun ini dianggotai oleh tiga anak muda iaitu Sharul Kamal selaku
vokalis, Tuah Johari (bass) dan Odot (Dram). Menariknya, DUNYA juga baharu saja
melancarkan single sulung mereka berjudul Kuala Lumpuh pada 17 September lalu.
Akim berkata, band DUNYA
ditubuhkan hasil cetusan idea daripada vokalisnya, Sharul sekali gus
menonjolkan sisi berbeza bekas peserta program Akademi Fantasia 2015 itu.
Malah, single Kuala Lumpuh hasil
ciptaan bersama Hang Nadim, Bunga Cantik dan Amin serta lirik oleh Bunga Cantik itu bergenre Pop
Rock.
“Band DUNYA lebih pada genre Pop Rock. Jadi, single
pertama mereka Kuala Lumpuh juga bergenre sama. DUNYA ditubuhkan atas keinginan
Sharul untuk bergerak dengan band.
Jadi, saya dan Stacy bersetuju dan suka dengan
keputusan itu.
“Mungkin ini antara satu kreativiti yang nak
ditonjolkan Sharul dalam berkumpulan. Kami pun cuba dapatkan ahli kumpulan
lain, malah mereka gembira apabila dapat tahu vokalisnya ialah Sharul. Nama
kumpulan hasil cetusan Stacy. Lama juga fikir nama kumpulan.
“Lirik lagu Kuala Lumpuh ini cetusan daripada
Bunga Cantik, yang mana sepanjang hampir dua tahun ini kita melalui fasa
pandemik Covid-19. Perkara ini sedikit sebanyak memberi impak pada semua. Apa
yang berlaku adalah sejarah buat seluruh dunia. Sebagai orang yang melihat
proses penulisan lagu ini, saya berasakan sangat teruja dan gembira dapat
bekerjasama dengan Bunga Cantik. Dia mempunyai idea yang dasyat selain bakat dimiliki
oleh anggota kumpulan DUNYA,” katanya.
Menurut Akim, dia juga mempunyai rancangan masa
panjang buat band DUNYA selain mahu menerbitkan album buat mereka.
“Perancangan akan datang untuk DUNYA, kita
merancang untuk proses rakaman lagu lain dan sedang kumpul material. Insya-Allah
jika ada rezeki dan mudah-mudahan dapat terbitkan album untuk mereka.
“Harapan saya semoga perjalanan DUNYA ini lebih
jauh dan diterima baik oleh semua peminat muzik tempatan. Semoga kemunculan
single pertama mereka juga mampu memperkenalkan lagi DUNYA kepada penggemar
muzik tempatan,” katanya.
Sementara itu, Sharul Kamal berkata idea untuk
bergerak secara berkumpulan sudah lama dan tidak menjangka ia disambut baik
oleh Stacy dan Akim.
“Idea nak menubuhkan band ini sudah lama. Saya
memang teringin nak buat persembahan atas pentas bersama band. Sebab sebelum
ini saya pernah ikut Drama Band dan Akim & The Majistret menjadi kru. Jadi
banyak saya belajar mengenai band. Dari situ saya mengumpul segala semangat dan
ilmu daripada mereka selama beberapa tahun untuk saya nak menubuhkan band.
“Cuma sebelum ini masa tak sesuai dan rezeki
pun belum sampai. Alhamdulillah, Allah kabulkan permintaan saya tahun lepas.
Ketika berjumpa Stacy, saya cakap nak buat sesuatu yang baru. Lagi pula saya sudah
bergerak solo lebih kurang enam tahun sejak keluar AF2015.
Jadi saya berasakan kena buat sesuatu yang lain.
Bukan saja konsep, tapi dari segi muzik yang nak dibawa juga kena baru. Itu
yang tercetusnya idea nak menubuhkan band DUNYA.
“Ketika itu masih belum ada lagu, baru ada idea
nak buat band saja. Saya pun kuatkan hati cakap pada Stacy. Kebetulan dia pun
setuju sebab dia ada perancangan sama untuk saya. Jadi kami cari dan kumpul
anggota kumpulan,” katanya.
Menurut Sharul, dengan tertubuhnya band DUNYA
dia menyifatkan impian dan azamnya selama ini sudah tercapai.
“Alhamdulillah selepas macam-macam dugaan,
rintangan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terhasillah lagu Kuala
Lumpuh dan dapat juga menyiapkan video muzik (MV). Alhamdulillah, azam saya nak
ada band tercapai.
“Bukan sebab tengok orang lain ada band, saya nak
ada band juga, tidak. Sebab saya pernah bekerja dengan band lain, jadi saya
dapat rasa kena ada sesuatu atau geng. Lagi pun saya ingat lagi kata-kata bekas
pengetua AF 2015dulu, Edry KRU, dia pernah cakap karakter saya lebih sesuai dengan
band. Masa itu saya masih lagi kosong dalam bidang ini dan tak faham apa dia
cakap.
“Jadi apabila sudah lama dan kenal ramai orang
dan dapat banyak input, semakin lama saya kenal diri, jadi saya okay dan
berasakan sampai waktu nak bergerak dengan band pula. Tak bermaksud saya tidak
lagi bergerak solo, tapi buat masa sekarang fokus pada band. Andai kata ada
projek solo, saya tetap akan buat,” katanya.
Single pertama dan video muzik rasmi lagu Kuala
Lumpuh sudah dilancarkan secara rasmi pada 17 September lalu di saluran YouTube
Rhythm and Rhyme Entertainment. Sehingga kini, MV itu sudah mencecah tontonan
lebih 100,000.
Comments
Post a Comment