Vaksin Rindu tiup semangat kala pandemik
Keputusan kerajaan membenarkan aktiviti rentas
negeri bermula pada 11 Oktober lalu disambut penuh gembira oleh rakyat
Malaysia. Masing-masing teruja, apatah lagi buat mereka yang sudah lebih setahun
tidak berjumpa ibu bapa dan keluarga tercinta.
Kebenaran itu juga selepas kadar vaksinasi
lengkap di seluruh negara membabitkan golongan dewasa sudah mencapai 90
peratus. Ia sekaligus membuktikan bagaimana tahap kesedaran yang tinggi
masyarakat terhadap suntikan vaksin.
Bertepatan dengan kempen kerajaan juga, sebuah
badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Amal Kemanusiaan Malaysia
melancarkan lagu Vaksin Rindu sebagai usaha dan inisiatif agar orang ramai yang
belum mendapatkan vaksin boleh berbuat sedemikian.
Selain itu, lagu ini juga bertujuan untuk menaikkan
semangat selepas musibah yang menduga kita.
Lagu ciptaan AkhMas dan Yasin Sulaiman dan lirik oleh Yasin
Sulaiman, Suhaimi dan Ghazali itu dinyanyikan oleh Yasin Sulaiman.
Yasin berkata, dia tidak berfikir panjang
ketika ditawarkan untuk menyanyikan lagu Vaksin Rindu selain tertarik dengan
lirik dan tema yang dibawa lagu berkenaan.
“Saya mendapat tawaran menyanyikan lagu ini
bulan lepas. Apabila saya dengar melodi dan baca lirik, saya tak fikir panjang
untuk kata ya. Saya terus terima dan nak buat. Lagi pula, saya suka idea yang
dibawa Persatuan Amal Kemanusiaan Malaysia ini.
“Dalam masa sama, saya lebih kepada nak sokong
kempen dijalankan mereka. Saya nak raikan matlamat kempen mereka menerusi lagu
Vaksin Rindu ini. Melihat usaha mereka ini, ia sesuatu yang bagus kerana ada
kesedaran dan mahu tingkatkan kesedaran kepada masyarakat terhadap suntikan
vaksin di kala virus Covid-19 masih melanda negara,” katanya.
Berkongsi lanjut mengenai lagu itu, Yasin
berkata dia juga turut memberikan sedikit sentuhannya pada melodi dan lirik.
“Pada awalnya memang saya kena menyanyi saja.
Apabila tengok lirik, ia ‘cute’ juga. Lagu sederhana dan santai saja.
Disebabkan karya ini daripada NGO, saya tidak boleh ‘treat’ mereka macam orang
lain. Jadi, saya ada baiki sikit pada bahagian lirik supaya lagu itu lebih baik
hasilnya.
“Sebelumnya saya minta izin dan mereka okay.
Ketika dapat tawaran itu pun, muzik sudah siap. Jadi, saya bantu dalam proses ‘mixing’
sikit. Alhamdulillah, hasilnya diharap dapat diterima baik peminat dan
sama-sama kita menghayati lagu ini,” katanya.
Ditanya mengenai kewujudan golongan yang masih
belum atau menolak vaksin, Yasin berkata perkara itu adalah pendirian dan hak
masing-masing.
“Di sekeliling saya ramai tak ambil vaksin lagi
dengan alasan pelbagai atau mungkin juga mereka berasakan tak nak terbabit
dengan agenda vaksin. Ikut kepercayaan masing-masing.
Tapi bagi saya ia tak jadi masalah pada negara
pun. Sebab kadar vaksinasi seluruh negara pun sudah mencapai 90 peratus.
“Lagi satu, kita tak boleh paksa mereka. Dalam
perubatan pun sama. Cuma, pengambilan vaksin ini adalah untuk kesedaran bersama
bagi melindungi diri kita,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Yasin mereka yang digelar
anti vaksin ini bukanlah ancaman buat mereka yang sudah mengambil suntikan
vaksin.
“Saya tak raikan pendapat mereka, tapi saya
hormat pendirian mereka. Sebab soal masukkan sesuatu dalam badan adalah atas
diri sendiri. Jadi, apa pun keputusan mereka, itu hak mereka.
“Bagi saya, buat masa sekarang ini bukan satu
masalah. Melainkan kalau majoriti yang tak nak vaksin, itu baru masalah. Anti
vaksin bukanlah ancaman buat kita. Kalau tengok sekarang pun kes harian kita makin
turun. Tak perlu nak kecoh atau saling bergaduh di media sosial. Pada akhirnya
yang tak nak ambil tetap tak nak ambil,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Amal Kemanusiaan
Malaysia berharap lagu Vaksin Rindu yang diterbitkan mereka dapat menaikkan
semangat seluruh rakyat Malaysia selepas hampir dua tahun bergelut dengan
situasi pandemik Covid-19.
Lagu Vaksin Rindu ini juga bertepatan dengan
NGO ini yang mana mereka adalah persatuan yang aktif dan giat memberi sumbangan
sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
“Diharapkan lagu dapat menaikkan semangat
selepas musibah yang menduga kita. Untuk sama-sama membantu dan memberi
sumbangan boleh ke arifnasional.com
atau dapatkan merchandise di vaksinrindu.com ,”
katanya.
Lagu Vaksin Rindu bakal dilancarkan secara
rasmi pada 21 Oktober ini.
Comments
Post a Comment