‘GV8’ MEDAN PENENTU 13 PESAING DARI TIGA NEGARA SERUMPUN Syafinaz Selamat sah sertai Tok Ram dan Bunda Hetty di kerusi juri tetap, Nabil Ahmad dan Jihan Muse kekal hos utama musim terbaharu
‘Gegar Vaganza’ atau ‘GV’ ialah satu-satunya
program realiti berkonsepkan pertandingan nyanyian terbitan Astro Ria yang
menyediakan platform komersial penjenamaan semula kerjaya seni khusus untuk
barisan penghibur berpengalaman di Malaysia.
Bakal membuka tirai menerusi penganjuran
edisi kelapan dengan tagline ‘Bintang
Kembali Menyengat’, pentas berprestij
‘GV8’ akan menjadi medan penentu bagi 13 pesaing utama mewakili tiga negara serumpun iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia yang pernah menempa nama di persada seni hiburan suatu ketika dahulu.
Kemampuan 13 bintang utama
yang bakal menjadi pertaruhan edisi kali ini terdiri daripada enam penyanyi solo lelaki, lima penyanyi
solo wanita dan dua penyertaan secara duo atau berkumpulan.
Enam bintang solo lelaki yang akan
memberi saingan sengit untuk musim ini ialah
Aweera, Azan Scan, Dato’ Fazley Yaakob, Shidee, Bandi Amuk dan Aliff
Aziz (Singapura).
Sementara senarai penyanyi solo
wanita yang menyahut cabaran untuk berentap dalam ‘GV8’ ialah Adibah Noor,
Ani Maiyuni, Suki, Nikki dan Upiak Isil (Indonesia).
Musim ini juga turut meriah
dengan kehadiran pelawak terkenal, Saiful
Apek & Yassin serta Nico yang mewakili penyertaan secara duo dan berkumpulan.
‘GV8’
masih mengekalkan format asal penjurian yang
diadili berdasarkan sistem pemarkahan
100% oleh barisan juri profesional. Peserta yang mendapat markah terendah
pada setiap minggu akan disingkirkan.
Untuk rekod, pertandingan ‘GV’
telah menobatkan lapan juara sepanjang penganjuran untuk tujuh musim sebelum
ini yang terdiri daripada Ayai Ilusi (GV1), Siti Nordiana (GV2), Azharina
(GV3), Aishah (GV4), Noryn Aziz (GV5), Naqiu
& Hady Mirza (GV6) serta Cliff Umar (GV8).
Naib
Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro
“Sudahpun
menginjak tahun kelapan, keampuhan populariti dan kredibiliti jenama ‘GV’ kini semakin
matang. Menyorot kembali perjalanan program ini sewaktu mula diperkenalkan
sekitar tahun 2014, matlamat utama kami ialah untuk menyediakan platform
penjenamaan semula bagi para penghibur berpengalaman yang pernah merasai era
kegemilangan suatu ketika dahulu sekaligus membuka lembaran baharu dalam kembara
seni mereka.
Inisiatif yang
dirintis telah berkembang dan terbukti berjaya meletakkan ‘GV’ sebagai pencetus
fenomena sosial yang mempunyai kekuatan dan impak tersendiri untuk mempengaruhi
kecenderungan peminat saban tahun.
Berdasarkan
pengalaman menerbitkan tujuh edisi sebelum ini, ‘GV’ bukan sahaja mampu
menjulang kembali nama bintang-bintang berbakat yang pernah bertanding di
pentas berprestij ini, malah turut berperanan untuk meletakkan kerjaya seni
mereka di landasan yang betul seiring dengan peredaran zaman.
Walaupun masih
mengguna pakai formula kejayaan yang sama, kami tetap menitik beratkan perincian
kandungan ‘GV8’ yang ditambah baik agar lebih mantap. Kami percaya para audiens
terutamanya pengikut setia program ‘GV’ sudahpun lali dengan pelbagai kejutan yang
dibawa masuk bagi merancakkan lagi mutu dan perjalanan pada setiap musim. Pastinya,
satu lagi sejarah bakal dilakar menerusi penganjuran edisi kali ini.
Persaingan 13
bintang dari tiga negara serumpun merupakan antara tarikan utama ‘GV8’ pada
kali ini. Selain itu, kami turut melantik tiga juri tetap yang memiliki
reputasi luar biasa dan cukup disegani di kalangan penggiat seni berbanding
hanya dua orang sahaja sebeum ini. Ketiga-tiga mereka akan turut ditemani oleh seorang
juri jemputan pada setiap minggu menjadikan proses penjurian musim ini akan
lebih sukar dan mencabar.
Bahang
kehangatan semakin terasa. Besar harapan kami agar penganjuran ‘GV8’ berjaya
mengulangi kejayaan musim-musim ini dan mencipta fenomena yang tersendiri. Semoga
terhibur!”.
1.
Penerbitan ‘GV8’ turut disokong
oleh Farm Fresh yang hadir selaku Penaja Utama dengan kerjasama Digi selaku Telco Rasmi. Manakala Adabi dan CUCKOO turut menghulurkan sokongan
selaku Penaja Bersama.
2.
Bagi merancakkan tajaan untuk musim ini, Digi selaku
Telco Rasmi dengan berbesar hati bakal membawakan ‘Anugerah Betul-Betul Luar
Biasa’. Dalam pada itu, Adabi selaku Penaja Bersama turut memperkenalkan anugerah
‘Bintang Paling Power Meow’. Manakala anugerah ‘Bintang CUCKOO Paling
Gempak’ yang dibawakan oleh CUCKOO selaku Penaja Bersama juga turut kembali
dalam penganjuran musim ini. Perincian mengenai anugerah khas yang
diperkenalkan pada musim ini akan diumumkan dari semasa ke semasa.
3.
Selain itu, penganjuran ‘GV8’ juga dimeriahkan dengan kolaborasi
bersama Astro Go, Gempak
dan Ria X selaku Rakan Digital serta SINAR sebagai Rakan Radio
Rasmi untuk musim ini.
4.
Maestro muzik tersohor negara yang sudah sebati dengan
pentas ‘GV’ sejak musim pertama, Datuk Haji
Ramli MS masih lagi dikekalkan sebagai juri tetap untuk musim terbaharu. Manakala
penghibur lagenda Indonesia yang juga tidak asing lagi di kalangan peminat ‘GV’,
Hetty Koes Endang turut kembali ke kerusi juri tetap pada musim ini.
Sebelum ini, Ibu Hetty pernah menyandang tugas sebagai juri tetap untuk musim ‘GV4’
dan ‘GV6’.
5.
Pertandingan ‘GV8’ juga bakal menyaksikan proses penjurian
yang lebih sukar dan mencabar dengan perlantikan Datuk Syafinaz Selamat sebagai
juri tetap di samping Tok Ram dan Ibu Hetty.
6.
Selain itu, seorang
juri jemputan profesional juga turut diundang khas secara bergilir-gillir
pada setiap minggu untuk menyertai barisan juri tetap bagi mengadili
persembahan para bintang.
7.
Gandingan selebriti versatil popular yang cukup serasi, Nabil Ahmad dan Jihan Muse masih diberi kepercayaan untuk mengendalikan pentas
utama selaku ‘Hos’. Sementara itu, personaliti SINAR; Falyq Hikyle dilantik sebagai ‘Hos’ untuk program ‘Kapsul Gegar
Vaganza’. Manakala pelawak dan personaliti GEGAR; Issey dan Fiza Frizzy
pula digandingkan sebagai ‘Hos’ untuk program ‘Gegar Vaganza Live Plus’ yang
akan disiarkan secara serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di
platform digital.
8.
Juara ‘GV8’ akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 ribu beserta trofi sumbangan Astro.
Manakala pemenang tempat kedua dan
ketiga pula akan memenangi RM50 ribu
dan RM30 ribu beserta trofi. Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak akan pulang dengan
tangan kosong yang mana masing-masing bakal membawa pulang RM20 ribu, RM15 ribu dan
RM10 ribu beserta trofi.
Rangkaian program ‘GV8’ akan disiarkan secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) atau strim di platform digital
menerusi aplikasi Astro Go dan portal
Gempak.
Klip sedutan sesi latihan
vokal, persediaan dan trivia para peserta dapat ditonton melalui liputan kapsul
‘Kapsul Gegar Vaganza S8’ pada setiap hari Isnin
hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 15 November 2021.
Bagi yang terlepas untuk menonton, program
‘Kompilasi Kapsul Gegar Vaganza S8’ akan disiarkan khas pada setiap
hari Sabtu, jam 7.00 malam mulai 20 November 2021.
Konsert mingguan ‘GV8’ pula
akan bersiaran secara langsung dari Pusat
Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 21
November 2021.
Untuk pengisian di platform digital,
program ‘Gegar Vaganza Live Plus’
akan disiarkan secara serentak di www.gempak.com/gegarvaganza
ketika berlangsungnya konsert mingguan ‘GV8’ bermula 21 November 2021.
Istimewa untuk pelanggan NJOI,
konsert minggu pertama ‘GV8’ juga
bakal disiarkan secara serentak di
saluran Astro Prima (105). Selain itu, siaran penuh konsert minggu pertama juga boleh distrim menerusi program ‘Gegar
Vaganza Live Plus’ di platform Gempak
pada hari tersebut.
Bagi memberi pilihan yang lebih
fleksibel, siaran konsert penuh minggu pertama ‘GV8’ juga boleh distrim melalui
aplikasi sooka secara percuma menggunakan peranti mudah alih. Untuk
melanggan pelan VIP Entertainment bagi menikmati keseluruhan musim ini sepanjang
10 minggu, muat turun aplikasi sooka di Apple AppStore dan Google PlayStore
atau layari www.sooka.my
Comments
Post a Comment