ALIFF ISKANDAR PERTARUHKAN TAKDIR, LAGU JADI OST SAAT KU TAKLUK CINTA INI



 Berada di dalam studio rakaman selama 10 jam merupakan antara pengalaman baharu yang dilalui oleh penyanyi Aliff Iskandar ketika merakamkan lagu TAKDIR pertengahan tahun ini. Ketika itu keadaan kesihatannya kurang baik disebabkan baru sahaja pulih daripada jangkitan Covid-19 dan menyebabkan dia perlu mengambil masa sedikit lama berbanding kebiasaan. “Memang waktu itu keadaan kesihatan belum pulih sepenuhnya tapi saya perlu merakamkan lagu ini. Sebenarnya keadaan kesihatan saya baik-baik sahaja tetapi pernafasan sedikit terganggu membuatkan proses rakaman menjadi lama. “Tapi keadaan tersebut tidak memberikan kesan kepada hasil rakaman dan saya gembira dapat melunaskan tanggungjawab merakamkan lagu TAKDIR. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar seperti yang dirancang,” katanya yang masih menuntut dalam jurusan muzik di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur ini. Tambah penyanyi yang berusia 21 tahun ini lagi, dia beruntung apabila banyak dibantu oleh Rudy Nastia sepanjang proses rakaman berlangsung. Rudy yang turut bertindak sebagai penerbit lagu ini banyak membantunya memudahkan proses rakaman disebabkan keadaan kesihatannya ketika itu. Lagu TAKDIR merupakan lagu hasil ciptaannya sendiri mana kala lirik pula merupakan tulisannya juga bersama dengan Jaja Ishak. Lagu yang berkisahkan tentang hubungan cinta yang tidak kesampaian. “Apabila menulis lirik TAKDIR pada peringkat awal, saya membayangkan sebuah perhubungan. Adakah hubungan itu berakhir dengan kegembiraan atau pun sebaliknya. “Semua orang mampu merecanakan hubungan apa yang mereka mahukan tetapi pada akhirnya takdir juga yang akan menentukan ke mana hubungan tersebut berjalan,” jelas Aliff atau nama sebenarnya Nor Aliff Iskandar Norazmi ini lagi. Menariknya, lagu ini juga akan dijadikan runut bunyi untuk drama SAAT KU TAKLUK CINTA INI yang ditayangkan menerusi slot Samarinda TV3 bermula 20 Disember ini. Dia bersama Jaja Ishak membuat beberapa pindaan bagi menyesuaikan dengan jalan cerita drama tersebut namun tidak jauh tersasar daripada kisah asal seperti yang dibayangkan. “Memang saya bersyukur apabila lagu ini dipilih untuk menjadi runut bunyi bagi drama berkenaan. Sebagai orang baharu, saya gembira apabila pihak produksi percaya kepada bakat dan hasil kerja. Ini memang pengalaman yang manis untuk penyanyi seperti saya”, kata Aliff yang popular dengan lagu PERIT sebelum ini. Pembikinan video muzik (MV) Takdir turut dibintangi oleh pelakon Intan Najuwa dan Haridz Suhaile yang juga merupakan salah seorang bakat baharu yang sedang meningkat naik. Sebagai info, Aliff merupakan top 5 kategori Artis Baharu Lelaki Popular menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-34 baru-baru ini. Dia juga dicalonkan ke top 20 kategori BBNU Meletop sempena Anugerah Meletop Era 2021 yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Untuk rekod, TAKDIR merupakan terbitan Jaja Ishak Channel dengan kerjasama Indigital Music dan Alternate Records. Lagu ini sudah boleh didengari di semua platform digital dan MV TAKDIR boleh ditonton melalui Youtube Indigital Music mulai 9 Disember 2021 bermula pukul 3 petang

Comments

Popular posts from this blog

Mahu dengar 'tembakannya tepat'? Saksikan "Gegar Vaganza Bunda-Petik" .

PEMENTASAN TEATER DI SEBALIK TOPENG KETENGAHKAN ISU KESIHATAN MENTAL

KONSERT WINGS THE ROCK EMPEROR KUALA LUMPUR CHAPTER 16.12.2023 STD. MALAWATI SHAH ALAM