Astro Warna Membawakan Kembali “The Masked Singer Malaysia”. Musim Kedua Bakal Menemui Peminat Mulai 28 Januari 2022!
Program pertandingan nyanyian penuh misteri yang berjaya mencetuskan fenomena di musim pertamanya pada September 2020 lalu kini kembali! “The Masked Singer Malaysia” musim kedua akan mula bersiaran pada setiap hari Jumaat, mulai 28 Januari 2022, jam 9.00 malam di saluran Astro Warna HD (107), dan juga boleh distrim secara eksklusif di aplikasi Astro GO dan On Demand!
Musim pertama “The Masked Singer Malaysia” sebelum ini telah menyaksikan penyanyi popular tanah air, Aina Abdul dinobatkan sebagai Juara, dalam kostum Bunga Raya! Kini, “The Masked Singer Malaysia” musim kedua bakal membuka tirainya semula dengan kehadiran 14 orang barisan selebriti terkemuka negara, terdiri dari nama-nama hebat yang hadir dari pelbagai cabang seni seperti penyanyi, pelakon, pelawak, personaliti TV, atlet sukan, pempengaruh media sosial dan ramai lagi. Mereka akan beradu tenaga mempersembahkan kehebatan bakat nyanyian masing-masing di hadapan barisan juri yang juga terdiri dari figura dihormati dalam industri. Menariknya, kesemua peserta “The Masked Singer Malaysia” ini akan memakai kostum dari kepala hingga ke kaki dan membuat persembahan misteri. Hanya suara sahaja yang akan dipertaruhkan mereka! Mereka akan berentap dan menyorokkan kemasyuran dan identiti mereka di sebalik topeng. Siapakah mereka di sebalik kostum ini? Nantikan, 28 Januari ini!
“The Masked Singer Malaysia” menggunakan format asal program realiti popular dari Korea Selatan, “The King of Mask Singer” yang juga diadaptasi di negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand,
China dan Amerika Syarikat, di mana ia berjaya mencetuskan satu fenomena yang cukup gah dan diminati ramai.
Terdahulu, program “The Masked Singer Malaysia” musim pertama telah mencatat sejarahnya tersendiri apabila diumumkan sebagai pemenang kategori ‘Best TV Format Adaptation (non-scripted)’ di anugerah Content Asia Awards 2021, Ogos lalu. Majlis penganugerahan tahunan ini mengiktiraf pemain industri kandungan terbaik serata Asia termasuklah Malaysia, Singapura, Jepun, Thailand, Taiwan, Indonesia, India dan banyak lagi.
“The Masked Singer Malaysia” musim kedua ini bakal menyaksikan penglibatan seramai sembilan (9) orang figura yang hadir dari latar belakang berpengaruh dalam industri yang mana mereka ini diberikan penghormatan untuk menduduki kerusi Juri Tetap. Mereka adalah Datuk Aznil Haji Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Zizan Razak, Ella Aminuddin, Remy Ishak, Amy Mastura, Ramona Zam Zam, dan Angah Raja Lawak. Manakala, menggalas tugas Hos pula adalah pengacara tersohor, versatil dan disegani ramai, Datuk AC Mizal.
Sama seperti musim pertamanya dan mengekalkan format asal program realiti ‘The King of Mask Singer’, kesemua peserta “The Masked Singer Malaysia” musim ini akan memakai kostum menutupi susuk tubuh dan menyembunyikan identiti masing-masing. Hanya suara dan kreativiti persembahan sahaja yang akan dipertaruhkan untuk menentukan kedudukan peserta dari minggu ke minggu sehinggalah dinobatkan sebagai juara musim kedua. Untuk musim ini, program ini akan bersiaran dalam durasi dua (2) jam & dua setengah (2.5) jam bagi setiap episod, berlangsung selama 10 minggu dan sesi rakaman dibuat di Putrajaya International Convention Centre (PICC).
Untuk musim ini, terdapat 14 kostum menarik dan unik yang akan dipakai oleh barisan peserta, iaitu:
Bujang Senang, Nanas, Mat Penyu, Seladang, Teh Tarik Kaw, Harum Manis, Periuk Kera, Aiskrim Roti,
Rambutan, Ratu Semut, Orkid, Si Merak ,Burung Hantu dan Pepatung.
Kesemua kostum ini direka khas oleh Akma Suriati Awang, individu yang bertanggungjawab membawakan kostum-kostum pada musim pertama sebelum ini. Beliau memiliki lebih 50 tahun pengalaman dalam rekaan dan perundingan fesyen. Selain berkarya sebagai penatarias industri filem, beliau juga bertanggungjawab untuk rekaan kostum bagi pelbagai produksi teater mega seperti ‘Hikayat Merong Mahawangsa’, ‘Siti Di Alam Fantasi’, ‘Mahsuri’, ‘Puteri Gunung Ledang’, dan ‘Chow Kit Road’. Tahun ini, pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat turut menyerikan kostum “The Masked Singer Malaysia 2” dengan sentuhan beliau dalam pelbagaikan gaya kostum ketika persembahan.
Dalam pada itu, pemuzik, penerbit, penggubah dan penulis lirik terkenal tanah air, Shah Slam sekali lagi hadir untuk musim kedua sebagai Pengarah Muzik.
FORMAT PERTANDINGAN ‘THE MASKED SINGER MALAYSIA’
1. Untuk 10 minggu berturut-turut, 14 selebriti akan membuat persembahan di mana mereka akan menyanyi sambil mengenakan kostum yang akan merahsiakan identiti mereka, bukan sahaja susuk fizikal, malah suara bercakap juga akan diubah!
2. Tahukah anda, identiti sebenar barisan peserta dirahsiakan dan tidak diketahui oleh semua yang terlibat dalam program ini iaitu hos, barisan juri malah dari ratusan krew produksi! Hanya 8 orang sahaja yang diberi amanah untuk menyimpan rahsia identiti sebenar para peserta.
3. Malah, untuk pengetahuan anda, peserta “The Masked Singer Malaysia” juga tidak mengetahui identiti di sebalik topeng peserta lain sehinggalah program ini ditayangkan di kaca TV dan sehingga peserta tersingkir menanggalkan topeng dan mendedahkan identiti sebenar!
4. Sebelum setiap persembahan bermula, paparan video klu akan ditayangkan untuk memberi petunjuk bagi membantu panel juri dan juga penonton untuk meneka dengan tepat.
5. Ketika persembahan peserta berlangsung, barisan juri akan memberi tumpuan ke pentas dan
meneliti setiap aspek seperti gaya suara, karakter di pentas, gaya bahasa badan dan setiap pergerakan peserta untuk meneka siapakah identiti selebriti disebalik topeng. Juri dipertanggungjawabkan untuk kesemua 100 peratus pemarkahan.
6. Selesainya setiap persembahan, pihak juri akan cuba untuk meneka siapakah selebriti di sebalik topeng tersebut.
7. Juri akan memberikan markah bagi setiap persembahan, dan peserta yang menerima markah terendah akan disingkirkan pada minggu tersebut.
8. Selepas pengumuman penyingkiran dibuat di akhir rancangan, detik yang paling ditunggu-tunggu dan mendebarkan adalah saat peserta tersingkir menanggalkan topeng dan mendedahkan identiti misteri mereka buat pertama kali di hadapan hos, barisan juri, dan juga penonton.
9. Peserta yang identitinya tidak didedahkan sehingga berakhirnya episod kesepuluh merupakan juara program realiti The Masked Singer Malaysia musim kedua!
10. Untuk musim ini juga, produksi memperkenalkan anugerah khas untuk juri dengan tekaan tepat yang paling banyak di sebalik topeng. Juri yang mendapat markah tertinggi akan diumumkan sebagai pemenang ‘Tekaan Juri Paling Gempak’ musim ini.
11. Setiap kostum yang dizahirkan melambangkan budaya negara kita sendiri seperti ‘Periuk Kera’, ‘Aiskrim Roti’, ‘Teh Tarik Kaw’, ‘Mat Penyu’ dan banyak lagi. Suntikan lokal yang diberikan menjadikan kostum-kostum yang dibuat kelihatan lebih menarik dan relevan dengan tontonan tempatan.
KENYATAAN RASMI PENGURUS SALURAN ASTRO WARNA, NORZEHA MOHD SALLEH
Program ini yang diperkenalkan di Korea Selatan pada tahun 2015 ternyata berjaya mencetuskan satu gelombang hebat di peringkat global sehingga ia kemudiannya diadaptasi di negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand, China dan Amerika. Keputusan membawanya ke Malaysia ternyata tepat kerana ‘The Masked Singer Malaysia’ musim pertama berjaya mencetuskan satu fenomena hebat sehingga berjaya diiktiraf sebagai pemenang bagi kategori ‘Best TV Format Adaptation (non-scripted)’ di anugerah Content Asia Awards 2021.
Setiap episod yang disiarkan pada musim pertama berjaya merekodkan kedudukan sohor atau ‘trending’ dan menjadi topik utama perbualan di kalangan netizen khususnya. Masing-masing cuba membuat tekaan selebriti manakah yang berada di sebalik kostum dan topeng. Penglibatan nama-nama hebat yang disayangi ramai dalam industri turut membantu dalam menyumbang kepada rekod tontonan yang tinggi saban minggu. Kami begitu berbesar hari apabila Aina Abdul diumumkan sebagai juara pada musim lalu. Kekuatan vokal dan diapit pula dengan keletah genit serta ‘cheeky’ / nakal ‘Bunga Raya’ yang dibawa beliau ternyata berjaya memenangi hati audiens dan barisan juri.
Di sini, kami ingin turut mengucapkan ribuan penghargaan kepada barisan juri di atas kesudian mereka untuk turut serta menjadi sebahagian dari ‘keluarga besar’ musim kedua ini. Saya yakin, kombinasi juri yang hadir dengan karakter individu masing-masing dan memiliki pengalaman luas dalam bidang seni khususnya ini mampu mewarnai ‘The Masked Singer Malaysia’ kita ini.”
“Sebagai saluran komedi utama pilihan rakyat Malaysia, Astro Warna perlu sentiasa peka dengan kehendak penonton dan berusaha menyajikan kandungan terkini, sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Kami menyambut baik perkembangan landskap industri hiburan yang sedia menerima gabungan muzik dan komedi sebagai salah satu cabang seni yang bergerak secara beriringan; sekaligus mentakrifkan semula genre lawak.
Keputusan untuk mengadaptasi program berformat pertandingan nyanyian misteri, ‘The Masked Singer Malaysia’ sebelum ini dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor utama terutamanya dari aspek kehendak penonton yang sentiasa menginginkan kandungan-kandungan segar, penuh variasi dan memiliki keunikannya yang tersendiri.
Program ‘The Masked Singer Malaysia’ musim kedua ini dimeriahkan lagi dengan siri Live+ yang bakal bersiaran pada setiap hari Jumaat, jam 8.30 malam, mulai 28 Januari 2022. Live+ yang akan dihoskan oleh Izzue Islam dan Anna Al Jufrey ini akan menyingkap semula kesemua persembahan setiap peserta di samping berinteraksi bersama audiens dengan pengisian menarik sepanjang program berlangsung.
SINAR tampil sebagai Radio Rasmi dan disokong oleh ERA untuk musim ini, manakala Gempak, Zon Lawak dan Ria X hadir sebagai Rakan Digital.
Comments
Post a Comment