DRAMA ‘EX AKU PONTIANAK’ SUNTIK ELEMEN KOMEDI SERAM & AKSI
Kisah seorang playboy, bekas kekasih dan pemburu hantu dalam naskhah terbaharu ‘Gempak Original Series’
FORMAT DAN INFO SIARAN DRAMA ‘EX AKU PONTIANAK’
Membuka tirai tahun 2022 dengan pengisian konten unik dan segar, portal hiburan Gempak di bawah payung penjenamaan ‘Gempak Original Series’ dengan berbesar hati membawakan sebuah lagi drama rantaian menarik berjudul ‘Ex Aku Pontianak’ menerusi paparan 10 buah episod yang bakal menemui peminat drama Melayu tempatan pada setiap hari Rabu, jam 9.30 malam mulai 19 Januari 2022 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi portal Gempak, aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Tampil dengan taruhan berbeza berbanding kandungan yang pernah direalisasikan sebelum ini, buat julung kalinya genre komedi seram dan aksi diangkat untuk melatari naratif penceritaan kali ini. Secara ringkasnya, drama ‘Ex Aku Pontianak’ mengisahkan tentang seorang playboy bernama Malik lakonan Ikmal Amry yang diburu oleh bekas teman wanitanya, Bella lakonan Elizabeth Tan kerana bermain kayu tiga. Malik terkejut apabila mengetahui Bella sebenarnya ialah seekor pontianak dan dia mendapatkan bantuan Suraya lakonan Raysha Rizrose, seorang pemburu pontianak yang mempunyai misi lain yang tersendiri.
Idea asal drama ‘Ex Aku Pontianak’ terbitan syarikat produksi Red Comm ini diilhamkan oleh Anwar Hadi serta turut mendapat sentuhan Shamyl Othman selaku sutradara dan sokongan panel penulis skrip yang terdiri daripada Sharmaine Othman, Suzanne Ong dan Akmal Nahar.
1
Selain Ikmal Amry, Elizabeth Tan dan Raysha Rizrose, drama ‘Ex Aku Pontianak’ turut membariskan barisan pelakon muda berbakat besar yang semakin menempa nama dalam dunia lakonan seperti Alicia Amin selaku Jay, Maya Hanum selaku Fifi, Fikhree Bakar selaku Zafran, Nabil Zakaria selaku Amran dan Arwan selaku Joe. Drama ini juga diserikan dengan pelakon handalan seperti Fatimah Abu Bakar dan Datuk Malek Noor serta penampilan nama-nama besar selaku cameo seperti Amber Chia dan pelumba negara Alex Yoong.
PETIKAN KENYATAAN RASMI
Syazwan Zakariah, Ketua Content Studio Astro
“Alhamdulillah tahun 2021 merupakan tahun yang agresif buat platform Gempak. Menerusi jenama Gempak Originals Series, pelbagai kandungan unik yang ‘fresh’ dan berlainan genre dipersembahkan menerusi platform televisyen untuk merancakkan lagi industri hiburan tempatan..
Jika sebelum ini Gempak dikenali sebagai penerbit siri program realiti The House, mulai tahun lalu, kami aktif menerbitkan drama bersiri dalam pelbagai genre seperti komedi, thriller dan kekeluargaan menerusi The Maid, Ramadan Pertama Edi, Ahli Bapak Bapak Club dan Tikam.
Setiap satunya mendapat reaksi hebat daripada penonton,
sebagai contoh drama The Maid bukan saja tercalon dalam senarai Top 5 Drama MeleTop untuk Anugerah MeleTop Era, tetapi menjadi drama Melayu
pertama Astro yang bakal ditayangkan di rangkaian televisyen nombor satu Filipina.
Terbaharu, kami bawakan drama bersiri Ex Aku Pontianak yang bukan sahaja menawarkan nilai hiburan yang tinggi dan jalan cerita menarik di luar kotak, tetapi diperkemaskan dengan lakonan yang baik, suntingan yang kreatif serta efek mekap dan kesan khas yang ‘believable’.
Kami juga amat berbesar hati dan bertuah apabila dapat bekerjasama dengan produksi RedComm yang kita sedia maklum sangat teliti dalam menghasilkan sesebuah karya. Syabas sekali lagi saya ucapkan kepada semua yang terlibat dalam merealisasikan naskhah ini terutamanya barisan pelakon yang begitu komited untuk memberikan hasil yang terbaik.
Semoga peminat akan terhibur dengan drama terbaharu taruhan kami. Selamat menonton!”
TRIVIA MENARIK DRAMA ‘EX AKU PONTIANAK’
1. Pelakon Raysha Rizrose yang memegang watak sebagai Suraya akui gementar untuk melakukan aksi lagak ngeri sendiri di set penggambaran. Namun Raysha berjaya menyahut cabaran dan tampil berani demi menjiwai watak yang diberi.
2. Sewaktu tempoh penggambaran masih lagi berjalan, Raysha turut diberikan cuti selama beberapa hari membuat persediaan dan menghadiri majlis perkahwinan kakaknya, Uqasha Senrose.
2
3. Untuk makluman, pelakon dan penyanyi Elizabeth Tan atau lebih mesra disapa Lizzy sebenarnya tidak tahu membawa kereta serta tidak pernah memiliki lesen memandu. Oleh hal yang demikian, penulis skrip terpaksa menukar babak yang memerlukan Lizzy untuk memandu kereta kepada babak menaiki Grab.
4. Setiap kali Lizzy perlu menjalani babak minum air darah, beliau sering berjenaka yang dia akan mendapat penyakit kencing manis selepas itu kerana bahan prop darah tersebut mengandungi kandungan gula yang tinggi dan sangat manis.
5. Pelakon dan model yang juga merupakan salah seorang finalis Hero Remaja 2017, Ikmal Amry pernah berlakon di bawah arahan sutradara Shamyl Othman untuk drama siri ‘Gantung’.
6. Datuk Malek Noor amat disenangi ramai sewaktu di set penggambaran kerana sering menceriakan suasana dengan keletahnya. Beliau juga suka mengeluarkan dialog-dialog spontan yang mencuit hati.
7. Drama rantaian ‘Ex Aku Pontianak’ merupakan drama bertama lakonan pendatang baru, Maya Hanum yang menjayakan watak sebagai Fifi.
8. Nabil Zakaria yang memegang watak sebagai seorang pendandan rambut bernama Amran mendapat tunjuk ajar tentang teknik mendandan rambut gaya braid daripada pasukan make-up.
9. Kebanyakan hari penggambaran akan mengambil masa sehingga semalaman untuk diselesaikan. Oleh itu, para pelakon akan berehat dan tidur dahulu sementara menunggu. Apabila tiba giliran, mereka harus mencuci muka dan touch up semula agar nampak segar.
SINOPSIS DRAMA ‘EX AKU PONTIANAK’
Malik, seorang playboy keluar berpacaran dengan Bella, seorang gadis jelita dan manja sejak empat bulan lalu. Namun, kawan-kawan Bella iaitu Jay dan Fifi sengaja menakutkan Malik tentang misteri kehilangan kesemua bekas kekasih Bella secara tiba-tiba sekiranya hubungan mereka gagal lalu berpisah. Namun, Malik menganggap perkara tersebut sekadar gurauan semata-mata.
Selepas beberapa bulan menjalinkan hubungna cinta, Malik berasa bosan dengan Bella dan mula tertarik dengan Suraya, seorang penulis di pejabatnya. Hubungan mesra Malik dan Suraya kantoi apabila Bella mendapat tahu mereka keluar makan bersama-sama lalu menyebabkan Malik dan Bella berpisah.
Malam selepas mereka berpisah, Malik mula diganggu dengan perkara pelik seperti mendapat surat amaran jari putus yang dihantar oleh Zombie Bella. Malik mula teringat dengan cerita yang pernah disampaikan oleh Jay dan Fifi kepadanya sebelum ini. Malik mula menyiasat tentang perkara tersebut dan cuba mencari jalan untuk menyelamatkan dirinya dengan meminta bantuan daripada seorang bomoh. Rupa-rupanya, bomoh tersebut ialah Suraya yang merupakan seorang pemburu Pontianak yang mempunyai misi tersendiri untuk menghapuskan pontianak jahat seperti Bella yang cuba mengumpul kuasa baharu.
Comments
Post a Comment