Gadis Pilot Lancar Single Terbahru Ceritaku - Farah Rose
Empat tahun lalu dia didatangi komposer Eddie
Hamid ketika mengadakan persembahan pada sebuah acara di Pulau Langkawi
kemudian menawarkannya untuk merakamkan lagu.
Tanpa berfikir panjang, Farah Rose, 22, atau
nama sebenarnya Nur Farah Najihah Rosmi terus menyatakan persetujuan apatah
lagi menjadi penyanyi adalah impiannya sejak kecil.
Farah Rose menyifatkan tawaran itu adalah
peluang keemasan buat dirinya untuk memperkenalkan lagi diri dan bakat
dimiliki.
Meski tanpa sebarang pengalaman, Farah Rose
menjadikan kekerapan menyertai pertandingan nyanyian sebagai platform dalam
mengasah minat sekaligus mengejar impian menjadi bintang.
“Diakui saya memang minat menyanyi dan mahu
menjadi penyanyi. Malah, saya sering menyertai pertandingan nyanyian sejak
kecil dan tidak terkecuali pergi uji bakat. Cuma belum ada peluang dan rezeki.
“Jadi, apabila mendapat tawaran merakamkan lagu
daripada komposer Eddie Hamid, saya anggap ini adalah peluang keemasan. Tidak
ada alasan untuk saya menolak. Dalam masa sama kedua ibu bapa saya juga
memberikan sokongan penuh.
“Dari kecil lagi mereka yang banyak ketengahkan
bakat saya. Mereka selalu bawa saya masuk pertandingan menyanyi,” katanya.
Biarpun peluang sudah terbuka untuknya, Farah
Rose terpaksa melupakan seketika tawaran itu kerana dia perlu melanjutkan
pengajian dalam bidang juruterbang di HM Aerospace Langkawi pada 2018.
Selepas tamat pengajian dan melengkapkan 200
jam penerbangan pada Disember tahun lalu, Farah Rose kini bersedia untuk
memberi fokus pada bidang nyanyian.
Lagu Ceritaku ciptaan sepenuhnya oleh Eddie
Hamid menjadi single pengenalan Farah Rose yang mana sudah dirakam pada 2020.
“Kalau ikutkan lagu Ceritaku ini saya dapat
pada 2018 lagi. Tapi, ketika itu saya masih belajar atau dalam latihan. Cuma saya
sempat curi masa dan merakamkan single ini pada 2020. Tapi tidak dilancarkan
lagi sebab bimbang mengganggu jadual. Itu yang tangguh sehingga awal tahun ini.
“Saya nekad untuk rakam dan teruskan dalam
bidang nyanyian kerana ia memang minat saya. Malah, saya fikir peluang yang
datang ini bukan selalu. Disebabkan itu, saya mahu juga teruskan biarpun ia
ambil masa empat tahun. Alhamdulillah, lagu Ceritaku ini akhirnya dapat
dilancarkan,” katanya.
Berkongsi lanjut mengenai lagu Ceritaku itu,
Farah Rose berkata, bukan sesuatu yang mudah buatnya merakamkan single bergenre
balada itu.
Menurut Farah Rose, dia mengambil masa enam jam
untuk merakamkan lagu berkenaan iaitu dari jam 10 malam hingga 4 pagi.
“Saya memang tidak ada pengalaman merakamkan
lagu. Malah ini adalah single pertama saya dan pengalaman pertama masuk studio.
Sejujurnya memang susah. Ketika proses rakaman baru saya belajar yang mana
setiap baris dan bait lirik itu kena ada emosi.
“Dalam masa sama, saya perlu ada cara
tersendiri dalam nyanyian. Saya tidak boleh terikut atau tiru cara penyanyi
lain. Jadi, nak mendapatkan semua itu memang ambil masa. Genre lagu ini pula
balada dan bernada tinggi, lagi bertambah teliti pembikinannya.
“Apa pun saya berterima kasih pada komposer
Abang Eddie Hamid kerana dia banyak membantu saya sepanjang proses rakaman,”
katanya.
Menariknya juga, lagu Ceritaku itu turut
dipilih menjadi antara lagu tema drama bersiri Honeymoon yang bakal ditayangkan
di Slot Dahlia, TV3 pada Mac depan.
“Alhamdulillah, ini juga rezeki buat saya dan
lagu ini. Terima kasih kepada pihak produksi iaitu Mache Allstar. Penantian
selama empat tahun itu berbaloi juga. Saya anggap ini satu permulaan yang baik
bagi lagu Ceritaku ini.
“Sama macam penyanyi lain juga, pastinya
platform drama dan lagu tema ini sedikit sebanyak membantu lagu itu untuk
dikenali. Malah, saya berharap lagu dan kerjaya saya boleh pergi jauh,
insya-Allah,” katanya.
Ditanya sejauh mana pandangannya mengenai gimik
yang sering digunakan segelintir pihak dalam mempopularkan lagi karya mereka,
Farah Rose punya pendirian tersendiri.
“Tidak dinafikan apabila gimik itu menjadi
tular ia memang membantu menaikkan nama seseorang. Tapi sejauh mana kesannya
pada diri dan kerjaya berbalik pada isu yang dibawa itu.
“Jadi kalau ditanya saya secara peribadi, saya
tidak mahu menjadi tular disebabkan perkara yang mengaibkan atau bukan bukan.
Kalau boleh biarlah perkara itu masih memberi gambaran positif. Cara paling
selamat adalah gunakan media sosial sendiri untuk mempromosikan lagi lagu ini.
“Tapi andai kata satu hari nanti saya tular
juga dan bukannya daripada saya sendiri, saya okay dan bersedia untuk berdepan
perkara itu,” katanya.
Comments
Post a Comment