ALIF SATAR & THE LOCOS x RAIHAN TAMPILKAN EP ‘THE SUNNAH THE BETTER’
Karya-karya Unggul Raihan Diberikan Nafas Baharu Dalam Sebuah EP
Bersempena Ramadan Yang Bakal Tiba
Penyanyi, pelakon dan pengacara nombor satu negara, Alif
Satar dan juga kumpulannya The Locos bersama-sama kumpulan nasyid legendaris tanah air,
Raihan, kembali mengimarahkan bulan suci Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi dengan
sebuah EP khas berjudul ‘The Sunnah The Better’ yang diterbitkan secara eksklusif oleh label
rakaman terkemuka, Warner Music Malaysia.
“Sesungguhnya ia merupakan penghormatan besar buat kami, pemuzik pelapis, dapat
bekerjasama dengan senior-senior dalam industri muzik Malaysia seperti Raihan. Kita semua
membesar mendengar lagu-lagu Raihan yang penuh dengan pengajaran dan peringatan sebagai
umat Islam, dan melalui kolaborasi ini, kami ingin menghidupkan semula semangat tersebut dan
mengembalikan nostalgia lagu-lagu berunsur spiritual sekaligus memperkenalkan Raihan kepada
generasi muda sekarang,” jelas Alif memula kata.
Pada 2019 yang lalu, Alif pernah merakamkan ‘#Sesungguhnya2019’ dan ‘Damba CintaMu’ yang
mendapat sambutan luar jangkaan daripada penggemar muzik. Kini, Alif Satar & The Locos sekali
lagi mengorak langkah dengan mengeluarkan EP yang memuatkan 5 hits terbaik Raihan dalam
bentuk audio di laman YouTube bermula 1 April ini seperti ‘Bismillah’, ‘25 Rasul’, ‘Puji-Pujian x
Syukur (Medley)’, ‘Assolatuwassalam’ dan ‘Rayuan Rindu’, manakala muzik videonya (MV) pula
dilancarkan secara berperingkat sepanjang bulan Ramadan.
Bila ditanya, mengapa Raihan? Alif dengan tenang menjawab, “Kami semua peminat Raihan
sedari kecil lagi, kebanyakkan lagu mereka kami sudah hafal by heart. Kami juga pernah
bekerjasama sebelum ini, jadi chemistry yang ada memudahkan lagi proses rakaman.
“Setelah berbulan perbincangan, kami mengambil keputusan untuk memulakan sesi rakaman
yang hanya memakan masa selama 2 hari sahaja, dan apa menariknya, setiap lagu yang dihasilkan
hanya ‘sekali jalan’, maksudnya tiada pengubahsuaian mahupun rakaman semula ibarat nyanyian
secara langsung yang bertempat di Drum Asia, Kota Damansara.”
Alif juga turut berkongsi bahawa beliau ada menitiskan air mata sebak kerana tidak menyangka
dapat merakamkan lagu bersama-sama kumpulan nasyid bertaraf antarabangsa ini, katanya,
“Lagu-lagu Raihan amat menyentuh perasaan dan penuh kesedaran, bukan saya seorang sahaja
yang terasa sebaknya, bahkan anggota The Locos juga turut menitiskan air mata, dan perasaaan
kebersamaan atau ukhuwah itu jelas terasa.
Raihan, sebuah nama besar dalam industri muzik Malaysia yang tidak perlu diperkenalkan lagi,
mempunyai pengaruh besar dari dalam mahupun luar negara, lagu-lagu ciptaan mereka tersebar
luas di seluruh dunia merentasi sempadan benua, fahaman dan budaya dengan membawa
mesej-mesej ketuhanan dan kerohanian yang penuh dengan nasihat dan panduan berguna.
“Banyak yang kami pelajari dari mereka, agak gementar juga ketika mula-mula hendak
bekerjasama, yalah mereka sudah bertaraf antarabangsa. Namun begitu, mereka tetap
merendah diri dan tidak lokek berkongsi ilmu selain menerima cadangan-cadangan kami.”
“Ada beberapa kelainan yang kami tonjolkan melalui EP ini, jika sebelum ini kebanyakkan lagu-
lagu Raihan dibawakan secara acapella, pada kali ini kami ada memasukkan bunyi-bunyian dari
alatan muzik, manakala Che Am dan saya bertindak selaku ketua vokal.”
“Tidak banyak yang diubah kerana komposisi terdahulu sudah cukup sempurna agar mood yang
dibawakan tidak lari dari bunyi yang asli. Selain itu, ahli The Locos juga turut menyumbangkan
suara mereka selaku penyanyi latar.”
Selain EP, kesemua MV The Sunnah The Better arahan saudara Zaidan Zainuddin dari
Shutterspeak Studio akan menampilkan konsep yang ringkas namun menarik dengan jalan cerita
yang mudah difahami oleh setiap lapisan umur termasuk kanak-kanak kerana tujuan utamanya
adalah memberi nasihat melalui lagu yang disampaikan.
“Tujuan utama kami menghasilkan EP ini adalah untuk menghibur dan membawakan mesej-
mesej berguna dengan jujur dan ikhlas. Semoga ramai dapat menerimanya dengan hati yang
terbuka dan sama-sama kita meriahkan bulan Ramadan yang mulia ini dengan mendidik anak-
anak melalui konsep edutainment ini, dan kami juga ingin mengajak mereka yang bukan
beragama Islam untuk turut mendengar dan secara tidak langsung dapat belajar tentang agama
Islam,” akhiri Alif.
Selain daripada itu, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh Ahli Jawatan
Kuasa Masjid Al-Falah Subang Jaya atas kerjasama yang diberikan dan membenarkan pihak kami
untuk membuat rakaman video muzik di masjid tersebut.
Kesemua MV EP ini boleh ditonton berperingkat secara eksklusif di saluran YouTube Alif Satar
seperti berikut;
1. 3 April 2022: Bismillah
2. 7 April 2022: 25 Rasul
3. 13 April 2022: Pujian-pujian + Syukur (Medley)
4. 19 April 2022: Assolatuwassalam
5. 24 April 2022: Rayuan Rindu
Kelima-lima video muzik ini akan dilancarkan pada jam 5.00 pagi iaitu di waktu sahur bagi umat
Islam di bulan Ramadan.
Lagu-lagu yang terkandung dalam EP ‘The Sunnah The Better’ boleh dimuat turun di iTunes dan
boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi
tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas
talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, KKBox, Deezer dan juga YouTube Music bermula 1 April
2022.
Comments
Post a Comment