LAPORAN ‘BERITA 757’ BERANI, LANTANG ANGKAT SUARA RAKYAT
Bagi mengukuhkan kedudukan dan kredibiliti sebagai jenama
utama yang berani menyalurkan maklumat telus dalam menyuarakan kebenaran demi menjaga
kebajikan rakyat, saluran stesen televisyen swasta percuma (free-to-air)
Awesome TV menerusi penerbitan program ‘Berita 757’ konsisten mengupas
kandungan berita berkaitan isu-isu semasa dan sensitif yang dekat dengan
masyarakat tanpa berpihak kepada mana-mana pihak.
Mengangkat slogan ‘Rakyat Keutamaan Kami’,
program ‘Berita 757’ yang mula dilancarkan pada 1 Februari lalu
bersiaran secara langsung pada setiap hari Isnin hingga Ahad, jam 7.57 malam
di platform Astro saluran 123 dan MyTV saluran 112.
Menerusi durasi 33 minit, ‘Berita 757’ membawakan laporan
harian yang merangkumi berita-berita nasional, tempatan dan luar negara
merentasi segmen politik, isu semasa, ekonomi, jenayah, hiburan dan sukan. Program
‘Berita 757’ dikemudikan oleh empat personaliti berita yang bertanggungjawab
untuk mengendalikan slot harian secara bergilir-gilir. Mereka terdiri daripada Dr.
Mohd Ghazali Taib, Ain Syuhada Ahmad Bohari, Nadhra Mohd dan Adriana
Ghafar.
Mengulas lanjut mengenai hala tuju dalam meletakkan
‘Berita 757’ sebagai wadah berpengaruh untuk memperkasakan suara rakyat
Malaysia, Dato’ Adam Ilyas selaku Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV
berkata, “Seperti yang kita tahu, saluran berita merupakan salah satu
komponen utama pilihan audiens yang berperanan untuk memberikan akses kepada sumber
maklumat penting.
Selaku stesen televisyen yang berperanan sebagai cermin masyarakat, kami memikul tanggungjawab besar dalam melaporkan berita yang diperoleh daripada sumber yang tepat secara adil tanpa memihak atau dikawal oleh mana-mana pihak yang mempunyai kuasa politik atau
berkepentingan. Kami berpegang
kepada kebebasan media serta berani menongkah arus untuk memberi kritikan dan
teguran membina sambil menyalurkan maklumat.
Namun begitu, walaupun corak
pemberitaan laporan ‘Berita 757’ bersifat agresif dan vokal, kami tetap mengambil
kira soal sahsiah dan menitik beratkan kawalan ke atas setiap isi kandungan
liputan yang dibuat kerana sedar akan implikasi yang mungkin boleh berlaku
setelah maklumat tersebut disebarkan dan diterima oleh orang ramai.
Walaupun baru sahaja
dilancarkan pada 1 Februari lalu, kami gembira dengan maklum balas positif yang
diterima kerana pendekatan ‘Berita 757’ terbukti berkesan apabila berjaya merekodkan
kedudukan kedua teratas atau ‘Top 2’ bagi kategori berita dalam bahasa melayu
dengan jumlah tontonan melebihi 18 juta sejak ia dilancarkan dua bulan lalu. ’Berita
757’ turut berjaya meraih perhatian golongan muda apabila mencatatkan sejumlah 57
ribu pengikut di platform media sosial, TikTok.
Sebagai pemain baharu dalam
segmen berita, kami menyimpan aspirasi untuk melihat ‘Berita 757’ berdiri
sebagai ‘trendsetter’ alaf baharu bidang pemberitaan bertaraf dunia dan berpengaruh
sebaris dengan pemain arus perdana yang lain di Malaysia.”
Bagi menyuntik kelainan unik dan segar daripada
segi penyampaian dan persembahan secara visual sekaligus menyerlahkan pesona barisan
personaliti ‘Berita 757’, selebriti tersohor tanah air, Datuk Aznil Haji
Nawawi atau lebih mesra dengan panggilan Pak Nil dilantik sebagai tenaga
pengajar yang akan melatih serta membimbing mereka untuk silibus pembinaan karekter,
pembentukan bahasa tubuh yang efektif merangkumi ekspresi wajah, gerakan badan,
lontaran suara, disiplin pengucapan awam terutamanya di hadapan kamera, teknik berinteraksi,
penjagaan tata rias dan sebagainya.
Adam turut menambah, “Kami amat berbesar hati
dengan kehadiran Pak Nil yang sudi berkongsi pengalaman dan kepakaran yang beliau
miliki untuk melatih personaliti ‘Berita 757’. Dengan legasi seni lebih 30
tahun berkecimpung dalam bidang pengacaraan, kredibiliti dan reputasi cemerlang
beliau sebagai personaliti TV dan pengacara yang disegani meletakkan Pak Nil
sebagai guru yang dilihat paling layak untuk memberikan tunjuk ajar kepada pembaca
berita kami. Semoga ilmu yang beliau turunkan dapat dimanfaatkan bersama
sekaligus memberikan satu lagi tanda aras baharu untuk bidang pengacaraan
Kami juga ingin mengambil
kesempatan ini untuk berkongsi mengenai inisiatif pencarian bakat baharu yang
berpotensi untuk diketengahkan sebagai personaliti ‘Berita 757’. Insya Allah, sesi
uji bakat terbuka bakal diadakan selepas raya nanti. Butiran lanjut mengenai perancangan
ini akan diumumkan dari semasa ke semasa.”
Untuk makluman, Awesome TV telahpun memulakan
operasinya sejak Ogos 2020 dan menyiarkan program-program menarik tempatan dan
luar negara, menerusi segmen Drama, Bicara (rancangan bual bicara), Kids,
Hiburan dan Komedi.
Comments
Post a Comment