LU PIKIR LA NABIL, TUUDEH..! janjikan gelak ketawa tapi padat dengan pengajaran



 Siri mini animasi di Astro Warna kali ini mengambil kampung selebriti Nabil Ahmad sewaktu kecil di Kampung Kayu Ara, Mambau, Negeri Sembilan sebagai backdrop dan jalan ceritanya. Animasi pendek terbitan Astro dan Ed Online Technologies Sdn Bhd bersama selebriti Nabil Ahmad ini merupakan animasi selebriti pertama di Malaysia dan juga kesinambungan kepada musim pertamanya yang telah mendapat sambutan baik daripada para peminat. Penceritaan menerusi lima episod pendek yang berdurasi tujuh hingga sebelas minit ini mengisahkan Nabil, seorang kanak-kanak yang penuh dengan angan-angan dan seringkali menimbulkan kekecohan di kampungnya dengan tidak sengaja. Dan kerana hal itu, dia berdepan dengan pelbagai masalah, tambahan pula dengan kehadiran budak baharu bernama Syasya sehingga menggugat persahabatan dengan kawan-kawan karibnya, Mok serta Fahmi. Hidupnya serba tidak kena dengan pelbagai masalah yang timbul ketika Ramadan yang mengakibatkan kekecohan berlaku ketika sambutan Hari Raya dikampungnya. 2 Animasi musim kedua ini menggambarkan suasana sambutan Ramadan dan Raya Nabil sewaktu kecil di kampungnya. Penceritaan animasi ini juga mengetengahkan dialek tempatan iaitu dialek Negeri Sembilan sebagai dialog utama yang menjadikan animasi tersebut lebih menghiburkan. Siri mini animasi ini mengekalkan tempo penceritaan padat dan padu dengan pengisian-pengisian yang boleh dijadikan pengajaran dalam hidup seisi keluarga walaupun berdurasi pendek. Animasi bergenre komedi keluarga ini merupakan arahan juruanimasi berpengalaman, Syukur Majid dengan idea asalnya oleh Nabil Ahmad, juga sebagai pelakon suara watak utamanya. Animasi ini turut didukung oleh barisan pelakon suara seperti Shahril Fahmey dan Haefizul Yusof, iaitu kawan baik Nabil dari kecil yang dijemput khas untuk membuat alih suara bagi watak Fahmi dan Mok serta Amanda Amry, pelakon yang sedang meningkat naik. Siri mini animasi ‘Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..!’ musim kedua ditayangkan setiap Khamis, mulai 7 April 2022, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna HD (107) dan ulangan di saluran Astro Ceria HD (611) pada setiap Ahad, jam 3.00 petang. Animasi ini juga boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

1. Siri mini animasi ini merupakan animasi selebriti pertama di Malaysia. 2. Siri animasi Ramadan Raya khas bersama Nabil Ahmad merupakan animasi pertama di Astro Warna. 3. Inspirasi animasi ini berdasarkan kisah kehidupan selebriti Nabil Ahmad bersama rakan-rakan sekampungnya ketika kecil. 4. Penceritaan animasi ini menggunakan Bahasa Melayu dalam dialek Negeri Sembilan. 5. Nabil menjemput kawan-kawan karib sejak kecil untuk membuat alih suara animasi untuk watak Mok dan Fahmi. 6. Alih suara bagi karakter baharu dalam siri mini ini, Syasya merupakan alih suara pertama untuk pelakon baharu Amanda Amry. 7. Musim baharu ini menampilkan kisah-kisah yang boleh menghiburkan bukan sahaja untuk kanak-kanak malah orang dewasa dengan elemen satira dan nostalgia. 8. Nabil dan WARIS berganding bahu untuk lagu tema dan video muzik lagu Raya, ‘TuuDeh Rayo!’ sempena siri animasi kali ini.

 Nabil Ahmad sebagai Nabil Shahril Fahmey sebagai Fahmi (sahabat karib Nabil) Haefizul Yusof sebagai Mok (sahabat karib Nabil) Amanda Amry sebagai Syasya Abah sebagai Ayah kepada Nabil Mak sebagai Ibu kepada Nabil Pak Abu sebagai sahabat kepada Ayah Nabil Cik Ambros sebagai Ketua Kampung

Nabil diuji dengan masalah di bulan Ramadan sehingga mengugat persahabatan dengan kawan-kawannya, di tambah pula dengan gelagat orang–orang kampung dan kehadiran budak baharu, Syasya

Lu Pikir La Nabil, Tuudeh..! mengisahkan kehidupan seorang kanak-kanak bernama Nabil di kampungnya menjelang bulan Ramadan. Nabil diuji dengan pelbagai masalah setelah berlaku salah faham di antara orang kampung dan dirinya apabila dia mencari kucingnya, Piah yang hilang. Namun, orang kampung pula tersalah sangka dan menganggap isteri ketua kampung yang turut bernama Piah yang hilang. Maka kecohlah satu kampung akan salah sangka ini. Kehadiran budak baharu bernama Syasya turut menggugat persahabatan Nabil dengan kawan-kawannya apabila dia dituduh sebagai penyebab pelanggan murtabak Pak Abu mendapat keracunan makanan. Kawan-kawannya pula menjauhkan diri dan mula rapat dengan Syasya. Nabil sekali lagi difitnah dan dituduh ponteng puasa apabila dia berada di tempat dan masa yang salah. Akibatnya orang kampung mula pandang sinis terhadap dia dan keluarganya. Raya menjelma tetapi Nabil masih bergaduh dengan kawan-kawan dan keluarganya dipulaukan. Namun Syasya menjumpai bukti yang menunjukkan Nabil sebenarnya disabotaj dan sekaligus membersihkan nama Nabil. Adakah Nabil dan kawan-kawannya akan berbaik semula dan beraya bersama? 

Comments

Popular posts from this blog

Mahu dengar 'tembakannya tepat'? Saksikan "Gegar Vaganza Bunda-Petik" .

PEMENTASAN TEATER DI SEBALIK TOPENG KETENGAHKAN ISU KESIHATAN MENTAL

KONSERT WINGS THE ROCK EMPEROR KUALA LUMPUR CHAPTER 16.12.2023 STD. MALAWATI SHAH ALAM