TUAH JUARA MIC ON MUSIN KE -2
Selepas 10 minggu bersiaran, program realiti berkonsepkan pertandingan
pencarian bakat yang menggabungkan elemen nyanyian dan komedi di Awesome TV,
MIC ON! melabuhkan tirainya dengan konsert pentas akhir pada Jumaat, 1
April 2022, 9.00 malam, yang mana telah menyaksikan peserta kegemaran
ramai, Tuah, dinobatkan sebagai juara untuk musim kedua ini! Tuah atau
nama penuhnya Mohamad Farhan Zahi Mohd Zaini, 29 tahun, telah berjaya memenangi
hati ketiga-tiga Juri Tetap, Dato’ Awie, Dato’ Hattan dan Mas Idayu
dengan kedua-dua persembahan beliau, “Cintaku 100 persen”, nyanyian asal
Mas Idayu bagi segmen “Tribute Untuk Juri” dan “Salam Terakhir”,
nyanyian asal Allahyarham Sudirman Hj. Arshad untuk segmen “Bebas”.
Dengan markah keseluruhan sebanyak 521 / 600*, Tuah membawa pulang hadiah
kemenangan wang tunai sejumlah RM15,000 dan sebuah trofi sumbangan
Awesome TV.
Dato’ Hattan selaku Juri Tetap berkata, “Kebolehan Tuah untuk mempersembahkan
lagu-lagu yang ditugaskan kepada beliau dengan baik dan kurang memperlihatkan
kesilapan sepanjang berlangsungnya konsert ini selama 10 minggu ia bersiaran
mengesahkan bahawa Tuah sebenarnya sudah bersedia untuk berada dalam industri
seni tanah air. Kebolehan beliau menyampaikan persembahan terutamanya dengan
lagu-lagu bergenre rock perlu diakui ramai, dan beliau ini layak ditawarkan
untuk menggalas tanggungjawab sebagai vokalis untuk kumpulan-kumpulan rock
terhebat tanah air.”
Dato’ Awie turut menambah, “Saya
sarankan Tuah untuk bersama dengan Din dan Kid, menjadi vocalis kumpulan
tersebut! Tuah adalah bukti kita mempunyai ramai bakat-bakat tempatan yang
hebat dan boleh diketengahkan seterusnya menyerikan lagi industri seni tanah
air. Pada masa yang sama, kebolehan Tuah untuk bermain instrumen muzik memberi
beliau kelebihan untuk terus menyerlah dalam bidang ini. Mungkin kali ini,
rezeki betul-betul di pihak Tuah”
Dalam pada itu, “Manager” Tuah, Fad Bocey yang ditugaskan
untuk membimbing dan memberi tunjuk ajar dari minggu ke minggu diumumkan
sebagai “Best Manager” untuk musim ini seterusnya membawa pulang hadiah
wang tunai sebanyak RM10,000 beserta trofi. Ini merupakan kemenangan
berganda buat Fad kerana beliau juga berjaya mengungguli kategori yang sama
pada musim pertama tahun lalu.
Di tempat kedua pula ialah Bulan, dengan markah keseluruhan
sebanyak 443, dan beliau telah mempersembahkan lagu “Dari Kekasih Kepada
Kekasih” nyanyian Dato’ Hattan dan “Segalanya Ku Terima” (Ilusi),
masing-masing untuk kategori “Tribute Untuk Juri” dan “Bebas”. Bulan membawa
pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000. Haze terpaksa akur di kedudukan
ketiga dengan markah terkumpul sebanyak 425. Beliau membawa pulang hadiah
wang tunai sebanyak RM2,500 dan sebuah trofi. Namun begitu, kejayaan malam
tersebut dilihat berganda buat Haze kerana beliau juga diumumkan sebagai pemenang
“Talent Terbaik MIC ON! Musim Kedua Pilihan Awesome TV”. Kemenangan ini
berpihak kepada Haze kerana tahap persembahan beliau yang ditampilkan dari
minggu ke minggu dilihat meningkat dan potensi yang ditunjukkan ternyata
berjaya memenangi hati barisan juri. Haze telah membawakan lagu “Memburu
Rindu”, nyanyian asal Dato’ Hattan dan “Suratan Atau Kebetulan”,
oleh Kenny, Remy & Martin.
Zakir pula berada di
tempat keempat dengan markah keseluruhan sebanyak 392 dengan lagu “Hukum
Karma” (Wings) dan “Jangan Khianati Aku” (Azlan Typewriter). Finalis
tunggal wanita, Yulia, berada di kedudukan kelima dengan 353.
Beliau mempersembahkan lagu “Selangit” (Mas Idayu) dan “Gemilang”
(Jaclyn Victor). Dua lagi peserta, Hafiy dan Aiman terpaksa akur dengan
kedudukan masing-masing di tangga keenam dan ketujuh.
Pentas akhir MIC ON! edisi kali ini turut dimeriahkan lagi dengan
kehadiran empat artis popular kesayangan ramai, Black, Tomok, Naqiu dan
Hazama yang mana masing-masing diberi tanggungjawab untuk menduduki kerusi SuarNet,
mewakili suara warga netizen. Tidak terhenti di situ sahaja, mereka turut
menyampaikan persembahan penutup yang cukup memukau audiens di dalam dewan
mahupun di kaca TV, sehingga menerima ‘standing ovation’ dari juri dan
penonton dengan lagu akhir, “Bujang Senang”.
MIC ON! musim kedua dikendalikan oleh Issey Fazlisham dan susunan
muzik sepanjang berlangsungnya konsert mingguan pula dikemudikan oleh Hashridz
Murshim atau lebih dikenali dengan nama Dato’ Acis yang bertindak
sebagai Pengarah Muzik.
Terdahulu, seramai 15 peserta berjaya diserap masuk untuk
bersaing di konsert mingguan ‘MIC ON!’ musim kedua bagi merebut gelaran juara.
Kesemua mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan yang diterajui oleh Fad
Bocey, Ropie dan Ajak Shiro yang menggalas tanggungjawab selaku ‘Manager’
untuk memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada para peserta.
Setiap minggu peserta akan diberikan tugasan mengikut tema yang
ditetapkan. Penjurian adalah 100% oleh barisan juri tetap yang telah dilantik
berdasarkan tiga kriteria pemarkahan utama iaitu daripada segi vokal (40%),
kreativiti (30%) dan persembahan (30%).
Musim ini menyaksikan penglibatan ramai selebriti
tanah air yang hadir sebagai Juri Jemputan, Hos Bersama dan menggalas
tanggungjawab sebagai figura “SuarNet”. Mereka seperti Dato’ DJ Dave, Elly
Mazlein, Adibah Noor, Naqiu, Black, Tomok dan ramai lagi.
MIC ON! musim pertama yang bersiaran pada tahun lalu,
2021, menyaksikan peserta, Jiwa Firdaus dinobatkan sebagai juara dan membawa
pulang wang kemenangan sebanyak RM 10,000.00 beserta trofi.
MIC ON! musim ini bersiaran selama 10 minggu
dan menemui penonton pada setiap hari Jumaat, 9.00 malam dari 28 Januari
lalu. Ulangsiar program MIC ON! boleh ditonton di saluran YouTube rasmi dan
laman sesawang Awesome TV di www.awesometv.my. Penonton juga boleh
mengikuti perkembangan terkini program ini menerusi akaun media sosial Awesome
TV.
Nota tambahan: Markah
keseluruhan peserta adalah sebanyak 600, yang mana setiap juri diperuntukkan
sebanyak 100 markah untuk setiap persembahan. Finalis diperlukan untuk membuat
dua persembahan dengan tema, “Bebas” dan “Tribute Untuk Juri”.
Comments
Post a Comment