Sebuah Naskhah Keluarga Penuh Dugaan, Dipenuhi Dengki Hingga ke Ilmu Hitam Menerusi ‘Cinta Hilang Kata’



 Perasaan cemburu, cinta yang tidak kesampaian,  perkahwinan yang penuh pancaroba serta kesanggupan menggunakan ilmu hitam dan santau untuk merealisasikan kehendak  merupakan titik utama yang diketengahkan dalam penceritaan drama terkini Astro Prima berjudul ‘Cinta Hilang Kata’. Drama terbitan Country & Universal Sdn. Bhd. serta  menampilkan Jalena Rejab selaku penerbit ini memaparkan kisah kehidupan seorang penulis  terkenal yang menjadi malang akibat perasaan cemburu dan dengki akan perkahwinan dan kerjayanya.

Penceritaan menerusi 40 episod ini mengisahkan kehidupan Nurul Masmin yang dikenali ramai ketika di univesiti sebagai seorang pengarang yang berbakat besar. Dia sering disokong oleh teman lelakinya, Rain Akhtar. Namun, kehidupannya menjadi tunggang-langgang apabila dia mengahwini Amirul demi mengikuti hasrat ibunya yang dipujuk oleh Jah Gayah, seorang pengasuh yang juga merupakan ibu kepada Amirul yang hanya mahukan kekayaan keluarga Nurul Masmin. 

Perkahwinan Nurul Masmin sering dicabar apabila Sabirah – pesaingnya di universiti dan dunia penulisan yang terus menggoda Amirul demi mahu merosakkan rumah tangganya. Dia juga sering dijampi ibu mertuanya sendiri kerana mahukan hartanya. Kehidupan Nurul Masmin yang dahulunya indah  kini persis mimpi ngeri.

Drama yang juga menyelit isu-isu kekeluargaan yang hancur serta perampasan harta benda yakni menceritakan realiti sesetengah masyarakat ini mengangkat heroin muda Sophia Albarakbah serta pelakon berpengalaman seperti Shahz Jaszle yang kembali ke layar televisyen sebagai hero dan Iqram Dinzly yang diberi tugasan membawakan watak antagonis utama dalam drama Astro Prima.

Drama ‘Cinta Hilang Kata’ merupakan arahan sutradara yang disegani ramai, Kyoll Hamzah dan turut didukung oleh barisan pelakon yang hebat seperti Liza Abdullah, Nelissa Nizam serta  Hariz Hamdan. 

‘Cinta Hilang Kata’ akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 18 Julai 2022 secara eksklusif di slot Tiara melalui saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel. Dapatkan Pek Primary Astro serendah RM59.99 sebulan secara online di astro.com.my untuk menikmati drama ini di Astro. 

PETIKAN KENYATAAN RASMI 


Norzeha Mohd Salleh

Pengurus Saluran Astro Prima



“Astro Prima memposisikan salurannya sebagai medium penceritaan masyarakat, terutamanya yang mengangkat karya-karya ciptaan wanita, tidak kiralah mereka yang berada di belakang tabir, mengolah atau menulis serta menerajui sebagai watak utama. Inilah antara ciri-ciri yang sering membezakan saluran Astro Prima dengan yang lain.  


Kali ini kami mengangkat novel karya novelis kontemporari popular, Lily Haslina Nasir yang turut merupakan antara penulis versatil di dalam industri hiburan negara. ‘Cinta Hilang Kata’ memberi pelbagai dimensi penceritaan. Jarang sekali protagonisnya seorang wanita yang berkecimpung di dalam dunia penulisan. Watak utama, Nurul Masmin merupakan seorang penulis wanita berjaya yang disegani ramai, pada masa yang sama, dicemburi sesetengah pihak. Gambaran fiksyen watak utama ini mirip-mirip sisi-sisi realiti yang sering terjadi di kalangan wanita berkerjaya pada zaman ini. 


Bukan itu sahaja, penceritaan kali ini juga diterapkan dengan kisah-kisah yang boleh dirasai para penonton dengan memberi penekanan kepada masalah yang berlaku dalam realiti kehidupan seperti konflik kekeluargaan, masalah rumah tangga serta sikap cemburu dan dengki yang dikatakan taboo untuk sesetengah pihak walaupun isu-isu tersebut berlaku dalam masyarakat kita. Dalam drama ini, kami menekankan penggunaan ilmu hitam untuk menghancurkan ahli-ahli keluarga demi melunaskan kecemburuan yang bersemat dalam hati. 


Walaupun agak berat dari segi penceritaannya, setiap yang diceritakan pasti membawa makna atau pengajaran yang berguna supaya penonton-penonton yang menggemari drama berunsurkan tema seperti ini akan mempelajari sesuatu yang baharu dan nilai-nilai yang baik. Nescaya, kebaikan akan sentiasa mengalahkan kejahatan.  


Paparan drama ‘Cinta Hilang Kata’ sekali lagi membawakan penceritaan menarik yang mempunyai gravitas emosi mendalam dan bakal meninggalkan impak di kalangan penonton-penonton kami. Susulan dengan pengakhiran ‘Dendam Seorang Isteri’, Astro Prima tidak akan henti daripada mengangkat naratif bertunjangkan wanita dan naskhah kali ini meneruskan penceritaaan yang berpaksikan kekuatan wanita mengharungi pelbagai dugaan dalam kehidupan mereka.


Sebagai peneraju kandungan tempatan premium di Malaysia, penghasilan kandungan-kandungan di slot drama kami amat menitik beratkan kualiti penceritaan, arahan dan lakonan. Lantas ‘Cinta Hilang Kata’ merupakan produksi yang menonjolkan kesemua kriteria tersebut. 


Selain daripada itu, drama kali ini memaparkan kombinasi pelakon muda serta yang berpengalaman menerusi gandingan  Sophia Albarakbah, Shahz Jaszle dan sudah semestinya, Iqram Dinzly serta Nellisa Nizam. Gandingan unik di bawah arahan pengarah berpengalaman, Kyoll Hamzah dengan tulisan Lily Haslina pasti akan mengujakan para peminat drama tempatan, malah turut akan menarik minat peminat-peminat baharu. Kami yakin ‘Cinta Hilang Kata’ akan menyambung sukses slot Tiara di Astro Prima.


Kami juga ingin memaklumkan bahawa ‘Dendam Seorang Isteri’ berjaya meraih minat dan sokongan dariapda para penonton sehingga menjadi drama No.1 di saluran Astro Prima untuk tahun 2022 setakat ini. Mengangkat tema ‘women empowerment’ dalam konflik rumah tangga, drama ini mendapat jumlah tontonan lebih daripada 5.5 juta, melebihi sasaran yang ditetapkan. ‘Dendam Seorang Isteri’ turut tersenarai sebagai ‘Top 10 programmes’ di aplikasi Astro GO dan On Demand selama 4 bulan berturut-turut dari Mac hingga Jun 2022. Oleh itu, kami akan melanjutkan penceritaan drama ini kepada 5 episod lagi untuk mengekalkan keterujaan peminat-peminat. Ini juga merupakan tanda penghargaan pihak kami kepada mereka yang sentiasa menyokong drama sensasi ini dari tayangan episod pertamanya sehingga kini. Terima kasih kami ucapkan. Kami berharap agar para peminat akan sentiasa menyokong slot Tiara yang sarat dengan drama-drama hebat dan bermutu tinggi.” 



Kyoll Hamzah

Pengarah Drama ‘Cinta Hilang Kata’


“Seperti tajuk yang kami berikan, drama ini membawa naratif seseorang yang tidak dapat merasai cinta yang dia inginkan. Malah, ia menunjukkan cabaran-cabaran yang perlu ditempuhi dalam perkahwinan yang dianggap tiada kasih sayang. Kami juga menyelitkan kisah keluarga untuk membawa aspek-aspek yang mungkin relevan kepada sesetengah masyarakat yang percaya bahawa ibu mertua selalunya mempunyai personaliti yang jahat. A picture containing person, indoor, posing

Description automatically generated

Nurul Masmin melambangkan naratif wanita berjaya yang terpaksa mengharungi pelbagai dugaan dan pancaroba kehidupan terutamanya setelah berkahwin. Melayari bahtera perkahwinan sudah semestinya bakal mengharungi ombak bergelora dalam pelbagai bentuk konflik termasuk dengki, tamak serta pengkhianatan. Namun keazaman heroin kita memang tidak dapat disangkalkan. Pastinya bagi mereka yang akan menonton drama ini dapat mengambil inspirasi daripada kekuatan Nurul Masmin.

Penceritaan menerusi drama ini memberi gambaran bahawa kebahagiaan itu berdasarkan dengan pemilihan kita sendiri. Memilih pasangan yang salah akan membawa malang kepada kita. Namun, memilih pasangan yang betul juga boleh membawa malang jika perasaan hasad dengki itu ada terutamanya pada orang ketiga. Justeru, penceritaannya sejajar dengan tagline “Jika Bahagia ialah Pilihan”.

Selain itu, pembikinan drama ini adalah antara cabaran yang saya hadapi kerana skrip yang kami keluarkan merupakan ‘on going script’. Kebiasaannya kami tidak tahu apa akan jadi seterusnya dalam penceritaannya jadi itu merupakan antara cabaran terbesar. Namun, pelakon-pelakon yang ada iaitu gabungan pelakon baharu dan pelakon lama memberikan tanggungjawab dan lakonan yang hebat. Mereka memang malu-malu pada awalnya tetapi lama-kelamaan mereka menjadi lebih serasi dan selesa untuk bekerja bersama. Kalau nak tahu bagaimana chemistry mereka boleh menjadi bagus, penonton haruslah ikuti cerita ini. 

Saya yakin novel ini mempunyai ikutan yang ramai, jadi mereka yang meminati jalan ceritanya pasti akan suka dengan kejutan-kejutan yang kami terapkan kerana kami tidak mengikuti jalan penceritaan novelnya 100 peratus. Drama ini merupakan hiburan ringan untuk seisi keluarga dan sangat banyak pengajaran yang boleh diambil terutamanya dari segi konsep kekeluargaan, persahabatan dan percintaan. Ia juga mengajar erti kedewasaan, kematangan serta menghargai insan-insan yang kita sayangi sebelum mereka tiada. Dari segi lain juga, ia mengajar kita untuk berjauhan dengan benda-benda syirik dan munafik dan hanya percaya kepadaNya.”

TRIVIA MENARIK DRAMA ‘CINTA HILANG KATA’


  1. Drama ini mengisahkan seorang penulis yang hidup dalam industri yang penuh dengan cemburu dan dengki.

  2. Merupakan drama adaptasi novel 'Cinta Hilang Kata' karya Lily Haslina Nasir 

  3. ‘Cinta Hilang Kata’ merupakan antara novel terlaris karya Lily Haslina Nasir.

  4. Penceritaan drama ini merangkumi penggunaan syirik untuk menjatuhkan watak utamanya, Nurul Masmin. 

  5. Penggambaran drama ini mengambil masa selama 110 hari di sekitar Lembah Klang. Untuk penggambaran di rumah kampung pula, pihak produksi telah pergi ke Ijok, Kuala Selangor. 

  6. Ketika melakukan penggambaran untuk adegan hujan, pihak produksi telah menutup jalan dan menyembur air hujan mengikut masa. 

  7. Drama ini turut menampilkan lagu runut bunyi dengan nyanyian bertenaga Liza Hanim dan Shila Amzah melalui lagu bertajuk Bahagiakan Dia.

  8. ‘Cinta Hilang Kata’ akan turut memperlihatkan bakat lakonan kumpulan The Gadys dan Amelia Christie. 

  9. Drama ini turut menampilkan pelakon-pelakon yang hebat iaitu Azhar Sulaiman, Syazwan Zulkifly, Aida Aris, Azri Iskandar, Talha Harith, Nadia Kesuma serta Fadilah Mansur.

PECAHAN WATAK DRAMA ‘CINTA HILANG KATA’


Sophia Albarakbah Nurul Masmin

Shahz Jaszle Rain Akhtar

Iqram Dinzly Amirul

Nelissa Nizam Sabirah

Liza Abdullah Jah Gayah

Hariz Hamdan Zaili



LOGLINE DRAMA ‘CINTA HILANG KATA’


Kisah kehidupan dan perjuangan Nurul Masmin untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya dan kebahagiaan rumah tangga tetapi perlu menghadapi bantahan daripada keluarga, perkahwinan yang tidak membuahkan hasil yang indah dan cinta yang tidak pernah ada.

SINOPSIS DRAMA ‘CINTA HILANG KATA’


Drama ini mengisahkan Nurul Masmin yang menjadi seorang pengarang yang dikenali ramai ketika di universiti dengan sokongan teman lelakinya, Rain Akhtar. Walau bagaimanapun, dia terkejut apabila ibunya bertegas agar dia berkahwin dengan Amirul, anak kepada Jah Gayah iaitu seorang pengasuh, dengan pujukannya. Nurul mengikuti hasrat ibunya dan meneruskan perkahwinan itu, tanpa meyedari bahawa  perkahwinan itu sebenarnya adalah sebuah penipuan Jah Gayah untuk mengambil kekayaan keluarganya. 


Jah Gayah sangat bencikan Nurul kerana cintanya pada ayah Nurul tidak berbalas. Perkahwinan kepada Nurul hanyalah pembukaan jalan kepada Jah Gayah untuk hidup dalam kemewahan semata-mata. Sepanjang perkahwinannya, Nurul tidak pernah berasa bahagia kerana semua yang dia lakukan adalah untuk menjaga hati ibunya sahaja.


Setelah kematian ibunya, Nurul tekad untuk bercerai. Tindakannya itu membuatkan Jah Gayah meradang. Nurul pula menderita akibat terkena sihir yang dilakukan oleh ibu Sabirah, rakan sekerjanya yang cemburu dengan kehidupannya. Mujur Nurul mempunyai rakan baik seperti Ezra, Wanie dan Deena yang sentiasa ada disisinya.


Rain pula tidak putus asa mengejar cinta Nurul. Nurul sering mengelak kerana trauma dengan apa yang pernah berlaku dan dia juga tidak mahu di gelar perampas. Bolehkah Nurul Masmin mencari cinta semula? Adakah kehidupannya akan menjadi bahagia?


Comments

Popular posts from this blog

5 SELEBRITI POPULAR MALAYSIA BERGURU DENGAN 8 MASTER DARI KOREA DAN MALAYSIA

MUSIC OF THE SOUL :AN EVENING BERSAMA DATO’ SRI SITI NURHALIZA

Gadis Pilot Lancar Single Terbahru Ceritaku - Farah Rose