Nine Lancar Lagu Sola Rindumu Memanggilku
Bagai mengubati kerinduan, itu juga yang dilakukan oleh Nine apabila hadir dengan buah tangan terbaharu untuk peminat. Dia yang baru sahaja melancarkan lagu Rindumu Memanggilku pada 6 Jun yang lalu gembira apabila naskhah tersebut akhirnya menemui mereka setelah lama menanti.
Pada dasarnya, Nine yang sebelum ini mencipta nama bersama kumpulan Phyne Ballerz sudah sedikit sepi tanpa sebarang lagu baharu. Namun, kerinduan untuk kembali aktif dalam industri muzik membuatkan dia tekad kembali ke studio rakaman dengan karya berkenaan.
“Memang agak lama sebenarnya saya tidak hadir dengan produk baharu dan apabila diberikan kesempatan untuk merakamkan Rindumu Memanggilku, ia merupakan satu peluang yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.
“Lagi satu ini merupakan kerjasama pertama saya dengan Ajai selaku komposer, pastinya saya berbesar hati dan gembira. Ini memang satu pengalaman yang menarik dan manis buat saya secara peribadi,” kata Nine.
Sebetulnya, Rindumu Memanggilku merupakan lagu solo pertama penyanyi ini sejak bergelar anak seni pada tahun 1999. Jelasnya, dia pernah bersama Phyne Ballerz pada awal kemunculan sebelum ‘berhijrah’ seketika bersama Ruffedge pada 2008 hingga 2011 dan bersama duo Billy Zulkarnain pada 2018.
Pastinya pengalaman baharu dicipta oleh Nine tatkala merakamkan lagu secara solo kali ini. Perasaan bercampur baur untuk bergerak secara sendirian mula dirasai sementelah selama ini dia tidak pernah berkeseorangan dalam melakukan aktiviti promosi dan sebagainya.
“Perjalanan yang akan ditempuhi kali ini memang berbeza jika mahu dibandingkan dengan dahulu. Ini merupakan pengalaman baharu dan saya gembira untuk memperkenalkan nama Nine kepada peminat generasi baharu dan dalam masa yang sama melepas rindu peminat yang lama” ungkapnya lagi.
Rindumu Memanggilku merupakan lagu yang dicipta sepenuhnya oleh Ajai. Nine pula mengakui dia sudah tertarik tatkala mendengarkan lagu ini buat pertama kali meskipun komposer berkenaan ada memberikan beberapa lagu lain untuk diperdengarkan.
Jelasnya, ada banyak kekuatan dan keistimewaan yang ada pada naskhah berkenaan dan apa yang paling penting ia tidak lari jauh daripada muzik RNB yang menjadi ‘nadi’ Nine sejak dahulu lagi.
Bercerita mengenai pengalaman pertama kali merakamkan lagu dengan Ajai, Nine gembira kerana proses berkenaan berlangsung dengan baik tanpa ada banyak masalah. Jelasnya dia sudah mempersiapkan diri terlebih dahulu sebelum masuk ke studio.
“Sebagai penyanyi kita perlu mengkaji dahulu lagu berkenaan dan membuat latihan. Bila dah bersedia dengan semuanya, proses rakaman tak akan memakan masa yang panjang sebab kita dah bersedia.
“Sebab itu saya berharap Rindumu Memanggilku akan diterima baik oleh pendengar memandangkan ini merupakan hasil kerjasama semua pihak profesional yang mahu memastikan karya ini berkualiti,” katanya yang kini menguruskan bisnes keluarga dalam bidang seni bina.
Lagu ini berkisahkan tentang seorang lelaki yang kehilangan orang tersayang dalam sebuah perhubungan. Saban hari rasa rindu mula menguasai diri sehinggakan segala kenangan bersama kembali dalam ingatan.
Bagi Nine atau nama sebenarnya Mior Zulkarnain bin Mohd Zamhuri, isi ceritanya bukanlah untuk menambah kepedihan sebaliknya mahu bangkit daripada kesedihan dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Saya berharap lagu ini akan diterima baik oleh pendengar. Kita dah berusaha dan selebihnya saya serahkan kepada Allah sahaja. Setidaknya saya mahu lagu ini mengembalikan semula nama Nine untuk terus diingati,” tambahnya lagi.
Sebagai info, Rindumu Memanggilku merupakan terbitan Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dan diedarkan oleh Indigital Music.
Lagu ini juga sudah berada disemua platform digital dan muzik video (MV) pula boleh ditonton melalui YouTube Indigital Music mulai 6 Jun yang lalu.
Comments
Post a Comment