Satu demi satu kejayaan dan penghargaan terus diraih oleh
kumpulan nyanyian wanita tempatan popular DOLLA. Sejak kemunculan mereka
beberapa tahun lalu, kumpulan DOLLA yang dianggotai empat gadis berbakat
iaitu Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya ini kerap mencuri perhatian peminat
dunia muzik.
Selepas berjaya tampil di papan iklan digital di New York
Amerika Syarikat tahun lalu, mereka mencalit satu lagi kejayaan manis dalam
kerjaya seni mereka.
Kini, empat gadis jelita itu berjaya menarik perhatian
saluran YouTube tersohor dunia MsMojo saat saluran tersebut menyenaraikan
kumpulan DOLLA sebagai salah satu daripada 10 kumpulan nyanyian wanita
antarabangsa yang harus ada dalam senarai main pencinta muzik.
Dalam video YouTube tersebut, MsMojo menyenaraikan 10 buah
kumpulan nyanyian wanita antarabangsa dari pelbagai pelusuk dunia. Ini termasuk
Amerika Syarikat, Amerika Latin, United Kingdom, Jepun, Korea dan juga Asia
Tenggara seperti Filipina dan juga Malaysia.
DOLLA diberi penghormatan menduduki tempat keenam dalam senarai cadangan
tersebut, dan merupakan satu-satunya kumpulan dari Malaysia yang berjaya
memasuki carta itu. Antara kumpulan lain yang turut tersenarai adalah kumpulan
dari Jepun XG dan juga sensasi K-Pop terkini, New jeans.
Menurut saluran itu, DOLLA bukan sahaja dikenali
kerana kelincahan mereka di pentas tapi juga berkat ketularan mereka di media
sosial. Ini termasuklah kejayaan lagu ‘Raya Raya Raya’ yang berjaya mengumpul
jutaan peminat seluruh dunia.
Di dunia moden hari ini yang bergerak pantas dalam alam maya,
kejayaan ini semestinya sesuatu yang besar buat DOLLA. Ini kerana
saluran MsMojo di laman YouTube merupakan sebuah saluran yang sangat popular dan
mengiktiraf artis-artis berbakat dari seluruh dunia serta berimpak besar dalam
dunia seni hiburan.
Dengan 5 Juta pelanggan yang mengikuti saluran MsMojo, pasti
jumlah pengikut kumpulan DOLLA juga akan meningkat naik tidak lama lagi.
MsMojo juga merupakan salah satu saluran YouTube yang lahir
dari saluran induk WatchMojo, sebuah saluran video ulung di YouTube yang
berpusat di Kanada.
Comments
Post a Comment