Skip to main content

Yonnyboii Muncul Semula Dengan Aneka ‘Persona’

 




Penyanyi hip hop dan komposer yang baru-baru ini gempar dengan berita kehilangan dari platform Instagram muncul kembali dengan album baru Persona. Bintang yang merangkul Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-23 tahun lepas ini telah mengadakan majlis pelancaran album penuh kedua beliau pada tanggal 7 Oktober 2023 di Putrajaya Challenge Park – Skatepark secara besar-besaran dari jam 4 petang hingga malam.

 

Kemenangan di AIM ke-23 turut melayakkan penyanyi muda ini membawa pulang Dana Kandungan Digital (DKD) Muzik berjumlah RM200,000 daripada MyCreative Ventures di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

 

Menurut Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, “Sokongan dan galakan daripada kerajaan terutamanya melalui agensi seperti MyCreative Ventures serta kerjasama dengan pemain industri di bawah Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) amat penting dalam melonjakkan pembangunan industri muzik tanah air.  Program seperti Dana Kandungan Digital (DKD) ini membantu mengetengahkan bakat-bakat tempatan untuk terus menghasilkan muzik yang berkualiti seiring dengan citarasa masyarakat zaman sekarang”.

 

Insentif tersebut bukan sekadar memberi suntikan semangat kepada Yonnyboii untuk menghasilkan karya baru kepada peminat tetapi juga menggalakkan beliau untuk terus bergiat aktif dalam industri kreatif.

 

Sebagai sebahagian daripada usaha menghargai sokongan peminat terhadap beliau, dana tersebut telah digunakan untuk menerbitkan lagu dan video muzik selain urusan pemasaran serta promosi buat album terbaru ini.

 

Zainariah Johari, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Ventures berkata, “Dana Kandungan Digital (DKD) yang dahulunya dikenali sebagai Dana Industri Kandungan Digital (DIKD) adalah kesinambungan di bawah Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) sejajar dengan penubuhan Content Malaysia Pitching Centre (CMPC) bertujuan memudah dan menggalakkan penggiat industri seni dan muzik dalam penghasilan, penerbitan dan penyebaran kandungan muzik yang berdaya cipta serta berupaya dipasarkan dalam negara mahupun antarabangsa.”

 

Sementara itu, Rosmin Hashim, Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) terhadap RIM dan industri muzik tempatan menerusi hadiah geran DKD kepada 4 pemenang utama anugerah AIM23 termasuk Yonnyboii yang memenangi kategori ‘Album Terbaik’. Rosmin yakin bahawa Anugerah Industri Muzik (AIM) akan terus kekal sebagai platform yang menerajui pengiktirafan kualiti dan kecemerlangan penggiat muzik tempatan di Malaysia.

 

Acara pelancaran album ini melakar sejarah dalam perjalanan seni Yonnyboii kerana belum ada penyanyi yang mengadakan pelancaran album di lokasi seperti itu dengan skala gergasi. Ramai yang telah hadir di acara tersebut.

 

Antara yang menjayakan pelancaran album itu termasuk artist jemputan Alyph, Killa Driz, Guccimith, dan Asyraf Nasir. Tidak melupakan para hakim yang juga memainkan peranan yang penting dalam acara ini, ia termasuk SXPH, Dmet Si Lain, Zahier, Nazar Hashi, Joe Ipoh, Fuad Saifullah, dan Mariss Khan.

 

Malah untuk mengukuhkan lagi pelancaran album ini, stesen radio tersohor Malaysia Erafm yang dipilih sebagai stesen radio rasmi telah memberi sokongan yang amat padu terhadap perasmian album ini.

 

Seramai 300 orang hadir memeriahkan pelancaran album ini.

 

Hadiah istimewa kepada peminat beliau melalui album penuh berjudul Persona ini menceritakan perjalanan beliau dalam mencari jati dirinya yang sebenar, khasnya melalui muzik.

 

“Ia menceritakan bagaimana saya mencari bunyi yang mencerminkan identiti saya sendiri. Saya melalui beberapa persona untuk mencari identiti ini. Jadi album ini  menggambarkan persona saya dalam setiap lagu. Kesemua lagu dalam album ini berbeza-beza mengikut persona saya yang bervariasi,” ujar Yonnyboii tentang album terbaru ini.

 

Menurutnya lagi, niat untuk mengeluarkan album ini sebenarnya sudah lama terpendam dan kemenangan di AIM tahun lepas secara tidak langsung melonjakkan semangat beliau untuk menyempurnakan demo-demo yang pernah dihasilkan selama ini.

 

“Ada juga beberapa lagu yang dihasilkan pada saat akhir, dan semuanya dihasilkan secara spontan kerana pada waktu itu isteri saya sedang hamil. Saya menjaga dia pada waktu itu sehinggalah dia melahirkan anak kami. Itulah perjalanan yang diceritakan di dalam album ini.

 

Selain itu sebahagian besar rakaman album ini dilakukan di studio di rumah saya sendiri. Ini kerana saya lebih selesa merakam di tempat sendiri. Namun ada juga beberapa lagu yang dirakam di studio luar dan studio kawan-kawan saya. Yang pasti studio professional mempunyai kelengkapan yang lebih bagus. Itu tidak saya nafikan dan itu jugalah sebab utama saya bersikap lebih terbuka untuk merakam selain di rumah sendiri. Setiap studio mempunyai suasana berbeza dan memberi hasil yang berlainan,” jelasnya Panjang lebar mengenai proses rakaman.

 

Untuk album Persona ini Yonnyboii memilih lagu ‘Dilamun’ sebagai single yang pertama.

 

“Saya memilih Dilamun kerana ia tentang isteri saya. Saya mahu menghargai isteri saya yang telah bersusah payah melahirkan cahaya mata kami. Tanpa isteri saya, album ini tak mungkin akan terhasil dengan sempurna. Penting untuk orang ramai tahu betapa saya sangat menghargai isteri saya yang tercinta,” kata Yonnyboii lagi.

 

Album ini turut menampilkan ramai nama-nama terkenal dalam arena hip hop serantau termasuk kawan-kawan baik Yonnyboii sendiri seperti SonaOne, MeerFly, Killa Driz, Guccimith, Alyph, Tommy King serta Adam E.

 

“Kesemua mereka memberikan input yang berbeza dan mereka memang gila-gila. Saya senang sekali bekerjasama dengan mereka yang memang berbakat,” ulasnya mengenai kolaborasi bersama rakan-rakan seperjuangannya.

 

Bila ditanya tentang cabaran dalam menghasilkan album ini, Yonny menjelaskan hanya satu cabaran yang nyata iatu dirinya terpaksa bijak membahagikan masa.

 

“Pada waktu album ini disempurnakan, waktu agak suntuk dan isteri saya sedang hamil dan kemudian melahirkan anak kami. Jadi saya terpaksa menyelitkan masa untuk memberi perhatian pada isteri dan anak selain memastikan album siap dengan baik. Jadi itu cabaran tersebar untuk album ini,” ujarnya.

 

Yonnyboii turut berharap album ini bakal disukai oleh kesemua peminatnya sepertimana beliau menyukai album ini.

 

Persona telah berada di semua platform digital pada 22 September yang lalu.

 

Comments

Popular posts from this blog

Salammusik menyeru agar segera menghentikan kitaran keganasan antara Israel dan Palestin ini.

  Kumpulan tempatan Salammusik menggunakan kreativiti mereka untuk memberi kesan positif, mengenai keadaan atau situasi semasa dengan catatan baru mereka "Kuasa".   Punca keganasan yang sama selama beberapa dekad: kesan dari konflik yang tidak dapat diselesaikan antara Israel dan Palestin. Lebih dari satu abad mereka berjuang untuk tanah antara Laut Mediterranean dan Sungai Jordan.   “Selagi konflik ini tidak dapat diselesaikan, ia akan berlaku berulang kali. Kita harus menyatukan para pemimpin dan mengembalikan pihak-pihak ke meja rundingan. Penggunaan kekuatan hanya menimbulkan lebih banyak kebencian ”, tegas Salammusik   Menurut Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI), jumlah perbelanjaan ketenteraan global meningkat kepada $1981 bilion pada tahun lalu. Melihat dengan lebih mendalam, anda akan menjumpai banyak syarikat yang memperoleh keuntungan berbilion dolar setiap tahun kerana perperangan.   “Kami percaya bahawa para pemimpin perl

ALBUM SITISM DARI DATO' SRI SITI NURHALIZA

Mendekati usia 28 tahun perjalanan karier di dalam bidang seni suara, penvanvi Dato' Sri Siti Nurhaliza kini tampil dengan album solo ke-20 beriudul Sitism. Album Sitism pertama kali dilancarkan secara digital mengandungi 8 buah lagu pada 30 Jun 2023 dan lengkap 12 lagu sepenuhnya pada 8 September 2023. Album in mempunyai mana yang tersendiri bagi Siti kerana beliau dapat bekerjasama dengan penerbit, pencipta lagu dan penulis lirik lama dan baharu sebagai formula utama penerbitannya. Gabungan in telan memberikan warna tersendirt bag Sitism dan dapat memenuhi citarasa peminat Siti yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia.   Judul Sitism dipilih daripada nama Siti Nurhaliza laitu Siti dan imbuhan 'ism' pula adalah istilah linguistik yang digunakan untuk membentuk kata nama bagi melambangkan kualiti, keadaan, ideologi atau hala tuiu album. Apabila nama Siti dan imbuhan 'ism' ini disabungkan. Sitism membentuk kata nama vane mewaki cir-cirt tertentu vane ada du dalam

Mahu dengar 'tembakannya tepat'? Saksikan "Gegar Vaganza Bunda-Petik" .

  Juri Tetap GV8,  Hetty Keos Endang atau lebih mesra dengan paggilan Bonda. kini tampil dengan  rancangan  Mahu dengar 'tembakannya tepat'. Pengalaman dimiliki penyanyi legenda dari Indonesia itu yang diberi tanggungjawab sebagai juri tetap Gegar Vaganza 8 (GV8), telah menampilkan sisi berbeza pada program nyanyian itu. Manakan tidak, gaya dan cara penyanyi yang popular dengan lagu Berdiri Bulu Romaku itu memberikan komen kepada para peserta, seringkali menambat hati penonton dan warganet. jom sma - sama kita nantikan , yang bakal ditayangkan bermula  pada 15hingga  22 Januari ini.