Duet mega Dayang Nurfaizah, Amir Masdi dalam Debu



Dayang Nurfaizah antara penyanyi terbaik dalam negara. Bakat besar dan kualiti vokal dimiliki Dayang meletakkan dirinya di kelas tersendiri. Kejayaan demi kejayaan diraih bukti kerja keras beliau sepanjang pembabitan dalam dunia seni.


Tidak hairan jika nama Dayang, 41, atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty sering disebut dan menjadi pilihan kebanyakan penyanyi baru untuk berkolaborasi dengannya.


Malah, ia terbukti berjaya bukan sahaja dari sudut persembahan nyanyian tapi juga kualiti lagu yang dihasilkan.


Terbaharu, Dayang muncul dengan single duet berjudul “Debu”, satu  kolaborasi dengan juara program Akademi Fantasia 2016 dan finalis AJL-35, Amir Masdi.


Lagu bergenre ‘balada moden’ itu adalah karya ciptaan sepenuhnya oleh Mas Dewangga, Jova Devito, Firdaus Rahmat, Mike Chan, Karim Karam dan Acap Salim.


Menariknya, ini juga adalah kerjasama sulung antara dua syarikat rakaman tempatan ternama di Malaysia iaitu Nova Music dan Faithful Music yang mana lagu dan video muzik rasmi “Debu” dilancarkan serentak pada 22 Februari ini.


Menurut Dayang, duet bersama Amir berlaku secara kebetulan selain sudah lama mengagumi bakat anak muda itu ketika dia muncul di pentas ‘Big Stage’ musim ketiga, tahun lalu.


“Boleh dikatakan ini duet yang tak dirancang pun. Sejujurnya, saya memang belum ada perancangan nak ada lagu duet lagi. Pendek kata, ini semua berlaku secara kebetulan. Pun begitu, apa boleh dikatakan dari segi persembahan lagu ia menjadi.


“Pada awalnya lagu itu diberi pada saya untuk lagu solo dan saya mendengar demo. Ketika itu, saya tanya siapa nyanyi demo. Saya cakap sedap pula, macam dah cantik untuk lagu itu.

Saiful kemudian cadangkan bagaimana jika lagu ini dinyanyikan secara duet. Saya cakap apa salahnya cuba.


“Lagi pun sebelum mendengar demo, saya memang suka suara Amir masa saya tengok dia buat persembahan pada pentas Big Stage. Saya cakap pada diri, tunggu masa dan lebih pengalaman menyanyi, dia boleh maju, bertambah baik dan pergi jauh.


“Jadi, apabila cuba letak suara kami dalam lagu ini, saya cakap ia menjadi. Dari situlah terjadinya duet ini. Sebab itu saya kata ia berlaku secara kebetulan,” katanya.


Dayang berkata, tidak ada dalam kamus kerjayanya dia perlu memilih seseorang penyanyi untuk berduet dengannya. Malah, jauh sekali dia memandang populariti sebagai syarat jika ingin berduet dengan seseorang penyanyi lain dalam lagu.


“Saya selalu cakap, saya tak pilih nak berduet dengan siapa. Apa yang penting adalah kesesuaian lagu, sebab dua suara kena saling memberi. Sekarang ini, saya berminat berkolaborasi dengan penyanyi lain. Saya suka proses yang dilalui. Kalau solo, kita kena fokus seorang, tapi berbeza dengan lagu duet, kena bertukar idea dengan rakan penyanyi. Bagi saya, ia lagi seronok sebab dapat keluarkan perkara yang sebelum ini saya tak pernah cuba.


“Dari segi populariti penyanyi itu bukan keutamaan. Bagi saya adalah suara, bakat dan lagu. Itu nombor satu. Macam Amir, dia pun secara perlahan-lahan membina kerjaya nyanyiannya. Dia muda dan jauh lagi perjalanan dalam bidang ini. Sebab kalau kita fikir siapa Amir, kira fikir bakat dan suara yang dimilikinya. Itu yang akan bawa dia jauh. Tak perlu nak cepat popular pun. 


“Macam saya pun, saya kenal dia dari suara dan bakat. Dia memang berbakat besar. Dia juga mengingatkan saya pada diri sendiri ketika mula-mula masuk dalam bidang nyanyian. Saya keluar semata-mata kerana bakat. Jadi, kalau betul cara dia, insya-Allah boleh kekal lama dan pergi lebih jauh. Paling penting, fokus apa yang kita ada,” katanya.


Sementara itu, Amir, 26, atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi menyifatkan duet bersama Dayang dalam lagu “Debu” adalah mimpi menjadi kenyataan.


“Memang mimpi jadi kenyataan. Boleh kata, setiap kali ditanya dengan siapa artis wanita yang saya nak berduet, saya akan cakap Dayang Nurfaizah. Ini memang antara impian saya untuk berduet dan keluarkan lagu dengan Dayang. Bila dapat tahu akan berduet dengan Dayang dan saya nampak dia dalam studio, saya rasa teruja. 


“Dayang seorang yang sangat ‘humble. Apabila saya jumpa, dia kata yang dia segan dengan saya. Jadi dari situ, saya berasakan dia seorang yang sangat merendah diri untuk seorang yang sudah ada status serta nama yang besar dalam industri. Perkara itu membuatkan saya berasa terharu dan sangat dihargai. Dia tak kira yang saya ini orang baru atau tidak, dia tetap layan saya sama macam semua orang,” katanya.


Berkongsi pengalaman ketika merakamkan lagu “Debu”, Amir berkata semuanya berjalan lancar.


“Sesi rakaman berjalan dengan lancar, ia lebih kepada santai dan tiada tekanan. Itu pengalaman yang saya takkan lupakan. Semasa nak mulakan rakaman, semua terpukau dan saya pun terdiam bila dengar suara Dayang. Untuk lagu ini, Dayang seorang sahaja nyanyi dah buatkannya sedap. Jadi saya punya tugas adalah untuk sedapkan lagi dan menambah ‘rempah-rempah’ yang sepatutnya dalam lagu ini. 


“Saya harap lagu Debu ini dapat memberikan pendengar keterujaan daripada apa yang ada daripada Dayang Nurfaizah dan Amir Masdi. Bagi saya, duet antara saya dan Dayang adalah  sesuatu yang amat bermakna. Saya boleh cakap ini antara pencapaian besar buat karier saya,” katanya.


Dalam masa sama, Amir berkata lagu “Debu” bukan sekadar lagu berentak balada biasa kerana ia mempunyai keunikan dan kualiti tersendiri. 


“Saya bersyukur sangat kerana Dayang sudi berduet dan keluarkan lagu dengan saya. Boleh cakap bukan senanglah untuk dapatkan Dayang berduet dalam sesebuah lagu. 


“Saya teruja untuk lagu Debu ini sebab saya berasakan walaupun ia lagu balada, ia bukan lagu balada yang biasa. Struktur lagu yang disusun oleh penerbit dan ‘music arranger’ untuk saya dan Dayang ini menarik untuk orang dengar. Badan lagu ini adalah balada tapi tangan dan kakinya lebih kepada unsur moden yang juga menjadi trend sekarang,” katanya.


Single “Debu” nyanyian Dayang Nurfaizah dan Amir Masdi yang diterbitkan secara usahasama oleh Nova Music dan Faithful Music; dan diedarkan Universal Music Malaysia boleh mula di strim di semua pelantar muzik digital mulai 22 Februari ini. Video muzik rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Faithful Music pada hari yang sama jam 9 malam.  






Music Video Link : https://www.youtube.com/watch?v=3E7Gn3DnZ_g


Comments

Popular posts from this blog

5 SELEBRITI POPULAR MALAYSIA BERGURU DENGAN 8 MASTER DARI KOREA DAN MALAYSIA

MUSIC OF THE SOUL :AN EVENING BERSAMA DATO’ SRI SITI NURHALIZA

Gadis Pilot Lancar Single Terbahru Ceritaku - Farah Rose