BOBOY ‘REUNION’ SELEPAS 20 TAHUN



Kumpulan remaja yang pernah mencetus fenomena sekitar awal 2000, Boboy akhirnya bersatu kembali selepas hampir 20 tahun tidak mengadakan persembahan pentas bersama. Kumpulan yang dianggotai oleh lima anak muda itu dilabel sebagai ‘kumpulan muzik budak sekolah’ di mana kesemua mereka masih bersekolah ketika mula mencipta nama sebagai anak seni. Boboy yang dianggotai oleh Naqiu (Wan Naqiuddin Mohd Najib, 36) selaku vokalis, Shah (Shah Azrizal Kamaruzaman, 38) pemain gitar utama, Muz (Muhammad Muzaffar Nordian, 38) pemain gitar kedua, Didi (Mohd Addinan Azmi, 38) pemain bass dan juga Dzul (Dzulhamdi Badrom, 38) di posisi drum. Mereka mencipta fenomena dan menjadi kegilaan ramai ketika itu menerusi single pertama mereka berjudul Episod Cinta ciptaan Awang BPR yang dilancarkan pada tahun 2001. Vokalisnya, Naqiu yang juga juara program Gegar Vaganza (GV) musim keenam menyifatkan ‘reunion’ kumpulan Boboy ini adalah hadiah istimewa buat peminat serta penyokong muzik mereka yang sudah lama menantikan kemunculan semula kumpulan itu. “Sebelum saya muncul di GV lagi ramai peminat yang bertanya bila kami akan kembali



menghasilkan lagu baru. Walaupun sudah lebih 15 tahun kami menyepi, rupanya ramai peminat masih menanti dan berharap untuk kami kembali. Mereka setia bersama kami sejak awal tahun 2000 lagi dan kini matang bersama kami. “Alhamdulillah kami semua masih berkawan baik, berhubung antara satu sama lain walaupun semua sudah membawa haluan sendiri dan membina kehidupan masing-masing. Jadi perancangan untuk kembali bersatu tidak sukar dan berjalan dengan lancar. Insha-Allah kami akan menghasilkan sebuah lagu baru selepas Hari Raya nanti. Ini adalah buah tangan paling bermakna buat semua peminat,” katanya yang kini aktif sebagai penyanyi solo. Boboy sempat menghasilkan tujuh

 album dengan deretan single popular termasuk Demi Masa, Janji Seorang Kekasih, Cinta Melayang-Layang, Berakhirnya Episod Cinta dan beberapa lain. Malah kumpulan yang pernah tersenarai dengan jualan album terlaris melebihi 80 ribu unit ini turut pernah membintangi beberapa buah filem antaranya Semarak Naga dan Boboy The Movie. Lebih menarik, persembahan pertama mereka bersama di pentas Konsert Minggu Ini terbitan RTM ini adalah pertemuan kembali selepas 20 tahun kerana kali terakhir mereka muncul bersama di kaca TV adalah menerusi program Hiburan Minggu Ini pada tahun 2002 di pentas yang sama. Sebagai nota tambahan, Naqiu mendirikan rumah tangga bersama Hanisah Zuhari pada tahun 2011 dan kini mempunyai lima cahaya mata. Shah berkahwin dengan Noor Nadia dan kini mempunyai sepasang cahaya mata berusia 11 tahun dan 9 tahun, Dzul pula berstatus duda dan

 membesarkan seorang anak berusia 12 tahun. Manakala Didi pula mendirikan rumah tangga bersama Dayana Ahmad dan kini mempunyai dua zuriat lelaki berusia 13 dan 4 tahun.

Comments

Popular posts from this blog

Mahu dengar 'tembakannya tepat'? Saksikan "Gegar Vaganza Bunda-Petik" .

PEMENTASAN TEATER DI SEBALIK TOPENG KETENGAHKAN ISU KESIHATAN MENTAL

KONSERT WINGS THE ROCK EMPEROR KUALA LUMPUR CHAPTER 16.12.2023 STD. MALAWATI SHAH ALAM