JUITA TAMPIL DENGAN PENDUA
“Omg!!! First debut is EXCELLENT!! Tak
pernah imagine lagu Melayu macam ni level international and yang penting tak
cringe!!! Absolutely new song on my playlist! Congrats!”
“Mereka sangat berbakat! Moga pihak
pengurusan RnR Ent. dapat konsisten promote mereka ke semua platform dan beri
mereka peluang buat live show di mana-mana acara komersial.”
Itu antara komen pengguna laman sosial
di saluran YouTube Rhythm & Rhyme Entertainment menerusi video muzik rasmi
lagu PENDUA yang dinyanyikan oleh kumpulan wanita baharu yang dikenali sebagai
JUITA.
Kemunculan beberapa ‘grup girl’ dalam
industri muzik tanah air sejak dua tahun kebelakangan ini memberi petanda dunia
hiburan tempatan kembali meriah dan menerima kehadiran mereka.
Terbaharu, kemunculan kumpulan JUITA
yang dianggotai empat wanita jelita, Nur Aini Hayati Mustafa (Aini, 25);
Khairin Najihah Hisham Muddin (Kyerin, 23); Nurhusnina Haziqah Naharuddin
(Nina, 26) dan Nurnajihah Azmi (Jay, 23).
JUITA disatukan pada awal April lalu
selepas sesi uji bakat dijalankan di studio Rhythm and Rhyme Entertainment.
Sebelum keluar dengan single, JUITA bermula dengan menyanyikan semula atau
‘cover’ lagu Cinta (Marsha) dan Duit (Stacy) di YouTube, termasuk mengadakan
kelas latihan vokal bersama Stacy.
Berbekalkan pakej lengkap bukan saja
sebagai sebuah ‘grup girl’, tapi juga penyanyi dan penghibur berkualiti dengan
mempertaruhkan single sulung mereka, PENDUA hasil ciptaan sepenuhnya pasangan
suami isteri terkenal, Bunga Cantik (Stacy) dan Hang Nadim (Akim Ahmad) serta
lirik oleh Bunga Cantik.
Lagu PENDUA yang diterbitkan oleh
Rhythm & Rhyme Entertainment atau RnR Entertainment itu sudah dilancarkan
secara rasmi sejak 2 September dan video muzik pada 17 September lalu.
Anggota JUITA, Aini, 25, berkata,
mereka meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Stacy dan Akim dalam menentukan
hala tuju muzik dibawa.
“Sebetulnya kami semua tidak mempunyai
pengalaman yang jauh dan lebih dalam bidang muzik ini. Jadi kami meletakkan
sepenuhnya kepada pihak pengurusan dalam menentukan hala tuju muzik JUITA
bersesuaian dengan kelebihan dan perwatakan yang ada pada kami.
“Sebagai pengenalan dalam industri,
lagu PENDUA ini adalah genre ‘pop dance’ ditambah kami juga minat dengan
menari. Semoga semua lapisan peminat dan pendengar dapat menerima JUITA dan
pastinya kami akan sentiasa berusaha yang terbaik untuk mendapat tempat di hati
mereka,” katanya.
Bagi Kyerin, 23, merakamkan lagu PENDUA
adalah pengalaman yang cukup berharga bagi mereka.
“Bagi kami, rasa teruja, and tak
dinafikan memang susah sebab antara kami, boleh dikatakan ada yang tak biasa
menyanyi. Selama ini, menyanyi sekadar suka-suka di karaoke saja. Jadi, apabila
pertama kali merakam lagu ia satu proses dan pengalaman baharu buat kami.
“Akim dan Stacy banyak mengajar kami
ketika di studio rakaman. Dalam keseronokan tetap rasa mencabar. Diakui agak
susah juga, tapi kami berjaya melakukannya. Cuma, mungkin yang susah dan penat
tu lebih kepada Stacy sebab dia kena duduk berjam lamanya serta sabar menjaga
proses kami merakam lagu,” katanya.
Menurut Nina, 26, bekerja di bawah
tunjuk ajar Akim dan Stacy juga adalah sesuatu yang cukup berharga selain ilmu
dan nasihat yang diberikan mereka.
“Kami rasa senang bekerja dan suka
dengan situasi bekerja sebab ada masa kelakar, kami dapat gelak ketawa, buat
lawak bersama-sama tapi bila masa kerja, memang semua serius dan tegas. Sebab
produk yang nak dikeluarkan iaitu lagu adalah seni tak boleh dibuat main. Jadi,
kena fokus dan teliti.
“Sikap tegas Stacy dan Akim tu, kami
hormat sebab mereka mementingkan kualiti. Di samping itu, mereka bukan saja
mengajar kami dari segi muzik, tapi secara tidak langsung banyak berkongsi
cerita dan pengalaman mereka dalam industri, apa yang perlu kami jaga, bagaimana
nak membawa diri termasuk pembentukan kami sebagai seorang insan dalam
kehidupan. Pendek kata bukan tertumpu pada muzik saja.
“Cerita dan pengalaman yang mereka
kongsikan cukup berguna dalam kehidupan seharian kami juga. Sebagai contoh,
hormat kepada guru, adab dengan orang dalam industri tanpa mengira pangkat,
hormat orang lama, hormat terhadap muzik, ibu bapa, bagaimana nak menjaga diri
di dunia luar dan banyak lagi,” katanya.
Ditanya apakah kelebihan dimiliki
JUITA, Jay, 23, berkata, mereka memiliki karakter berbeza hingga dapat
disatukan sebagai satu kumpulan.
“Kelebihan yang dibawa oleh JUITA, kami
rasa terletak pada karakter masing-masing yang berbeza. Sekiranya dilihat dari
segi terperinci, setiap seorang daripada kami mempunyai watak dan pembawakan
yang berbeza. Kami tidak cuba untuk jadi orang lain tapi kami lebih kepada
‘explore’ watak kami sendiri.
“Ada yang maskulin, feminin, ‘boyish’,
jadi itu semua agak berbeza daripada kumpulan wanita lain. Kami juga cuba untuk
menjadi diri sendiri dalam setiap seni yang dibawa. Tambahan, konsep lagu kami
pun agak berbeza dengan yang ada. Kelebihan lain yang kami ada juga ialah
konsep yang berbeza yang ada di Malaysia sekarang mahu dari segi muzik dan
personaliti dalam kumpulan,” katanya.
Comments
Post a Comment