HARI BAHAGIA ARA JOHARI ‘PASTI TIBA’?

 




Pelantun Lagu ‘Sumpahan Salju’ Nyanyikan OST Drama Bersiri 40-Episod ‘Jesnita’ Yang Meruntun Jiwa


Penyanyi bersuara hebat, wanita genit namun tangkas, Ara Johari yang berjaya menghiburkan kira-kira 200 orang penonton di Nero Event Space, PJ, ketika ‘showcase’ A Night With Ara Johari tempoh hari kembali lagi memeriahkan persada muzik negara dengan single terbaharunya berjudul ‘Pasti Tiba’ hasil ciptaan komposer ternama, Sharon Paul serta penulis lirik terkenal, Fedtri Yahya, dan diterbitkan oleh jenama ulung hiburan tanah air yang tidak asing lagi, Rocketfuel Entertainment untuk drama bersiri 40-episod bertajuk ‘Jesnita’ yang bakal ditayangkan mulai 7 November 2022 di saluran Astro Prima.

“Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat peminat yang hadir ketika ‘showcase’ A Night With Ara Johari tempoh hari dengan memberikan respon yang sangat positif termasuk rakan artis yang turut serta memberikan sokongan.

“Selain itu, ramai juga yang turut mendoakan kesihatan saya kerana mengalami masalah tekak sehingga menjejaskan konsentrasi untuk membuat persembahan, namun saya harungi jua. Terima kasih yang tidak terhingga buat kesemua yang datang memberikan semangat buat saya serta pihak Rocketfuel di atas segalanya,” kata Ara, 25 tahun.

Selain single baharu, pemilik nama sebenar Nurfarrah Izzatie Johari kini dalam proses mengembangkan perniagaan makanan yang diusahakannya.

Saya kini sedang sibuk merencanakan sesuatu yang besar untuk Ara Kitchen, namun apakah ia? Masih belum masanya untuk diwar-warkan lagi, dan saya akan berkongsi berita gembira bila tiba waktunya nanti.

“Namun begitu, cinta pertama saya tetap pada bidang nyanyian dan lagu Pasti Tiba inilah buktinya. Sebelum ini saya pernah meluncurkan lagu ‘Sumpahan Salju’ yang lari dari genre yang biasa saya bawakan, tapi penerimaan daripada pendengar kesemuanya adalah baik-baik belaka dan mereka boleh menerimanya dengan hati terbuka.

Idea di sebalik tercetusnya single ini datangnya dari Sharon sendiri kerana memilih Ara untuk menyanyikannya.

“Mula-mula kak Sharon dan abang Fedtri mahukan penyanyi lain tetapi saya dipilih akhirnya. Kesemuanya berlaku dengan begitu cepat, kira-kira 3 minggu sebelum lagu ini dilancarkan. 

Proses rakaman hanya memakan masa selama 3 ke 4 jam sahaja dan proses penggambaran mengambil masa sekitar sehari untuk disiapkan.

“Menurut abang Fedtri, lagu ini berkisar tentang seorang kekasih yang setia dan telah memberi sepenuh cintanya, namun tanpa diduga orang yang disayanginya itu dalam diam telah memungkiri janji dan berlaku curang, rasa kecewa dan hilang harapan menyelubungi diri dan dia seakan tidak tahu untuk bertindak.

“Akhirnya, dia berserah kepada Tuhan kerana yakin dengan hikmah-Nya, takdir dan balasan itu hanya milik Yang Maha Kuasa, hanya kesabaran menjadi penguat hati dalam menempuh episod sedih dalam perhubungan yang tidak kesampaian,” jelas Ara.

Single pop bernuansa ‘slow ballad’ ini sememangnya ‘forte’ Ara dari dahulu lagi dan dia berjaya menjiwai setiap bait liriknya yang pasti menikam kalbu setiap yang mendengarnya, ‘mood’ suara yang dilontarkan turut menambah rasa sedih seorang kekasih yang pasrah.

“Bagi MV (video muzik) pada kali ini, saya hanya melakonkan watak wanita yang telah disakiti dan berasa dikhianati oleh kekasihnya yang berlaku curang, hanya mainan ekspresi di wajah cukup menggambarkan perasaan itu dan saya amat berpuas hati dengan hasilnya, pastikan anda menontonnya di YouTube nanti.

“Saya berharap agar lagu ini menjadi penguat semangat bagi mereka yang disakiti di luar sana supaya lebih kuat dan tabah dalam mengharungi alam percintaan, dan semoga semua pendengar dapat menerima lagu ini dengan sebaiknya. 

“Dan jangan lupa nantikan album penuh saya pada tahun 2023 nanti!” akhiri Ara.

Ketua Rocketfuel Entertainment, En. Feros Sayna mengulas: “Walaupun Ara tidak mempunyai album penuh, dia masih berpeluang mengadakan ‘showcase’ impiannya dan berjaya melaksanakannya dengan jayanya. 

“Semoga lagu ini dapat terus menambat hati peminat Ara dan penggemar muzik tanah air.

Lagu ‘Pasti Tiba’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. 

Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.


Comments

Popular posts from this blog

Mahu dengar 'tembakannya tepat'? Saksikan "Gegar Vaganza Bunda-Petik" .

KONSERT WINGS THE ROCK EMPEROR KUALA LUMPUR CHAPTER 16.12.2023 STD. MALAWATI SHAH ALAM

PEMENTASAN TEATER DI SEBALIK TOPENG KETENGAHKAN ISU KESIHATAN MENTAL