BUDI, KOLABORASI UNIK KMY KMO DAN LUCA SICKTA BERSAMA SUFIAN SUHAIMI

 




Siapa yang tidak boleh lupa beberapa karya hebat ciptaan
duo penyanyi dan rapper, Kmy Kmo dan Luca Sickta.
Malah, mereka juga berjaya berkolaborasi bersama beberapa penyanyi terkenal tanah air.
Antaranya bersama Dato’ M. Nasir menerusi lagu Zuhud; Dato’ Sri Siti Nurhaliza (7 Nasihat);
Dato’ Jamal Abdillah (Neraca); dan Hazama (Makuta).
Lebih membanggakan Kmy Kmo dan Luca Sickta adalah, kesemua karya itu diterima baik
pendengar sekali gus mencipta fenomena tersendiri.
Terbaharu, Kmy Kmo dan Luca Sickta menghadiahkan peminat dengan buah tangan iaitu lagu
bergenre tradisional berjudul Budi kolaborasi bersama penyanyi, Sufian Suhaimi.
Kmy Kmo berkata, penulisan lagu Budi banyak diambil daripada celoteh seloka.
"Lagu ini berentak tradisional dan ada unsur lawak. Jadi, kami kena pakai cara penulisan
seloka. Saya ambil sedikit sebanyak contoh daripada lagu-lagu Allahyarham Tan Sri S M Salim,
Dato’ M Nasir, Allahyarham Pak Ngah. Daripada situlah saya dapat idea penulisan lagu Budi
ini," katanya.
Menurut Kmy Kmo, pemilihan Sufian Suhaimi dibuat kerana mereka suka bereksperimen
dengan muzik berlainan daripada karakter asal penyanyi itu.
"Macam sebelum ini kami bekerjasama dengan Dato’ M Nasir dan Dato’ Jamal Abdillah yang
mana masukkan muzik hip hop dalam nyanyian mereka. Dan kali ini, macam kita semua tahu,
Sufian Suhaimi ialah penyanyi berentak balada yang ke arah 'emotional'.


"Apa yang saya dan Luca rancang adalah kami tukar muzik Sufian Suhaimi agar peminat dan
pencinta muzik tanah air ini boleh tengok dari sudut berbeza Sufian Suhaimi.
"Sebenarnya kami dah berkawan, jadi dia pun pendengar lagu rap juga. Dalam masa sama,
dia pun ada ilmu dan skil nyanyian lagu berentak tradisional. Sebab itulah kami bawa dia
masuk supaya kita boleh buat Sufian Suhaimi yang jarang orang dengar dan tengok," katanya.
Sementara itu, Luca Sickta berkata, kelainan untuk lagu Budi hasil kerjasama Def Jam
Recordings Malaysia dan Rusa Music ini apabila komposisi melodi bahagian korus dihasilkan
oleh dirinya.
"Proses mengahasilkan lagu ini lancar. Kalau sebelum ini Sufian Suhaimi memang banyak
nyanyikan lagu sedih, tapi kali ini lagu 'happy'. Jadi, ada kejadian kelakar ketika proses
rakaman di mana saya paksa dia menyanyi sambil senyum untuk mendapatkan 'mood' lagu.
Jadi, sepanjang rakaman dia senyum saja," katanya.
Berkongsi mengenai video muzik (MV) lagu Budi, Luca Sickta berkata mereka memilih konsep
'old school'.
"Dalam MV ini Kami sengaja memilih konsep dulu-dulu atau ala Seniman Bujang Lapok dan
Nujum Pak Belalang. Hasilnya seperti yang ditonton pada MV.
"Saya berharap, semua peminat boleh 'enjoy the music' dan ambil iktibar daripada lagu ini.
Bukan saja berhibur, tapi cuba menghayati mesej dan pengajaran disampaikan menerusi
lirik," katanya.
Sementara itu, Sufian Suhaimi, 31, menyifatkan lagu Budi adalah unik dan mempunyai
kelebihan tersendiri.
"Saya berasakan lagu Budi ini adalah unik dan istimewa sebab ia ada elemen tradisional
walaupun perkembangan industri muzik ketika ini lebih kepada genre hip hop. Jadi, ia bagus
untuk generasi muda mengenal asal usul muzik Malaysia," katanya.


Menurut Sufian Suhaimi, dia berasa teruja apabila dapat bekerjasama dengan duo rapper itu.
"Sebenarnya saya sudah mengikuti Kmy Kmo dan Luca Sickta ini dari dulu lagi dan memang
ada banyak permintaan untuk saya bergandingan dengan mereka.
"Jadi, saya sangat teruja untuk berkolaborasi dengan penyanyi dan rapper yang saya minat
dan satu keunikan juga apabila berpeluang menjayakan projek dengan Luca Sickta kerana ada
yang mengatakan wajah kami ada iras," katanya.
Sufian Suhaimi berharap lagu Budi yang sudah dilancarkan sejak beberapa minggu lalu itu
terus mendapat sokongan peminat dan pencinta muzik tanah air.
"Pengalaman bekerjasama dengan mereka ini sangat seronok, kami memang dah kenal
sebelum ini, cuma masih belum ada kerjasama dari segi kerjaya. Mereka ini nampak sahaja
serius tapi kelakar, bekerja dengan mereka juga sangat senang dan profesional.
"Saya harap lagu Budi dapat diterima oleh peminat muzik di Malaysia dan layak mara ke
pentas muzik yang berprestij," katanya.
Lagu ini juga telah berjaya menduduki Carta Era 40 di tangga ke-19 dan Carta Suria Top 40 di
tangga ke-13. Manakala muzik videonya menduduki tangga ke-16 di YouTube Music Trending.
Lagu Budi sudah boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music,
KKBOX, Deezer dan YouTube Music sejak 25 November 2022. Video muzik lagu Budi yang
ditayangkan di saluran YouTube Rusa Music sudah mencecah 1 juta tontonan sejak dimuat
naik

 

Comments

Popular posts from this blog

Mahu dengar 'tembakannya tepat'? Saksikan "Gegar Vaganza Bunda-Petik" .

KONSERT WINGS THE ROCK EMPEROR KUALA LUMPUR CHAPTER 16.12.2023 STD. MALAWATI SHAH ALAM

PEMENTASAN TEATER DI SEBALIK TOPENG KETENGAHKAN ISU KESIHATAN MENTAL