KONSERT 5 RUKUN GABUNG LIMA ARTIS NASYID TERKEMUKA, KESINAMBUNGAN DARIPADA ALBUM SAHABAT SELAMANYA

 



Hiburan dakwah adalah suatu pendekatan yang cukup relevan pada masa kini khususnya untuk golongan muda pada zaman ini yang banyak sekali terdedah dengan hiburan dan muzik dari barat.

Ia juga satu medium untuk mendidik akhlak, menerapkan pemahaman tentang ilmu Islam, meningkatkan keimanan dan meningkatkan keinsafan manusia terhadap Allah SWT sebagai Tuhan Yang Menciptakan Alam Semesta ini.

Bagi membantu melonjakkan semula kegemilangan irama nasyid agar ia kembali bernafas semula serta mampu mencetuskan fenomena seperti mana yang pernah berlaku pada awal 90-an dahulu, MAC Training Centre Sdn Bhd telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan KONSERT 5 RUKUN yang bakal diadakan di ZEPP, KUALA LUMPUR pada 15 September, bermula 8.30 malam.

Bakal berlangsung selama dua jam, konsert ini juga turut mengangkat lima karektor utama yang diraikan di dalam sejarah industri nasyid Malaysia iaitu Rabbani, Hijjaz, Inteam, Mestica dan Daqmie @ Azmi Manap. 



Ia juga sebagai satu kesinambungan daripada penerbitan album SAHABAT SELAMANYA yang pernah dijayakan kelima-lima mereka sebelum ini pada hujung 2022 di mana Daqmie turut bertindak sebagai Eksekutif Produser di bawah syarikat produksinya, Daqmie Music Factory dan sebagai komposer bersama Alfa Booty.

Teras persahabatan kukuh yang sekian lama terjalin di antara kelima-lima Geng Sahabat Selamanya ini akan diterjemahkan di dalam KONSERT 5 RUKUN dengan berpaksikan konsep Lima Rukun Islam yang menjadi teras dalam perjuangan mereka sepanjang berkarya di dalam industri dan juga di dalam kehidupan bersahabat.

Pengarah Urusan MAC Training Centre Sdn Bhd merangkap penerbit KONSERT 5 RUKUN, Puan Samirah Hambali berkata, penganjuran konsert ini adalah usaha kecil daripada pihaknya untuk berdakwah dengan berlandaskan kesederhanaan dan hikmah dalam menyampaikan mesej Islam dalam bentuk hiburan yang lebih bijaksana.


Bahkan, ia merupakan iltizam MAC Training Centre Sdn Bhd untuk dikenali sebagai penganjur dan pengurusan produksi konsert nasyid dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hub lagu-lagu nasyid atau Islamik.

“Alhamdulillah, usaha kita untuk menganjurkan konsert ini mendapat kepercayaan sepenuhnya daripada Daqmie untuk membawa lima geng Sahabat Selamanya iaitu Rabbani, Hijjaz, Inteam, Mestica serta Daqmie sendiri ke pentas konsert.

“Dengan berteraskan konsep Lima Rukun Islam melalui teras persahabatan geng Sahabat Selamanya ini, kami percaya ia akan memberikan kesan dan pengalaman konsert yang unik dan menarik dalam hiburan dakwah, apatah lagi setiap mereka ini memiliki kelompok peminat tersendiri.

“Sebagai satu cara untuk menjadikan Malaysia sebagai hub lagu-lagu nasyid dan Islamik, kita juga telah mewujudkan Kumpulan Komuniti Nasyid Warriors iaitu sebuah platform yang dikhususkan untuk mengumpul dan menghimpunkan individu yang berminat dengan nasyid atau genre muzik vokal Islam,” katanya.

Sementara itu, Daqmie yang juga Eksekutif Produser Daqmie Music Factory berkata, dia bersyukur apabila hasrat untuk membawa Sahabat Selamanya ke pentas konsert ini disambut baik oleh MAC Training Centre Sdn Bhd.

“Selepas menghasilkan album Sahabat Selamanya yang mengumpulkan lima artis yang diterajui Daqmie Music Factory termasuk diri saya sendiri melalui Dana Kandungan Digital (DKD) Industri Muzik, saya terfikir apa lagi yang harus dilakukan selepas itu.

“Akhirnya melalui perbincangan bersama Puan Samirah Hambali, Sahabat Selamanya ini dapat dibawa ke pentas melalui konsep Lima Rukun dan siapa tahu ia boleh dibawa ke negara luar pula khususnya di Singapura atau Brunei,” katanya.

KONSERT 5 RUKUN mengandungi lima segmen yang akan dijayakan setiap lima Geng Sahabat Selamanya ini dengan pemilihan lagu-lagu hebat masing-masing sama ada dalam persembahan secara solo, secara duet serta nyanyian beramai beserta dengan Qasidah yang bakal memberikan impak kepada keseluruhan persembahan.

Bagi menambahkan lagi nilai pengalaman yang cukup unik dan luar biasa kepada penonton dari sudut aspek muzikal, KONSERT 5 RUKUN ini juga akan turut diiringi Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dari Istana Budaya, dibawah pimpinan Pengarah Muzik, Encik Yazit Zakaria yang telah berpengalaman luas dalam mengadakan pelbagai jenis persembahan sama ada di dalam atau di luar negara.

Dengan menerapkan gabungan irama nasyid dengan irama tradisional serta elemen budaya Malaysia yang lain, KONSERT 5 RUKUN ini bakal menyaksikan pertembungan unik muzik Islamik dan muzik tradisi Melayu yang selama ini menjadi cerminan jati diri kita dalam melalui kehidupan seharian.


KONSERT 5 RUKUN ini juga turut dibantu rakan rasmi iaitu Daqmie Music Factory, rakan strategik - INTEGA International Gaharu, KAB Gold, Astana Event Space, Fatehah Frozen, Ejay Collection, Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), Istana Budaya serta rakan radio rasmi iaitu Radio Zayan 104.9 FM.

Tiket sudah pun dijual pada harga RM265.00 (Platinum), RM213.00 (Gold), RM161.00 (Silver) serta RM109.00 (Bronze). Tiket boleh dibeli di www.ticket2u.com.my

Hanya 24 Tiket Eksklusif dengan harga RM600.00 per tiket akan mendapat 1 keping Sahabat Selamanya Gold Bar seberat 1 gram, Platinum Seat, Wristband, Goodie Beg AIR Gaharu Intega, Air Mineral dan Sandwich. Pembelian Tiket Eksklusif adalah melalui Pengurus Penajaan dan Jualan Korporat kami, Cik Aishah Ab. Jalil dan bayaran ke akaun MAC Training Centre Sdn Bhd,, Affin Bank - Akaun No. 100990216312.

Selain itu Pembeli KAB Gold Bar Sahabat Selamanya juga ditawarkan 20% diskaun untuk Tiket Platinum KONSERT 5 RUKUN. Tawaran ini hanya dibuka dari 20 Julai 2023 hingga 31 Julai 2023.

Tentang Nasyid Warriors

Kumpulan Komuniti Nasyid Warriors merupakan platform yang menghimpunkan individu yang berminat dengan nasyid, genre muzik vokal Islam. Dengan visi bersama untuk memelihara dan mempromosikan warisan budaya nasyid, kumpulan komuniti ini berusaha untuk mencipta persekitaran yang bertenaga dan penyokong bagi para peminat muda.

Inisiatif penubuhan komuniti baru ini bertujuan untuk menghimpunkan dan menghidupkan semula minat generasi muda dalam industri nasyid tempatan, mengingatkan kepada zaman kegemilangan gelombang nasyid yang pernah memukau negara dan mampu memainkan peranan penting dalam menghidupkan semula industri ini.

Kumpulan Komuniti Nasyid Warriors menggalakkan penyertaan aktif daripada ahli-ahlinya melalui platform IG: @officialnasyidwarriors, dengan menawarkan pelbagai promosi dan insentif, serta projek kolaboratif.

Melalui inisiatif-inisiatif ini, individu muda akan berpeluang untuk meningkatkan minat mereka, memperluas pengetahuan tentang nasyid, dan memperluaskan lagi pengaruh Nasyid Warriors ke peringkat yang lebih tinggi.


Comments

Popular posts from this blog

Mahu dengar 'tembakannya tepat'? Saksikan "Gegar Vaganza Bunda-Petik" .

KONSERT WINGS THE ROCK EMPEROR KUALA LUMPUR CHAPTER 16.12.2023 STD. MALAWATI SHAH ALAM

PEMENTASAN TEATER DI SEBALIK TOPENG KETENGAHKAN ISU KESIHATAN MENTAL