ARAH CINTA SITI NORDIANA
Lebih dua dekad atau lebih tepat
24 tahun dalam industri hiburan tanahair cukup mematangkan penyanyi terkenal,
Siti Nordiana. Apatah lagi, sepanjang tempoh itu dia sudah melalui pasang
surut, suka dan duka menjadi anak seni.
Baik dalam soal kehidupan, sisi
matang Siti Nordiana, 38, atau mesra disapa Nana juga diterjemahkan menerusi
kerjaya nyanyiannya. Daripada hanya seorang penyanyi, Nana kini mampu
menghasilkan lagu sendiri.
Buktinya, beberapa single yang
dihasilkan Nana selepas menjuarai program ‘Gegar Vaganza’ musim kedua (GV2)
berjaya menambat hati peminat sekali gus meletakkan dirinya sebagai antara
penyanyi lama yang kekal relevan sehingga kini.
Kejayaan lagu seperti “Terus
Mencintai” dan “Hatiku Milikmu” meraih populariti yang hebat mengembalikan semula
zaman kegemilangan Nana. Malah, kemenangan di beberapa acara anugerah juga
membuktikan kualiti karya yang dihasilkan.
Terbaharu, Nana muncul menerusi
single “Arah Cinta” hasil ciptaan sepenuhnya oleh Ikhwan Fatanna dan
diterbitkan oleh Seventeen Eleven Music.
Menurut Nana, lagu bergenre pop
balada itu adalah idea sepenuhnya oleh Ikhwan.
“Lagu Arah Cinta yang
berkonsepkan pop balada dicipta sepenuhnya oleh Ikhwan Fatanna. Semuanya adalah
idea Ikhwan yang dibuat berdasarkan kisah perhubungan yang boleh dikatakan
sebagai toksik.
“Jadi, Ikhwan terjemahkan kisah
itu dalam lagu ini dan saya cuba bayangkan perkara itu kerana di sekeliling
saya juga terdapat kisah seperti ini. Dengan cara itu, saya dapat ‘feel’ untuk
menyampaikan lagu ini,” katanya.
Jika beberapa single sebelum ini
Nana sendiri memilih untuk menghasilkan lagu dan liriknya, berbeza pula dengan
single “Arah Cinta”.
Nana berkata, kekangan masa
membuatkan dia menyerahkan sepenuhnya kerja penghasilan lagu kepada pihak
syarikat rakaman dan komposer.
“Saya sebenarnya bekerjasama
dengan komposer lain sebab memang tidak ada masa untuk buat lagu terbaru. Untuk
buat lagu ini tak boleh buat dalam tempoh yang singkat untuk mendapatkan idea.
“Saya juga perlu cepat untuk
keluar dengan karya baharu, jadi kalau nak tunggu idea sendiri itu memang akan
ambil masa sedikit. Jadi, saya mempertaruhkan karya komposer lain sebagai
single sendiri,” katanya.
Menurut Nana, dia perlu membuka
ruang untuk bekerjasama dengan komposer-komposer lain termasuk Ikhwan agar lagu
yang dihidangkan kepada pendengar pelbagai dan segar.
“Pada masa sama, saya mahu cuba
pelbagai sentuhan untuk melihat bagaimana sambutannya. Lagu ciptaan saya
sendiri sudah tentu akan dibuat juga tapi akan ambil masa lama untuk disiapkan.
Jadi, disebabkan mahu cepat dalam urusan buat lagu, saya ambil keputusan untuk
dapatkan khidmat komposer lain,” katanya.
Berkongsi lanjut mengenai “Arah
Cinta”, Nana berkata lagu itu memberi cabaran tersendiri selain menguji
vokalnya.
“Keunikan single kali ini, ia
menguji vokal saya. Mungkin sudah lama orang tak mendengar saya nyanyi lagu
yang ‘power ballad’. Jadi, dalam lagu Arah Cinta ini, Ikhwan letakkan dinamik
dalam lagu. Dari bahagian ‘soft’ ke ‘strong’ tu agak mencabar juga,” katanya.
Single “Arah Cinta” terbitan
Seventeen Eleven Music dilancarkan pada 4hb. Ogos ’23 dan boleh mula distrim di
semua pelantar striming muzik pada hari tersebut. Video muzik rasmi lagu
tersebut juga boleh mula ditonton di saluran YouTube ‘Seventeen Eleven Music’
pada hari yagn sama jam 9 malam.
Sebaik dilancarkan, single “Arah
Cinta” Siti Nordiana terus menduduki tangga #1 carta iTunes!
Comments
Post a Comment