Akhir Cerita gandigan sulung Dalia Farhana & Aziz Harun
Meski hati berat untuk
berpisah, sedang masih ada rasa cinta, namun perpisahan jalan terbaiknya.
Itu antara mesej yang terkandung
dalam single duet yang menampilkan kolaborasi sulung Dalia Farhana dan Aziz
Harun. Istimewanya juga, lagu bergenre ‘modern ballad’ itu adalah hasil ciptaan
mereka berdua bersama Eugene Lai.
Lagu yang diterbitkan bersama
oleh X.O. House dan Faithful Music ini mengetengahkan sisi matang Aziz Harun
dan Dalia Farhana dalam kerjaya muzik mereka. Apatah lagi, lagu Akhir Cerita
juga adalah karya ciptaan pertama mereka secara bersama.
Menariknya, lagu Akhir Cerita ini
buat pertama kalinya bakal dipersembahkan secara langsung pada Chapter One:
Aziz Harun The Showcase.
Dalia Farhana, 25, atau nama
sebenar Tengku Farhana Dalia Tengku Bahar Iskandar berkata, satu penghormatan
apabila dapat bekerjasama dengan Aziz.
“Projek lagu ini adalah pertama
kali saya bekerjasama dengan Aziz dan sebenarnya saya sudah menjadi peminatnya.
Jadi, ini adalah satu penghormatan apabila dapat bekerjasama dengan Aziz.
“Saya tidak sangka pertama kali
kami berjumpa sudah boleh tulis lirik lagu bersama-sama. Itu adalah sesi yang
sangat menarik kerana pertama kali menulis lagu bersama orang lain, jadi saya
banyak belajar daripada Aziz.
“Selain Aziz, saya berbangga
kerana dapat bekerjasama dengan Eugene Lai dalam lagu ini. Sangat senang
bekerja dengan mereka walaupun baru pertama kali, jadi saya sangat berterima
kasih kerana mereka juga terbuka untuk menerima idea saya. Mereka juga banyak
memberi pendapat dalam perbincangan dan usaha untuk menyiapkan lagu ini. Kami
bukan sekadar bekerja tetapi berkarya bersama-sama,” katanya.
Berkongsi lanjut, Dalia berkata,
bekerjasama dengan Aziz sangat mudah dan menyeronokkan.
“Senang sahaja bekerja dengan
Aziz kerana dia seorang yang menyeronokkan. Bekerja dengan dia memang banyak
ketawa sebab kami jenis orang yang susah serius. Apabila kami berbincang untuk
menyiapkan lagu ini, sebenarnya kami sedang berbual dan daripada itu tercetus
idea untuk jalan cerita lagu ini.
“Alhamdulilah, sepanjang proses
rakaman lagu Akhir Cerita ini semuanya berjalan lancar. Untuk rakaman muzik
video juga berjalan dengan baik dan ia berjaya disiapkan lebih awal daripada
apa yang dirancangkan. Semua orang memberikan kerjasama yang baik,” katanya.
Sementara itu, Aziz Harun, 25,
atau nama sebenar Abdul Aziz Harun mengakui rakan duetnya kali ini, tepat
dengan lagu yang dihasilkan.
“Lagu ini berentak ‘modern
ballad’ dan ia sesuai untuk kami yang selalu tulis lagu sedih macam ni. Jadi
untuk lagu ini memang kena dengan pasangan duet kali ini.
“Satu pengalaman yang menarik
apabila dapat bekerjasama dengan Dalia. Biarpun ‘range’ vokal kami berbeza,
tapi, sebab Dalia pun terbuka, jadi kami cuba dan gembira dan puas hati dengan
hasil lagu ini.
“Ini kali pertama kami
bekerjasama selepas dah lama minat Dalia apabila dia ‘cover’ lagu. Dalam masa sama, dia pun banyak single
berentak balada yang menyentuh hati. Saya sangat suka. Memang saya nak buat
lagu dengan dia. Alhamdulillah, menerusi projek ini kami nyanyi dan buat lagu
bersama,” katanya.
Menurutnya, penghasilan lagu
Akhir Cerita menjadi lebih mudah apabila semua pihak yang terbabit sangat
profesional.
“Cabarannya mungkin ‘key’ kami
berbeza. Jadi, kami perlu cari keseimbangan dari segi melodi supaya tidak ada
sesiapa yang lebih atau kurang. Dalam masa sama, gubahan muzik juga cabaran
besar masa buat lagu ni. Kita nak dapatkan ‘vibes’ sedih sebab ada dua
penyanyi. Tak nak dua penyanyi ‘overshadow’ lagu dan mesej lagu ni. Melodi lagu
pun tak berat sangat. Tapi sebab dua orang bekerjasama, lagilah kena hati-hati
dalam semua aspek pembikinan lagu.
“Dari segi proses penggambaran
video muzik pun mudah. Kami jenis yang ‘easy going’ dan terbuka untuk idea.
Sangat mudah bekerjasama dengan semua pasukan kerana masing-masing sudah pernah
bekerja dalam MV sebelum ini,” katanya.
Aziz berharap lagu Akhir Cerita
dapat diterima baik pendengar dan pencinta muzik tanah air.
“Kelebihan lagu ini adalah senang
untuk didengar dan boleh dengar di mana-mana dalam pelbagai situasi. Lagu ini
menyampiakn mesej untuk kuat dalam membuat keputusan demi kebaikan diri sendiri
dan orang tersayang walaupun berat melepaskan.
“Lagu Akhir Cerita bagi saya
adalah mengenai kesedaran untuk melepaskan sesuatu atau seseorang yang kita
sayang. Dalam lagu ini ada pesanan untuk melepaskan dengan ikhlas dan tetap
mendoakan walaupun pada akhirnya tetap perlu berpisah.
“Saya berharap lagu ini dapat
menemani orang yang berada dalam situasi seperti digambarkan dalam lagu ini.
Saya juga berharap lagu ini dapat memeberi semangat kepada mereka yang
menjalani fasa kehidupan yang tidak begitu bahagia, sekali gus mampu memberi
kekuatan kepada pendengar,” katanya.
Comments
Post a Comment