Siapakah “Abe Jahat” yang Dimaksudkan oleh Rosalinda?


By : Hannan
 Bagi peminat setia lagu-lagu dialek Kelantan, nama Rosalinda Dikir Barat bukanlah asing. Penyanyi ini terkenal dengan deretan lagu hit seperti Ambo Bini Ore Remix, Oh Abe Ku I Love You, Jate Boya 2, dan Comel Rupo.

Kini, Rosalinda atau nama sebenarnya Shahima Edayu Akma Mohd Alwi, 33, yang berasal dari Kemaman, Terengganu, kembali mencuri perhatian dengan single baharu bertajuk Abe Jahat. Lagu ini merupakan hasil sentuhan komposer terkenal Eddie Hamid, manakala liriknya dihasilkan oleh Eddy Pring, Mama Ana, Jaju, dan Teha. Susunan muzik turut mendapat sentuhan Eddie Hamid.
Menurut Rosalinda, Eddie menawarkan lagu ini kepadanya pada penghujung September. Tanpa ragu-ragu, beliau terus bersetuju kerana yakin dengan kehebatan karya Eddie.

“Saya dapat lagu ini penghujung September daripada abang Eddie. Kalau Eddie Hamid yang beri lagu, mana mungkin saya menolak. Lagi pula, irama dan melodi lagu ini sesuatu yang baharu untuk saya dan saya yakin ia boleh diterima ramai. Proses rakaman juga tidak lama, hanya sekitar dua minggu sahaja,” kata Rosalinda.

Melihat tajuk lagu Abe Jahat, ramai mungkin menyangka ia ditujukan khas kepada golongan lelaki, lebih-lebih lagi dengan isu rumah tangga yang kerap diperkatakan kebelakangan ini.

Namun, Rosalinda menegaskan lagu tersebut tiada kaitan dengan kisah peribadinya atau sesiapa. Sebaliknya, ia hanyalah gambaran senario dalam masyarakat hari ini.

“Lagu ini tidak berkait dengan saya. Ia sekadar menggambarkan apa yang berlaku dalam segelintir masyarakat sekarang. Harapan saya, semoga lagu ini diterima dengan baik dan tidak menyinggung mana-mana pihak. Abe Jahat cuma untuk hiburan semata-mata,” jelas Rosalinda, yang juga isteri kepada Shahrul Nizam Nasir.

Proses Pembikinan Video Muzik

Menurut Rosalinda, video muzik Abe Jahat disiapkan dalam masa sehari sahaja. Penggambaran dijalankan mengikut tema lirik lagu dengan pelakon Ejoy Nadia dan Adik Wawa membintangi video tersebut.

“Saya berterima kasih kepada Ejoy dan Adik Wawa kerana menjayakan video muzik ini. Penggambaran berjalan lancar dan tidak memakan masa lama,” katanya.

Walaupun Rosalinda dikenali dengan lagu-lagu dialek Kelantan dan minatnya terhadap irama dangdut, beliau tidak menolak peluang untuk mencuba genre muzik lain.

“Sebagai penyanyi, saya ingin dikenali sebagai artis serba boleh. Setakat ini, rezeki untuk merakam lagu dalam bahasa Melayu standard belum ada. Jika diberi peluang, saya juga terbuka untuk berduet dengan mana-mana penyanyi, asalkan suara kami serasi,” katanya lagi.

Rosalinda turut aktif mengadakan persembahan di pelbagai lokasi, termasuk Selatan Thailand, Pahang, Johor, Kedah, dan Kuala Lumpur.

Lagu Abe Jahat terbitan Kijang Music kini boleh distrim di semua platform digital, manakala video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube ‘Kijang Music’. https://www.youtube.com/watch?v=uko4dqxCE4A .

Comments

Popular posts from this blog

Mahu dengar 'tembakannya tepat'? Saksikan "Gegar Vaganza Bunda-Petik" .

PEMENTASAN TEATER DI SEBALIK TOPENG KETENGAHKAN ISU KESIHATAN MENTAL

Konsert Hitam Manis,Datuk Hattan, Hazama dan Black berpadu suara!