‘AME 2021’ GUGUR DUA KATEGORI, PERKENAL TIGA YANG BAHARU Nabil Ahmad dan Jihan Muse sambung galas tugas hos utama, senarai calon ‘Top 20’ turut diumum secara rasmi
Selaku pembekal kandungan hiburan
utama di Malaysia, Astro menyambut baik inisiatif kerajaan membenarkan
peralihan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi kawasan sekitar Lembah Klang
khususnya yang berkuat kuasa sejak 1 Oktober lalu.
Susulan kelonggaran prosedur
operasi standard (SOP) membabitkan sektor industri kreatif untuk negeri dalam Fasa
3, pihak Astro dengan berbesar hati membawakan kembali penganjuran anugerah
pilihan penonton, Anugerah MeleTOP Era atau ‘AME 2021’ untuk tahun
kelapan bagi meraikan karya dan personaliti paling menyerlah sepanjang tahun
2020 yang merangkumi bidang muzik, radio, televisyen, filem dan digital.
‘AME 2021’ kembali lebih
mantap dan meriah dengan tagline ‘Yang Fresh, Yang Legend’ telah dijadualkan
untuk bersiaran secara langsung pada 30 Januari 2022, jam 9.00 malam
secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) atau boleh distrim menerusi
perkhidmatan Astro Go dan On Demand. Istimewa untuk para
pelanggan Astro yang memiliki dekoder ‘Ultra Box’, siaran ‘AME 2021’ juga akan
turut disiarkan dalam format resolusi kualiti 4K UHD.
Pengacara versatil, Nabil
Ahmad dan Jihan Muse sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengendalikan
pentas ‘AME 2021’ selaku hos utama.
Format penganjuran asal ‘AME’ yang menyerahkan kuasa penuh
kepada peminat untuk mengundi pemenang bagi kesemua 16 buah kategori utama masih
dikekalkan. Untuk edisi 2021, sebanyak tiga buah kategori baharu bakal
dipertandingkan iaitu ‘Personaliti TV MeleTOP’, ‘BBNU MeleTOP’ dan ‘Video MeleTOP’. Manakala dua buah kategori yang sedia
ada pula digugurkan daripada senarai utama iaitu ‘Hos MeleTOP’ dan ‘Fesyen
MeleTOP’.
Undian fasa pertama untuk
memilih calon ‘Top 5’ boleh dihantar mulai 5 Oktober 2021, jam 6.00 petang
hingga 19 November 2021, jam 6.00 petang menerusi laman rasmi www.anugerahmeletopera.com.my
dan aplikasi SYOK.
PETIKAN
KENYATAAN RASMI WAKIL ASTRO
Raqim Ahmad,
Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu
Astro
“Sebagai pemain utama industri kreatif tanah air, keprihatinan
dan inisiatif kerajaan yang mengumumkan peralihan Fasa 3 dan pembukaan semula industri
seni kreatif telah memberi sinar baharu dan kelegaan serta-merta kepada kami
setelah segala aktiviti berkaitan sektor ini tergendala selama berbulan-bulan
lamanya.
Meskipun kerancakan aktiviti seni dan acara hiburan pasca
pandemik mungkin tidak lagi meriah sepertimana sebelumnya, namun ia tidak
sedikitpun menggugat usaha kami untuk beradaptasi secara inovatif agar dapat terus
membekalkan kandungan berkualiti sekaligus bergerak ke hadapan demi
kelangsungan industri.
Bagi menambah baik sekaligus memberi kelainan segar untuk penganjuran
‘AME 2021’, pengenalan tiga kategori baharu untuk menggantikan dua yang
digugurkan dibuat setelah mengambil kira kesesuaian trend semasa yang
mencerminkan perkembangan landskap persada seni masa kini supaya tidak
ketinggalan.
Kemajuan teknologi serba maju dan era media baharu yang lebih
dominan pada hari ini membolehkan industri hiburan berevolusi dengan begitu
pantas. Seperti yang kita dapat lihat, fenomena kebangkitan generasi ‘BBNU’ dan
pempengaruh semakin menguasai industri hiburan sehingga mampu meraih populariti
luar biasa. Persaingan sengit untuk menempatkan diri dalam bidang seni juga secara
tidak langsung memberi kesan positif kepada kualiti golongan artis sedia ada
yang berusaha keras menunjukkan kepelbagaian bakat seni supaya kekal bertahan.
Semoga pengiktirafan kepada sumbangan dan pencapaian penggiat
seni yang diberikan menerusi inisiatif penganjuran ‘AME’ ini dapat memberi
permulaan yang baik terhadap kerjaya seni mereka sekaligus melonjakkan semangat
untuk terus berkarya dengan cemerlang.”
Dhan Andreas, Pengurus Rangkaian Kandungan,
Astro Radio
“ERA
teruja untuk turut membawa ‘AME 2021’ bagi edisi tahun kelapan ini. Meskipun
kita berdepan dengan situasi yang menduga, jenama radio ERA, selaku jenama
radio Melayu No. 1 di Malaysia, tetap utuh mengetengahkan bakat-bakat dan karya
tempatan, khususnya di dalam industri muzik tanah air, di udara dan di platform
digital agar mereka kekal relevan dan diberi pengiktirafan menerusi anugerah
yang berprestij ini.
Berteraskan
pilihan dan kegemaran para peminat dalam menentukan undian, semua dijemput
untuk menyuarakan pilihan masing-masing dengan membuang undi pencalonan awal
‘Top 20’ bagi kesemua 16 kategori yang dibuka dari sekarang hingga 19 November,
menerusi laman rasmi AME 2021 dan di aplikasi SYOK.”
TRIVIA
MENGENAI ‘AME 2021’ |
|
1.
Penyertaan
‘AME 2021’ adalah terbuka pada semua syarikat penyiaran televisyen dan radio
tempatan, syarikat rakaman, penerbit, artis-artis dan penyumbang lain dalam
industri hiburan untuk mengambil bahagian.
2.
Senarai
pencalonan ‘Top 20’ untuk 16 kategori utama yang dipertandingkan telah
disenarai pendek menerusi sesi penilaian tertutup oleh panel juri khas yang
berpengalaman dan berpengaruh dalam industri hiburan tanah air merangkumi
platform muzik, radio, televisyen, filem, digital dan pengamal media.
3.
16
kategori utama yang dipertandingkan adalah ‘Lagu MeleTOP ERA’, ‘Penyanyi
MeleTOP ERA’, ‘Grup/Duo MeleTOP ERA’, ‘Si Cilik MeleTOP’, ‘Filem MeleTOP’, ‘Bintang
Filem MeleTOP’, ‘Drama MeleTOP’, ‘Pelakon MeleTOP’, ‘Video MeleTOP’, ‘Artis
Versatil MeleTOP’, ‘Personaliti TV MeleTOP’, ‘Influencer MeleTOP’, ‘Artis
Baharu MeleTOP’, ‘Couple MeleTOP’, ‘BBNU MeleTOP’ dan ‘Program MeleTOP’.
4.
Selain
daripada 16 kategori tersebut, turut dipertandingkan ialah tiga kategori
kemuncak yang ditentukan berdasarkan jumlah undian tertinggi di kalangan calon ‘Top
5’ untuk kesemua kategori utama iaitu ‘Top Top MeleTOP Lelaki’, ‘Top Top
MeleTOP Wanita’ dan ‘Top Top MeleTOP Grup/Duo’.
5.
Penganjuran
‘AME 2021’ diaktifkan oleh 100PLUS selaku Penaja Utama. Dua buah kategori utama
yang turut dipertandingkan iaitu ‘Influencer MeleTOP’ dan ‘Artis Versatil
MeleTOP’ dibawakan oleh 100PLUS. Jenama 100PLUS mengakui semangat dalam bentuk
dan skala yang berbeza. 100PLUS hadir menemani supaya menjadi lebih baik dalam
perkara yang digemari.
6.
Manakala
portal Gempak dan aplikasi SYOK turut menghulurkan sokongan selaku Rakan
Digital untuk ‘AME 2021’.
7.
Barisan
penyanyi popular yang berpadu suara untuk menyanyikan lagu tema ‘Anugerah
MeleTOP ERA 2021’ adalah Darmas Band, Dolla, Lil J, Syamel, Yonniboii dan Iman
Troye. Lagu tersebut turut mendapat sentuhan Ezra Kong selaku komposer serta
lirik nukilan oleh Ezra sendiri bersama Lil J.
Comments
Post a Comment