Kenal dahulu, baru cinta – Tentang MemandangMu Nyanyian Teguh Budiman dan Aidit Alfian
Kalau
dikembalikan semula pepatah, ke mana tumpanya kuah kalau tidak ke nasi, jadi
inilah ceritanya. Perihal gabungan anak dan bapa dalam memberi hidangan buat santapan
jiwa kepada khalayak melalui sebuah lagu. Lagu yang diberikan tajuk MemandangMu
mempunyai pengertian yang besar untuk disampaikan kepada khalayak. Untuk lagu
yang dinukil oleh Aidit Alfian ini, Teguh Budiman yang merupakan anak kedua
Aidit dipilih untuk bertemu suara dengannya dalam sebuah lagu indah.
Melodinya
menyentuh, bait-bait liriknya ditulis dengan penuh makna dan pembawaan kepada istilah cinta dan
kenal. Dalami lirik yang ditulis oleh Aidit Alfian, Raja Mukhlis dan Bakhtiar
Effendy ini maka satu demi satu pencarian cinta akan didekati.
Menurut
Aidit Alfian selaku penulis lagu, penulis lirik dan penyanyi lagu ini, dia
bertemu cabaran tersendiri untuk membawakan MemandangMu yang merupakan lagu
runut bunyi drama I.C.U yang ditayangkan di platform penstriman, Nurflix.
“Lagu ini
pada saya perihal mencari dan ambil macam kisah percintaan dengan Tuhan. Untuk
nak mencintai itu senang tetapi mesti
bawa pada penyerahan. Kalau tak kenal bagaimana
untuk cinta?,” ujar Aidit Alfian yang juga merupakan komposer lagu Tak Tercapai
Akalmu.
“Saya
menerima bait-bait lirik dan perkataan awal dari Raja Mukhlis dan hantar
beberapa lagu untuk dipilih akhirnya melodi dan lagu yang paling sesuai diambil
dan terjadilah MemandangMu nyanyian Teguh Budiman dan saya,” tambahnya lagi
yang merupakan penerbit untuk lagu ini.
Menarik
untuk didalami dan diselusuri lirik MemandangMu kerana pemilihan bait-bait itu
diambil dari surah Al Baqarah ayat 115 dan An Nur ayat 35. Apabila penyampaian
ini menyentuh tentang cahaya di balik gelita dan perihal ‘memandangMu’ itu
sendiri.
Menurut
Aidit lagi cabaran awal buat dirinya adalah dalam bentuk rakaman vokal yang
mengambil masa hampir sebulan kerana mahukan pemilihan yang tepat.
“Paling
‘stress’ bila jaga vokal kerana saya bukan penyanyi dan tidak pernah jaga vokal
sendiri. Akhirnya siap juga. Pembikinan muzik untuk lagu ini tidak lama dan
Pacai bantu dari segi susunan muzik. Semuanya kami buat di rumah kerana
dilakukan pada waktu PKP,” katanya.
Menyentuh
tentang pemilihan Teguh sebagai rakan regu dalam lagu pertama nyanyian bersama
ini, Aidit sendiri memilih Teguh untuk bernyanyi bersama. Malah lagu ini turut
mendapat sentuhan anak muda seperti Raja Nazrin Shah (dari Sekumpulan Orang
Gila- SOG) untuk rakaman cello.
“Lagu ini
‘kena’ kerana dalam drama ini pun tentang hubungan anak dan bapa. Tidak susah
untuk menjaga vokal Teguh kerana kami senang berkomunikasi dan dia pula boleh
menyanyi berdiri lama-lama. Bukan mudah untuk seorang penyanyi berdiri dan
bertahan lama-lama dan dia mampu lakukan,” komen Aidit tentang anak lelakinya
yang kini berusia 23 tahun.
Bertanyakan
tentang pengalaman merakamkan vokal bersama malah dijaga oleh bapa, Teguh
tenang menjawab. Ujar lelaki berkumis dan berambut panjang ini, rakaman
dilakukan dalam tempoh beberapa hari untuk mendapatkan karakter yang tepat
dengan lagu tersebut.
“Dalam
dunia muzik, saya sangat-sangat baru dan lagu MemandangMu merupakan satu ‘ breakthrough’
untuk saya lebih tahu tentang dunia muzik dan bagaimana untuk sampaikan sesuatu
lagu. Ia lebih kepada membina karakter,” ujar Teguh.
Tambahnya
cabaran yang dihadapi untuk lagu ini memang ada namun bagaimana dia menyahut
cabaran itu lebih penting. Lebih tepat cabaran sebenarnya ialah bagaimana cara
mencari diri sendiri di dalam lagu MemandangMu.
“Ia lebih
keada momen bertemu diri dalam lagu tersebut kerana lagu itu sebenarnya
mengisahkan tentang seorang hamba. Bagaimana attitud kita terhadap Tuhan. Apa
yang kita inginkan, kita perlu dengan penuh adab, meminta izinkan padaNya. Adab
dan tajuk cinta itu sendiri tidak boleh dipisahkan. Saya melalui
perasaan-perasaan itu untuk memahami lagu tersebut,” tambahnya yang mengaku
bahawa Aidit memberi bantuan dan pengertian yang besar untuk dirinya.
“Tanpa bapa
saya, untuk saya melalui perkara-perkara ini memang tidak mungkin. ‘Far to
reach’,” katanya penuh makna.
Apabila
ditanyakan momen dan pengalaman bernyanyi bersama bapa, Teguh mengakui dia
berasa selesa kerana perjalanan itu dituntun oleh sang bapa dengan caranya.
Malah dia mengaku dia harus meletakkan jauh perasaan takut dengan kepakaran
bapa dia untuk berasa selesa.
“Jangan takut dengan ‘terror’ dia. Hanya kena
menerima diri dia seadanya,” katanya ketawa kecil.
Pada usia
muda dan pencetus kemunculan di dunia muzik dengan lagu kerohanian, Teguh
ditanyakan perihal perjalanannya kelak. Akui lelaki yang baru berjinak-jinak
bermain instrument gitar ini, dia tidak pernah tahu perjalanan seninya akan
pergi ke arah mana. Ini kerana dia mengikut perancangan yang dipandu oleh Aidit
sendiri.
“Untuk
menjiwai lagi kerohanian pula, dengan kehadiran bapa, tenaga senang disebarkan.
Cabaran dipermudahkan,” tambahnya yang meminati lagu lagu nyanyian Iwan Fals
dan Damian Rice ini.
Namun akui
Teguh, dia agak gemuruh ketika melakukan penggambara muzik video lagu ini di
Istana Budaya. Mengambil masa satu hari suntuk, ini merupakan pengalaman sulung
untuk Teguh mengikuti penggambaran sebuah muzik video arahan Saiem Muhammad
ini.
“Saya pergi
ke set dengan rasa gemuruh namun semua tenaga kerja dan yang terlibat melayan
dengan baik. Saya juga pertama kali menjalani penggambaran video dengan Abang
Nazrin yang selalu saya jumpa,’ujarnya tentang Raja Nazrin yang merupakan pemain
cello dalam lagu MemandangMu.
Bertanyakan
kembali Aidit Alfian perihal limitasi atau kelebihan menukilkan lagu runut
bunyi untuk drama, dia mengakui bahawa kepuasan kali ini bercampur aduk.
“Pembikinan
lagu jadi lebih fokus kerana ada jalan cerita tapi bila cakap pasal muzik,
kadang-kadang terfikirkan kalau kualiti penggambaran atau adegan tidak kena
dengan muzik, ia akan menyukarkan. Namun, Alhamdulilah saya diberikan lirik dan
pemilihan kata-kata kena dengan lagu tersebut,” ujarnya kini sedang merangkakan
single perdana solo buat
Teguh
Budiman.
“Drama ICU
ini berkisarkan tentang seseorang yang tidak menjaga solat, makan berlebihan
dan mengambil perkara dalam santai-santai. Bila sakit, dia nak buat betul-betul
dan bertaubat, “tambah Aidit apabila diminta bercerita sedikit intipati drama siri original I.C.U lakonan Faizal Hussein,
Mardiana Alwi, Amirah Othman, Ustaz Syamsul Debat dan Wany Hasrita yang
ditayangkan di platform NURFLIX.
Untuk Teguh
Budiman, selain menikmati momen bertemu karakter dirinya dan selesa menyanyi
bersama bapa, dia berharap sesuatu, “Saya harap lagu ini boleh diterima
khalayak dan boleh difahami. Yang paling penting di Redhai.”
Sebagai informasi,
platform penstriman video dengan kandungan Islamik Nurflix yang merupakan produk milik Sutera Hijau Ventures Berhad telah melancarkan aplikasi
natif Nurflix Goldfish 2.0 lengkap untuk pelbagai peranti iOS, Android dan
Smart TV bagi menggantikan aplikasi hibrid sedia ada sejak pelancaran Nurflix
Beta pada Oktober tahun lalu.
Comments
Post a Comment