LIL J & ARA JOHARI DALAM ‘KELIRU’
Buat julung-julung kalinya, lagenda rap serta komposer dan penerbit muzik tersohor tanah air, Malique atau lebih dikenali dengan jolokan Mr. General berkenan menghasilkan sebuah karya hip hop istimewa buat dua artis muda tempatan yang sedang meledak naik iaitu Lil J dan Ara Johari berjudul ‘Keliru’. Single yang dicipta khas oleh Malique, Siqma dan Muhaimin ini diterbitkan bersama oleh Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd.
“Sebuah penghormatan yang amat besar buat saya serta Ara kerana sebagai anak seni pelapis negara, kami diberikan peluang menyanyikan sebuah karya hebat ciptaan Mr. General sendiri.
“Beliau yang sememangnya terkenal dengan sifat elusive-nya seperti yang semua sedia maklum seakan mengerti apa yang saya rasai dan berjaya menerjemahkannya ke dalam sebuah lagu yang menceritakan tentang kekeliruan dalam hidup saya.
“Namun ini semua tak mungkin berlaku tanpa kehadiran Ketua Rocketfuel Entertainment sendiri iaitu Encik Feros Sayna yang menyatukan kami semua,” kata Lil J yang kini sudah mula berjinak-jinak menceburi bidang perniagaan.
Sesuatu yang amat peribadi sukar untuk diluahkan dengan kata-kata, namun bagi Lil J sendiri, beliau tidak segan memberitahu masalah kemurungan yang dihadapinya sejak dahulu lagi. Rakan seindustri, Ara, menyedari masalah yang menimpa rakannya itu tampil memberikan sokongan melalui sebuah siaran langsung di Instagram, dan secara kebetulan, Siqma turut menontonnya.
Jelas Lil J, “Siqma dan Mr. General yang mula-mula menyatakan hasrat mereka ingin berkolaborasi, dan mereka mempunyai material yang sesuai buat situasi yang saya hadapi.”
Seperti karya-karya terdahulu Malique yang rata-ratanya mempunyai maksud yang mendalam, ‘Keliru’ juga mempunyai maksud yang tersendiri yang boleh diselami oleh jiwa-jiwa yang tercari-cari jawapan selama ini.
“Lagu ini menceritakan tentang kehilangan seseorang yang amat penting dalam hidup kita, dan mengapa mereka hilang dari pandangan. Mungkin ramai yang tak tahu, saya telah kehilangan figura seorang bapa dan terdapat sebuah ruang kekosongan dalam diri saya yang tak mungkin dapat diisi oleh sesiapa.
“Idea disebalik single ini datangnya daripada saya sendiri. Ia agak peribadi untuk saya nyatakan hal yang sebenarnya tetapi bagi mereka yang pernah melalui pengalaman yang sama pasti mengerti apa yang cuba saya sampaikan. Selami setiap bait-bait liriknya dan anda akan mengerti.
“Telah lama saya pendam hasrat menceritakan tentang pengalaman hidup sewaktu membesar dan masalah yang saya lalui melalui sebuah lagu. Apa yang ingin saya katakan buat sesiapa yang pernah melalui isu yang sama seperti saya adalah bahawa anda tak keseorangan,” kata Lil J lagi.
Single yang bernuansa hip hop dengan selingan ritma ala rock perlahan oleh Ara menambah perisa eksklusif terhadap ‘Keliru’ yang dijangka hit apabila dilancarkan kelak. Manakala proses rakamannya disempurnakan di Studio Qarma.
“Kalau nak diikutkan, ini merupakan di antara pengalaman yang terbaik pernah saya lalui sepanjang bergelar anak seni, berpeluang mempelajari serta mengamati Mr. General beraksi selaku pengkarya adalah ibarat sebuah mimpi yang menjadi kenyataan,” katanya.
Peluang bekerjasama dengan Mr. General sememangnya impian kebanyakkan artis di Malaysia, lebih-lebih lagi di kalangan pejuang hip hop tanah air, dan tambah Lil J, “Saya rasa amat bertuah kerana sewaktu menginjak dewasa, kebanyakkan lagu yang ditulis dan dinyanyikan, kesemuanya berpaksikan kepada karya-karya hasil Malique dan Joe Flizzow. Saya kini bangga mengatakan bahawa saya telah bekerjasama dengan kedua-dua ikon hip hop negara.”
Bagi setiap single yang dihasilkan, pastinya ada video muzik (MV) bagi menyempurnakan penceritaan sesebuah karya, jelasnya, “Jalan cerita ‘Keliru’ mengisahkan tentang perjalanan hidup seorang anak yang membesar tanpa kehadiran insan penting dalam hidupnya yang bernama bapa. Dunia mencemuhnya dengan perkataan ‘lemah’ kerana ketiadaan figura tersebut dan dia terasa seolah-olah sesat kerana kekosongan yang dirasainya ketika membesar.”
Menurut Ara pula, “Saya sangat teruja apabila diberitahu tentang projek ini. Rugi rasanya kalau saya tak rebut peluang untuk bekerjasama dengan komposer disegani seperti Mr. General. Terharu berbaur bangga kerana artis muda seperti saya diberikan penghargaan sebesar ini. Terima kasih kepada pihak Rocketfuel kerana memilih saya menjadi sebahagian daripada ‘Keliru’.
Encik Jipie, selaku Ketua Label & Penerbitan Rocketfuel Entertainment berkata, “Peluang untuk bekerjasama dengan Malique merupakan satu peluang yang tak boleh dilepaskan. Lebih-lebih lagi lagu ini memang kena dengan situasi yg dihadapi oleh Lil J. Ara sebagai rakan baik Lil J, banyak memberi semangat kepada beliau malahan untuk menggabungkan mereka berdua dari genre berbeza merupakan suatu kejutan. Saya mengharapkan dengan gabungan Lil J, Ara dan Mr. General akan menghasilkan sesuatu yang magis.”
Sokongan padu bertunjangkan keluarga penting dalam hidup seseorang, namun buat Lil J, ibunya merupakan sumber kekuatannya yang penting dalam hidupnya, ujarnya, “Setiap dari kita memerlukan sokongan dalam kehidupan dan tak mampu kita berdiri seorang diri. Saya percaya pada kuasa Pencipta dan sokongn keluarga dalam menghadapi apa-apa jua situasi.
“Semoga ‘Keliru’ menjadi jawapan buat mereka yang tercari-cari jawapan kerana apa yang kita cari ada dalam diri kita sendiri, dan selamat maju jaya buat industri muzik Malaysia.
Lagu ‘Keliru’ boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.
Manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di YouTube RocketFuel Network.
Comments
Post a Comment